Pernahkah anda mendengar tentang PIDM? PIDM atau nama panjangnya ialah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia merupakan satu badan kelolalaan kerajaan yang melindungi anda secara insurans ke atas nilai deposit dan insurans anda.

Ringkasnya, jika anda ragu-ragu dengan simpanan di bank atau caruman insurans anda, jangan paranoid, kerana PIDM ada untuk pastikan hak anda biarpun institusi tempat yang anda labur/simpan itu jatuh muflis dan sebagainya,

Untuk lebih mengenali pasal PIDM ini, jom baca artikel ini.

Pengenalan

PIDM telah ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia. PIDM ditadbir oleh ahli Lembaga Pengarah daripada sektor awam dan swasta yang dilantik oleh Menteri Kewangan. Lembaga Pengarah bertanggungjawab ke atas urusan dan hal ehwal PIDM.

PIDM menguruskan Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans untuk melindungi pendeposit dan pemilik sijil takaful dan polisi insurans sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan.

PIDM juga menyediakan insentif bagi pengurusan risiko dalam sistem kewangan, serta menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara. Di samping itu, PIDM memberi keyakinan dengan menjadi pihak berkuasa perlindungan pengguna kewangan dan resolusi dengan amalan yang terbaik dan diakui di seluruh dunia. Hebat, bukan?

Apakah perlindungan yang disediakan oleh PIDM?

  • Mentadbir sistem insurans deposit dan sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans
  • Menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dalam bank ahli dan menyediakan perlindungan terhadap kehilangan manfaat takaful dan insurans bagi ahli penginsurans
  • Menyediakan insentif bagi pengurusan risiko wajar dalam sistem kewangan
  • Menggalak atau menyumbang kepada kestabilan kewangan sistem

Objektif Korporat PIDM

  • Pemegang kepentingan yang terdidik dan bermaklumat
  • Perkongsian efektif
  • Organisasi yang ditadbir dan diurus dengan baik
  • Keupayaan penilaian dan pemantauan risiko, intervensi serta resolusi yang kukuh
  • Amalan urusan dan kewangan yang mantap
  • Tenaga kerja yang cekap dan berpengetahuan
  • Persekitaran korporat yang kondusif

Pengoperasian PIDM

Imej via PIDM

Operasi PIDM dibiayai oleh premium tahunan dan levi yang diterima daripada institusi ahli, dengan 6 kumpulan dana yang berasingan dan berbeza seperti berikut:

  • Kumpulan Dana Insurans Deposit Islam
  • Kumpulan Dana Insurans Deposit Konvensional
  • Kumpulan Dana Perlindungan Takaful Keluarga
  • Kumpulan Dana Perlindungan Takaful Am
  • Kumpulan Dana Perlindungan Insurans Hayat
  • Kumpulan Dana Perlindungan Insurans Am

Sistem Perlindungan

Sistem ini ditubuhkan oleh Kerajaan bagi melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya sesebuah ahli penginsuran mengalami kegagalan dan ahli penginsurans tersebut tidak dapat memenuhi tuntutan manfaat takaful atau insurans yang layak. Pengendali takaful dan syarikat insurans yang merupakan institusi ahli PIDM juga dikenali sebagai ‘ahli penginsurans’.

Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans mula berkuat kuasa pada 31 Disember 2010 dan ditadbir oleh (PIDM).

Oleh sebab PIDM menyediakan perlindungan bagi kedua-dua manfaat takaful dan insurans, PIDM mengurus dan mentadbir empat kumpulan dana berasingan:

  • Kumpulan Dana Perlindungan Takaful Keluarga
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada ahli penginsurans yang menjalankan perniagaan takaful keluarga dan pulangan diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
  • Kumpulan Dana Perlindungan Takaful Am
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada ahli penginsurans yang menjalankan perniagaan takaful am dan pulangan diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
  • Kumpulan Dana Perlindungan Insurans Hayat
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada ahli penginsurans yang menjalankan perniagaan insurans hayat dan faedah diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
  • Kumpulan Dana Perlindungan Insurans Am
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada ahli penginsurans yang menjalankan perniagaan insurans am dan faedah diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.

Sistem Insurans Deposit

Imej via iLabur

Memandangkan PIDM menyediakan perlindungan bagi kedua-dua deposit konvensional dan Islam, PIDM mengurus dan mentadbir 2 kumpulan dana berasingan:

  • Kumpulan Dana Insurans Deposit Konvensional
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada bank-bank ahli yang menyediakan perkhidmatan perbankan konvensional dan faedah diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Insurans Deposit konvensional.
  • Kumpulan Dana Insurans Deposit Islam
    Semua premium yang diterima oleh PIDM daripada bank-bank ahli Islam atau bank-bank ahli perdagangan yang menyediakan perkhidmatan perbankan Islam dan pulangan diperoleh, ditolak kos langsung dalam menguruskan Sistem Insurans Deposit Islam.

Semua jenis pendeposit, sama ada individu atau entiti perniagaan adalah dilindungi.

Had perlindungan maksimum ialah RM250k bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Ini termasuk amaun prinsipal deposit dan faedah atau pulangan.

Dengan had RM250,000 ini, 97% pendeposit dilindungi sepenuhnya.

Kelayakan Perlindungan

Untuk layak mendapat perlindungan di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, sijil takaful atau polisi insurans mesti dikeluarkan di Malaysia oleh ahli penginsurans dalam mata wang Ringgit Malaysia.

Sebarang tuntutan oleh pemilik sijil atau polisi adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan had perlindungan yang ditetapkan dalam kontrak takaful atau polisi mereka.

Deposit yang Layak untuk Perlindungan

  • Akaun simpanan
  • Akaun semasa
  • Deposit tetap
  • Deposit mata wang asing
  • Akaun deposit Islam
  • Draf bank, cek, arahan atau instrumen pembayaran lain yang dibuat terhadap akaun deposit

PIDM boleh meluluskan mana-mana instrumen kewangan lain untuk turut layak mendapat perlindungan insurans deposit.

Produk Kewangan yang Tidak Layak untuk Perlindungan

  • Produk berstruktur
  • Deposit yang tidak boleh dibayar di Malaysia
  • Peletakan Deposit pasaran wang antara bank
  • Instrumen deposit boleh niaga (NIDs) dan deposit pembawa lain
  • Perjanjian pembelian semula
  • Unit amanah dan saham
  • Produk pelaburan atau akaun berkaitan emas
  • Sijil takaful dan polisi insurans dalam mata wang asing
  • Kehilangan keuntungan, kerugian kewangan yang ditanggung akibat tindakan yang tidak jujur oleh kakitangan dan kerosakan yang perlu dibayar kerana kecuaian professional
  • Bahagian pelaburan bagi sijil takaful atau polisi insurans yang berkaitan perlaburan

Walau bagaimanapun, had perlindungan insurans deposit yang berasingan sehingga RM250k juga disediakan untuk pendeposit yang mempunyai akaun deposit di bawah kategori berikut

  1. Akaun deposit konvensional dan Islam.
  2. Akaun bersama – Akaun bersama mendapat perlindungan insurans deposit berasingan asalkan rekod bank ahli mengemukakan nama pemegang-pemegang akaun bersama tersebut.
  3. Akaun amanah – Benefisiari boleh mendapat perlindungan berasingan sekiranya pemegang amanah mengemukakan kepentingan setiap benefisiari dan amaun yang tertakluk kepada setiap benefisiari akaun amanah pada rekod bank ahli. Setiap benefisiari dilindungi sehingga RM250,000 secara berasingan daripada deposit diinsuranskan lain yang dipegang atas nama benefisiari tersebut.
  4. Akaun perniagaan milikan tunggal, perkongsian, praktik profesional dan syarikat.

Manfaat Perlindungan PIDM

  • PIDM melindungi deposit bank anda dan akan membayar balik dengan segera deposit yang diinsuranskan sekiranya berlaku kegagalan bank ahli.
  • Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik – tiada permohonan diperlukan untuk perlindungan ini.

Manfaat kepada Sistem Kewangan

  • PIDM memupuk keyakinan awam dalam sistem kewangan Malaysia dengan melindungi pendeposit daripada kehilangan deposit mereka.
  • PIDM memperkukuh dan melengkapi rangka kerja pengawalseliaan yang sedia ada dengan menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan.
  • PIDM meminimumkan kos kepada sistem kewangan dengan mengenal pasti penyelesaian kos terendah bagi mengurus institusi ahli yang tidak berdaya maju.
  • PIDM menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan dengan mengurus kegagalan institusi ahli dengan cepat dan membuat pembayaran balik kepada pendeposit dengan segera.

Pelaburan PIDM

PIDM akan mengurus dan melabur Kumpulan Dana ini secara berhemat untuk menjana pulangan yang berpatutan kepada PIDM serta memastikan Kumpulan Dana ini sedia ada untuk menampung kos operasi dan membuat pembayaran kepada pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli.

PIDM kini melabur dana-dananya hanya dalam instrumen yang selamat dan mudah tunai seperti sekuriti dalam denominasi Ringgit Malaysia yang dikeluarkan atau dijamin oleh Kerajaan atau Bank Negara Malaysia.

Kumpulan Dana Insurans Deposit Islam dan Kumpulan Dana Perlindungan Takaful diurus dan ditadbir mengikut prinsip-prinsip Syariah.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.