Reinsurans atau insurans semula juga boleh disebut sebagai insurans untuk penanggung insurans ataupun insurans kerugian. Reinsurans adalah satu prosedur atau amalan yang dilakukan oleh penanggung insurans atau syarikat insurans di mana penanggung insurans memindahkan sebahagian daripada portfolio risiko mereka kepada pihak lain dengan perjanjian atau syarat tertentu bagi mengurangkan kemungkinan untuk membayar jumlah yang besar ketika tuntutan insurans dilakukan.

Pihak yang mempelbagaikan portfolio insurans mereka atau memindahkan sebahagian portfolio insurans mereka boleh disebut sebagai pihak penyerah. Manakala pihak yang menerima pemindahan sebahagian daripada portfolio insurans atau menerima sebahagian daripada premium insurans boleh dipanggil sebagai pihak reinsurans atau pihak insurans semula.

Reinsurans membolehkan penanggung atau syarikat insurans untuk kekal stabil dengan memulihkan sebahagian atau semua jumlah yang dibayar kepada pihak penuntut insurans. Reinsurans juga mengurangkan liabiliti bersih terhadap risiko individu dan meyediakan perlindungan bencana daripada kerugian yang besar atau berganda.

Kaedah ini juga menyediakan atau memberikan syarikat-syarikat penyerah atau mereka yang mencari reinsurans, keupayaan untuk meningkatkan kekuatan perlindungan yang mereka tawarkan dari segi bilangan atau saiz risiko.

Kelebihan Reinsurans

Selain daripada melindungi syarikat atau penanggung insurans daripada komitmen individu yang terkumpul, reinsurans juga memberi lebih banyak keselamatan untuk ekuiti dan kestabilan kepada penanggung insurans dengan meningkatkan keupayaan mereka untuk menanggung beban kewangan apabila berlaku peristiwa yang besar dan luar biasa.

Melalui reinsurans juga, penanggung insurans boleh menawarkan polisi perlindungan yang meliputi bilangan atau saiz risiko yang lebih besar dan banyak tanpa perlu membebankan atau menjejaskan kos pentadbiran mereka secara berlebihan bagi menampung kestabilan mereka.

Di samping itu, reinsurans menjadikan aset cair yang yang besar tersedia untuk penanggung insurans sekiranya berlaku kerugian yang besar atau luar biasa. Reinsurans juga membolehkan penanggung insurans mengekalkan rizab yang mencukupi untuk membayar semua tuntutan insurans yang berpotensi daripada polisi yang dikeluarkan.

Jenis-Jenis Reinsurans

Terdapat lima jenis reinsurans yang boleh dilihat seperti berikut;

  1. Perlindungan fakultatif. Pelindungan fakultatif melindungi penanggung insurans bagi individu atau risiko ataupun kontrak tertentu. Sekiranya beberapa risiko atau kontrak lain memerlukan reinsurans, risiko atau kontrak tersebut akan dirundingkan semula secara berasingan. Penanggung reinsurans memiliki hak untuk menerima atau menolak cadangan reinsurans fakultatif.
  2. Perjanjian reinsurans. Perjanjian reinsurans adalah tempoh yang ditetapkan oleh reinsurans, bukannya berdasarkan risiko atau kontrak. Penanggung reinsurans melindungi semua atau sebahagian daripada risiko yang mungkin ditanggung oleh penanggung insurans untuk tempoh yang dipersetujui.
  3. Reinsurans berkadar. Di dalam reinsurans berkadar, penanggung reinsurans menerima bahagian kadar rata semua premium polisi yang dijual oleh syarikat insurans. Bagi tuntutan, penanggung reinsurans akan menampung sebahagian daripada kerugian berdasarkan peratusan yang dipersetujui. Penanggung reinsurans juga membayar balik kepada pihak penyerah untuk urusan memproses, pendapatan perniagaan dan kos pengurusan.
  4. Reinsurans tidak berkadar. Melalui reinsurans tidak berkadar, penanggung reinsurans bertanggungjawab sekiranya kerugian penanggung insurans melebihi jumlah tertentu, ini juga dikenali sebagai had keutamaan atau pengekalan. Oleh itu, penanggung reinsurans tidak mempunyai bahagian yang berkadar dalam premium dan kerugian syarikat insurans. Had keutamaan dan pengekalan adalah berdasarkan satu jenis risiko atau keseluruhan satu kategori risiko.
  5. Reinsurans kerugian lebih banyak. Reinsurans kerugian lebih banyak adalah jenis perlindungan tidak berkadar di mana penanggung reinsurans menampung kerugian yang melebihi had kemampuan penanggung insurans. Kontrak ini biasanya digunakan untuk malapetaka atau bencana dan meliputi penanggung insurans sama ada secara per-kejadian atau untuk kerugian terkumpul dalam tempoh yang dipersetujui.

Secara kesimpulannya, melalui reinsurans atau insurans semula, segala yang berkaitan dengan risiko yang berlaku atau semua tuntutan yang dilakukan pada tempoh perjanjian reinsurans akan dilindungi penanggung reinsurans walaupun kerugian berlaku di luar tempoh perlindungan.

Sebaliknya, tiada perlindungan atau penanggungan akan disediakan oleh penanggung reinsurans untuk tuntutan yang dilakukan di luar tempoh perlindungan walaupun kerugian berlaku semasa kontrak reinsurans tersebut masih efektif.

Jemput juga baca artikel tentang:

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.