Memiliki rumah idaman memang menjadi matlamat ramai daripada kita. Setelah bersusah payah kumpul duit untuk proses pembelian, kini tiba masa untuk jejakkan kaki ke dalam rumah yang baru kita beli.

Takkan nak masuk ke dalam rumah kosong? Mestilah kena ada perabot rumah, hiasan dalaman, barangan asas keperluan dan sebagainya.

Kalau anda lupa untuk mengasingkan duit simpanan untuk urusan kelengkapan rumah, alamatnya anda akan tidur beralaskan tikar dan merenung syiling lah jawabnya!

Oleh itu, ayuh tambah ilmu pengurusan kewangan anda yang ingin membuat pembelian rumah. Berapa sebenarnya bajet biasa yang diperlukan untuk melengkapkan rumah baru anda?

Jadi, perancangan kewangan yang lebih teratur boleh anda lakukan supaya anda boleh ‘cuci kaki’ je untuk masuk rumah baru nanti.

Artikel ini akan mengupas senarai bajet perbelanjaan masuk rumah baru yang realistik dengan kedudukan ekonomi Malaysia sekarang. Jadi, jangan terkejut dengan bajet realistik ini!

Sebahagian kandungan dalam artikel ini dipetik hasil daripada perkongsian saudari Sophie di Twitter.

Jenis Rumah

Dalam artikel ini, saya akan sesuaikan bajet persiapan rumah bagi pembelian rumah kondominium/apartmen yang secara umumnya berkeluasan 850 kaki persegi. Jika anda membeli rumah teres berkembar dan sebagainya, mungkin anda boleh nisbahkan bajet ini dengan jumlah keseluruhan rumah anda tersebut.

Aspek Keselamatan

Kebanyakan rumah yang dibina pembina tidak dilengkapi dengan gril keselamatan di pintu dan tingkap.

Faktor keselamatan perlu dititikberatkan, tiada kompromi! Lebih-lebih lagi kita belum tahu persekitaran penduduk dan komuniti rumah baru kita itu.

Untuk itu, harga gril yang dipasang termasuk upah ialah RM3k-4k.

Selain itu, keselamatan litar elektrik perlu diberi perhatian. Anda jangan sewenang-wenangnya menyambung soket dan plug elektrik bergantung-gantung macam lampu hiasan di Aidilfitri! Silap hari bulan, litar pintas dan terbakarlah rumah idaman anda itu!

Tambahan pula, kebanyakan pemaju hanya menyediakan kemudahan elektrik seperti plug point, kipas dan lampu yang terhad dan mungkin terletak di bilik utama sahaja. Jadi, anda perlu mengupah juruelektrik yang bertauliah untuk membuat wiring tambahan. Contoh anggaran adalah seperti berikut:

  • Anggaran 1 kipas syiling : RM200.
  • Kos pemasangan 1 kipas : RM40.
  • Minimum 3 kipas : (RM200+RM40) x 3 = RM720
  • Wiring plug tambahan : RM50
  • Jumlah : RM800-1k

Belum lagi kalau anda berhajat untuk pasang penghawa dingin, dan kos ini bergantung kepada caj upah yang dikenakan.

Setakat ini, bajet anda ialah sekitar RM5k (biar bajet lebih, jangan kurang).

Barangan Kabinet dan Perabot

Imej via iLabur

Bagi kawasan dapur, kelengkapan kabinet merupakan antara perkara yang wajib khususnya bagi mereka yang akan memasak sendiri berbanding membeli makanan di kedai.

Berdasarkan tinjauan, kos pemasangan kabinet dapur ini mencecah RM6k-10k bagi set kelengkapan yang agak menyeluruh (laci, sinki, simpanan dan sebagainya). Semakin meriah kabinet, tentulah semakin tinggi kosnya bukan?

Bagaimana pula dengan meja makan? Atau anda gemar makan bersila?

Jika mahukan kelengkapan meja makan, harganya adalah dalam lingkungan RM500-1500 dan bergantung kepada bilangan kerusi dan jenis bahan (kayu, komposit, kaca).

Bagi perabot di bilik tidur, seperti almari baju, penulis menggalakkan built-in almari yang jenis tinggi sampai ke syiling kerana model ini lebih kemas, memaksimumkan ruang dan tidak akan mengumpul habuk di permukaan atas almari rendah yang biasa.

Ada juga mereka yang lebih gemar menggunakan almari kecil atau almari kain yang boleh dibeli dengan harga serendah RM50-200.

Sebagai rujukan, almari model tinggi yang dicadangkan tadi boleh diperolehi dengan harga seperti berikut:

  • Bilik tidur master: RM4500
  • Bilik tidur biasa: RM2k per bilik
  • Jumlah: RM4500+2k+2k = RM8500

Bagi set katil beserta tilam pula, yang bersaiz Queen biasanya dalam lingkungan harga RM1k/set.

Almari/rak TV di ruang tamu pula boleh didapatkan serendah RM500 hinggalah RM3k. Untuk design yang sederhana (tidak terlalu besar, mempunyai banyak ruangan untuk meletakkan barang) boleh didapati pada harga RM2k.

Imej via iLabur

Sofa jenis L sesuai ditempatkan jika kawasan ruang tamu yang agak kecil, dengan harga dalam RM500. Jika anda ingin membeli set sofa/kerusi lengkap, bajet yang diperlukan mungkin sekitar RM1k-3k.

Keseluruhan bajet buat masa sekarang ialah lebih kurang RM28k (mengambil kira purata pembelian barangan setakat ini).

Barangan Elektrik

Bagi yang betul-betul masuk rumah baru dengan tangan kosong, beberapa barangan elektrik asas seperti berikut boleh dipertimbangkan untuk dibeli, untuk memudahkan urusan seharian.

  • Televisyen (RM500-1k untuk saiz biasa)
  • Mesin basuh (RM300-500)
  • Peti ais (RM500-1k)
  • Jumlah : RM1300-2500)

Terdapat kedai-kedai elektrik yang menawarkan skim belian ansuran untuk mendapatkan barangan elektrik, namun, anda perlu merancang dengan teliti sama ada anda ingin tambah hutang keliling pinggang atau beli secara tunai.

Anda juga sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak memiliki barangan tersebut seperti dobi luar, hiburan melalui telefon bimbit dan laptop serta membeli makanan bungkus di kedai.

Setakat ini, bajet yang perlu disediakan dalam tangan ialah RM30k.

Hiasan Dalaman

Imej via iLabur

Sudah tentulah kita nak cantikkan rumah sendiri, bukan? Mengambil semangat rumahku, syurgaku, sekurang-kurangnya anda ingin meletakkan hiasan seperti frame gambar, pasu bunga, jam dinding, karpet dan lain-lain. Untuk penjimatan, anda boleh dapatkan di kedai serbaguna seperti Eco Shop RM2, DIY dan Daiso.

Mungkin dalam RM50-200, bergantung kepada kehendak anda.

Kebiasaannya, dinding rumah akan berwarna putih dan terserah kepada tuan rumah untuk menceriakannya. Kalau perlu upah tukang cat, bertambah lagi perbelanjaan. Ringkasnya, peruntukkan dalam RM500 untuk cat rumah (jika perlu).

Selain itu, langsir diperlukan untuk mengawal pencahayaan, selain memberi unsur hiasan di dalam rumah. Untuk kos langsir, julat kos ialah RM500-2k bagi satu rumah.

Nah, ditambah dengan kos hiasan dalaman ini, jumlah terkumpul bajet kita ialah sebanyak lebih kurang RM32k.

Lain-lain Keperluan dan Penutup

Mungkin ada yang ingin menambah barangan rumah seperti berikut, yang tentunya membesarkan lagi lubang dalam poket anda, seperti:

  • Penapis air
  • Ubah suai lantai
  • Hiburan tambahan (modem internet, Astro/Netflix)
  • Kelengkapan dapur (pinggan mangkuk, perkakas memasak)
  • Ubah suai bilik air
  • Rak tambahan

Ringkasnya, untuk selesa, anda perlu menyediakan bajet persiapan masuk rumah baru dalam RM40k-50k.

Ini adalah untuk persiapan yang minimum. Akhir sekali, apa-apa pun, anda perlu sentiasa beringat, cermat dan ukur baju di badan sendiri.

Barangan keperluan rumah ini juga boleh didapatkan secara beransur-ansur. Ingat, utamakan keperluan berbanding kehendak.

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.