Perkahwinan adalah sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan kita. Kata orang, kita berkahwin hanya sekali seumur hidup. Adalah sangat penting untuk kita memilih insan yang betul sebagai pasangan hidup.

Dalam masa yang sama adalah sangat penting untuk kita membuat perancangan yang baik sebelum berkahwin, terutamanya dari segi kewangan. Istimewa untuk anda bakal pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga, kami akan kongsikan 10 persediaan kewangan sebelum kahwin yang anda wajib tahu.

1. Fahami pasangan dan lihat cara dia berbelanja. Ubah apa yang perlu

Sumber: Hanasuva

Apabila anda memilih seseorang sebagai teman hidup, pastinya anda sangat memahami dirinya termasuk cara berbelanja. Perhatikan cara dia berbelanja. Sekiranya ada yang perlu diubah, contohnya terlalu boros berbelanja atau suka membazir beli barang yang tak perlu. Kalau sebelum kawin dia sudah melenting apabila ditegur dalam bab kewangan, itulah yang akan berlaku selepas anda berkahwin nanti.

2. Bincang tentang kewangan sebelum berkahwin dan lihat reaksinya

Sesekali ajak pasangan anda bersembang santai tentang kewangan selepas berkahwin dan lihat reaksinya. Jika dia kelihatan terbuka dan berminat untuk berbincang, anda boleh mula rancang kewangan keluarga dan buat keputusan yang sesuai.

3. Bincang tentang majlis perkahwinan termasuk hantaran dan mas kahwin

Adalah sangat penting untuk anda membuat perbincangan dan perancangan yang rapi berkenaan majis perkahwinan termasuk hantaran dan mas kahwin. Berapakah kos maksimum yang mampu anda belanjakan untuk majlis perkahwinan kedua-dua belah pihak? Majlis perkahwinan akan menelan belanja yang besar, di antaranya ialah perbelanjaan untuk:

  • Pakaian pengantin dan pelamin
  • Sewa dewan
  • Hantaran
  • Catering
  • Goodies bag

Selain itu anda juga perlu berbincang tentang wang hantaran dan mas kahwin yang akan diberikan. Berapa jumlah yang akan diberikan? Adakah kos wang hantaran akan ditanggung oleh suami sahaja atau anda sanggup untuk berkongsi?

4. Bincang tentang pembahagiaan kos kewangan selepas berkahwin

Ini adalah perancangan kewangan yang sangat penting. Adalah sangat penting untuk anda membincangkan tentang pembahagiaan kos kewangan selepas berkahwin. Siapa yang akan bayar duit rumah, kereta, utitili, dan sebagainya. Ya, adalah menjadi tanggung jawab suami untuk menyediakan semua keperluan buat keluarga namun tak salah kalau isteri sanggup sama-sama mengeluarkan duit. Sangat besar pahalanya dan akan dibalas dengan syurga.

5. Bincang tentang siapa yang akan memegang tugas Menteri Kewangan selepas berkahwin

Jawatan Menteri Kewangan dalam sesebuah keluarga adalah jawatan yang sangat penting kerana dia adalah orang yang bertanggung jawab dalam menjaga kewangan keluarga. Kebiasaannya jawatan ini dipegang oleh isteri memandangkan orang perempuan lebih teliti dalam merancang kewangan keluarga. Bincang dengan pasangan anda tentang siapa yang akan bertanggung jawab dalam menjaga kewangan keluarga, dan pastikan orang yang dilantik adalah boleh dipercayai dan boleh diharap.

Sumber: Infomediamaya

6. Berbincang tentang perumahan dan kenderaan selepas berkahwin

Jangan lupa untuk berbincang tentang tempat tinggal dan kenderaan yang akan digunakan selepas berkahwin. Adakah anda akan menyewa atau membeli rumah untuk didiami selepas berkahwin? Atau mungkin anda memilih untuk tinggal dengan kedua ibu bapa di atas sebab-sebab yang tertentu? Pastikan anda membuat keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Pastikan tiada pihak yang terpaksa mengalah dengan keputusan yang dibuat. Perlu diingat bahawa berkahwinan adalah perkongsian hidup.

Selain tempat tinggal, kenderaan keluarga juga perlu dibincangkan. Katakana anda dan pasangan mempunyai kereta masing-masing sekarang. Adakah anda memerlukan dua kereta selepas berkahwin atau salah satu kereta boleh dijual memandangkan sebuah kereta sudah memadai untuk kegunaan anda suami isteri? Pada zaman serba mencabar ini, sebolehnya kurangkan belanja yang tidak perlu dan banyakkan menyimpan.

7. Berbincang tentang perancangan kewangan jangka panjang

Jangan lupa untuk berbincang tentang perancangan kewangan jangka panjang. Apa target kewangan anda suami isteri? Adalah sangat penting untuk anda dan pasangan mempunyai target yang sama agar kedua-duanya mempunyai target yang tepat dan berusaha untuk mencapai apa yang dirancang.

8. Berbincang tentang simpanan dan persaraan

Apabila tua nanti pastinya anda tidak mahu terus bekerja sehingga ke akhir hayat. Pasti anda teringin untuk berhenti kerja dan berehat di rumah menikmati hari-hari tua. Inilah masanya untuk meluangkan masa bersama keluarga dan mendekatkan diri dengan Allah. Anda akan banyak menghabiskan masa di masjid dan majlis-majlis agama. Oleh itu adalah sangat penting untuk anda merancang tentang simpanan dan persaraan.

9. Berbincang tentang wang kecemasan

Wang kecemasan jangan dilupa. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi esok hari. Mungkin kereta rosak, mungkin ada yang sakit dan perlukan rawatan yang mahal. Atau mungkin juga suami dilanda sakit atau kemalangan sehingga tidak mampu untuk bekerja seperti biasa. Inilah gunanya simpanan wang kecemasan.

10. Berbincang tentang pelaburan

Akhir sekali, pastikan anda tak lupa untuk berbincang tentang pelaburan, selain simpanan. Di mana anda ingin laburkan duit untuk mendapatkan hasil? Mungkin anda ingin membeli hartanah atau membuat pelaburan emas? Berbincanglah dengan pasangan anda. Tak salah kalau anda dan pasangan memilih untuk melabur dalam lebih daripada satu cara.

Itulah dia info tentang persediaan kewangan sebelum kahwin yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang punca masalah kewangan dan bekerja selepas berkahwin atau jadi suri rumah.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.