Bagi pelajar-pelajar universiti yang tidak mempunyai biasiswa ataupun pinjaman yang cukup-cukup makan sahaja, pasti pening mana nak cari duit nak bayar yuran, kan?

Kalau yuran tak setel, banyak kesannya nanti macam tak boleh daftar semester, tak boleh semak keputusan exam atau tak boleh konvo!

Terutamanya bagi mereka yang sudah bekerja dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kos yuran agak “menyeramkan” lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai penaja atau mereka yang jenis self-funded.

Sekiranya anda mempunyai akaun KWSP, ini mungkin jalan keluar anda.

Jom kita ketahui syarat dan prosedur mudah cara-cara mengeluarkan duit dari simpanan KWSP untuk membayar yuran. Jemput baca pengeluaran KWSP untuk pengajian ini.

Syarat Pengeluaran KWSP untuk Melangsaikan Yuran Pengajian

  • Pemohon atau ibu bapa pelajar yang mempunyai baki simpanan dalam akaun 2 KWSP
  • Baki akaun 2 masih mencukupi
  • Pemilik akaun boleh jadi warganegara Malaysia atau bukan warganegara, serta belum mencapai usia 55 tahun semasa permohonan dibuat
  • Ibu bapa yang layak boleh mengeluarkan KWSP ini untuk menjelaskan yuran bagi anak kandung, anak tiri dan anak angkat (dengan sijil pengesahan)
  • Yuran pengajian adalah sebagaimana yang tertera dalam sistem kolej/universiti sahaja
  • Boleh digunakan untuk membayar yuran pengajian IPT di dalam dan di luar negara

Syarat Kelulusan Pengeluaran KWSP

  • Program pengajian di institusi pengajian yang dibenarkan KWSP sahaja
  • Telah mendaftar pengajian dan mempunyai nombor matrik pelajar
  • Pengajian dibiayai sendiri atau ditaja sebahagiannya
  • Mengikuti pengajian di peringkat diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, sarja atau doktor falsafah sahaja
  • Pengajian di institusi luar negara perlulah yang dalam mod pengajian sepenuh masa sahaja
  • Kekerapan yang dibenarkan ialah sekali bagi setiap semester (atau satu anak tanggungan dalam satu masa pengeluaran)
  • Bagi menyelesaikan yuran yang tertunggak, permohonan perlulah dibuat dalam tempoh maksimum 3 tahun dari tarikh tamat pengajian

Dokumen yang Perlu Disediakan

Secara umumnya, antara dokumen yang diperlukan ialah

  1. Borang pengeluaran KWSP untuk pembiayaan pendidikan (boleh didapati di kaunter KWSP dan laman web KWSP)
  2. Salinan kad pengenalan diri (jika diminta)
  3. Salinan nombor akaun bank (untuk kes tuntutan pembiayaan)
  4. Surat tawaran belajar (permohonan kali pertama)
  5. Surat akuan pendaftaran pelajar (disediakan oleh pihak universiti, kebiasaannya bahagian Bendahari)

Prosedur Permohonan

Pihak KWSP menyediakan dua cara permohonan pembiayaan yuran melalui pengeluaran simpanan dari akaun 2 KWSP ini, iaitu bayaran sebelum anda mendaftar pengajian/semester atau tuntutan selepas anda mendahulukan duit anda sendiri untuk membayar yuran.

Untuk lebih memudahkan urusan, KWSP telah menyediakan sistem atas talian KWSP online yang boleh diakses untuk membuat permohonan ini.

Namun, anda masih boleh pergi terus ke kaunter KWSP untuk melakukan prosedur ini atau untuk mendapatkan info tambahan daripada staf bertugas.

Pengeluaran KWSP menggunakan akaun KWSP

  1. Masuk ke i-Akaun KWSP dan isi maklumat dalam tab Pengeluaran (Permohonan Baru)
  2. Masukkan maklumat ahli dan nilai yang ingin dikeluarkan (pastikan semua diisi dengan tepat)
  3. Selesai mengisi, sistem KWSP akan menghantar permohonan anda kepada sistem universiti untuk disahkan
  4. Semakan status boleh dibuat dalam tempoh 48 jam
  5. Sekiranya tiada masalah, pihak KWSP akan menhantar sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan anda untuk pergi ke kaunter KWSP untuk pengesahan cap jari
  6. Semasa proses di kaunter, pegawai bertugas akan menyerahkan kepada anda satu surat pengesahan permohonan pengeluaran. Surat tersebut perlu disimpan untuk rujukan pada masa akan datang.
  7. Tunggu sehingga yuran anda dijelaskan

Tuntutan Wang Yuran yang Telah Dibayar Sendiri

Prosedurnya adalah lebih kurang sama dengan prosedur sebelum ini, cuma dalam sistem, sila letakkan maklumat akaun bank anda untuk menerima tuntutan.

Bagi prosedur sebelum ini, anda isikan maklumat institusi sebagai penerima bayaran pengeluaran KWSP ini. Memandangkan anda sudah mendahulukan duit anda untuk membayar yuran, tuntutan bayaran dibuat dengan mengisi maklumat akaun bank peribadi anda.

Semasa di kaunter, pihak KWSP mungkin meminta bukti sokongan (salinan kad bank, salinan resit bayaran, surat pengesahan institusi dan sebagainya) tetapi tertakluk kepada arahan mereka.

Sekiranya permohonan pengeluaran KWSP untuk pendidikan anda berjaya, bayaran akan dilakukan dengan cara berikut:

Proses Pembayaran

Setelah anda selesai melakukan semua prosedur, pihak KWSP akan mula memproses permohonan anda untuk menolak simpanan dalam akaun 2 KWSP anda, dan terus dikreditkan kepada anda atau institut pengajian anda.

Bagi bayaran kepada institusi pengajian, anda boleh menyemak status hutang anda menerusi sistem kewangan pelajar institusi anda.

Manakala bagi kes tuntutan pula,

Bagi bayaran yuran pelajar di dalam negara, bayaran pengeluaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank ahli dengan syarat-syarat berikut:

  • Ahli mempunyai akaun bank yang aktif dengan panel KWSP yang dilantik
  • Nombor pengenalan diri ahli adalah sama dengan rekod bank yang diberikan semasa permohonan
  • Bayaran akan dibuat dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM)
  • Sekiranya bayaran tidak berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank ahli, bayaran akan dibuat melalui cek jurubank

Bagi bayaran pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara pula, bayaran adalah melalui draf bank asing. Jenis matawang adalah seperti berikut :

  • Mata wang asing yang diterima adalah mengikut pilihan ahli sebagaimana yang dimasukkan dalam borang permohonan, dengan syarat matawang tersebut ada disenaraikan oleh KWSP bagi tujuan bayaran secara draf bank asing, atau
  • Pihak KWSP akan menukarkannya ke dalam matawang US Dollar sekiranya jenis mata wang yang dipohon oleh ahli dalam borang permohonan tiada dalam senarai KWSP bagi tujuan bayaran balik ini.

Jemput juga baca artikel tentang jenis pengeluaran KWSP bina rumah sendiri guna KWSP dan i-Saraan

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.