Mencari info cara pajak gadai emas di Ar Rahnu?

Ramai yang menyimpan emas kerana emas adalah pelaburan dan simpanan yang baik dan takkan merugikan. Malah emas menjadi pilihan kerana ia lebih mudah untuk dicairkan semasa memerlukan berbanding simpanan yang lain seperti rumah, tanah, saham, dan sebagainya. Salah satu kegunaan emas ialah untuk digadaikan semasa keadaan terdesak.

Selama ini ramai yang menggadaikan emas di kedai pajak gadai konvensional namun terdapat pelbagai isu yang merugikan pelanggan seperti harga gadaian yang terlalu rendah, keselamatan barang gadaian tidak terjamin, malah ramai yang mengalami keadaan berat barang kemas semakin berkurangan selepas digadai.

Sumber: Rakyatmanagement

Ar-Rahnu atau pajak gadai islam adalah pilihan yang terbaik pada masa kini memandangkan ianya adalah berdasarkan pajak gadai cara islam dan patuh syariah. Malah ia bukan sahaja menjadi pilihan umat islam di negara malah kaum lain yang berlainan agama juga memilih untuk menggadaikan emas mereka di Ar-Rahnu. Hari ini kami akan kongsikan cara pajak gadai emas di Ar-Rahnu yang mudah, selamat dan menguntungkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pajak gadai Ar-Rahnu?

Pajak Gadai-i Ar-Rahnu diBank Rakyat menawarkan pinjaman tunai segera dan mudah sehingga RM350,000 dengan kadar upah simpan yang rendah berdasarkan 3 prinsip Syariah iaitu:

  • Qard yang bermaksud pinjaman tanpa faedah. Anda diberikan pinjaman tanpa sebarang faedah
  • Wadi`ah Yad Dhamanah iaitu simpanan dengan jaminan ke atas barang gadaian. Barang gadaian anda dijamin selamat
  • Ujrah yang bermaksud upah simpan yang diambil oleh pihak Bank Rakyat

Oleh itu bagi mereka yang kesempitan wang, mereka boleh menggadaikan emas mereka di Bank Rakyat untuk mendapatkan wang.

Siapa yang layak menggadaikan emas di Ar-Rahnu Bank Rakyat?

Berikut adalah syarat kelayakan gadaian di Ar-Rahnu Bank Rakyat:

  • Warganegara dan bukan warganegara Malaysia
  • Pemastautin tetap
  • Tidak muflis
  • Berumur 18 tahun ke atas

Apakah keistimewaan gadaian di Ar-Rahnu Bank Rakyat berbanding gadaian yang lain?

Pastinya anda ingin mengetahui apakah kelebihan pajak gadai emas di Ar-Rahnu Bank Rakyat berbanding pajak gadai emas yang lain di Malaysia. Di antara kelebihannya ialah:

  • Bebas dari unsur riba’. Ini adalah sangat penting bagi yang beragama islam
  • Tiada yuran proses
  • Kadar upah simpan dikira secara harian, ianya jauh lebih murah daripada gadaian yang lain
  • Tempoh gadaian yang lama
  • Barang kemas disimpan dengan selamat dengan pelindungan Takaful
  • Urusan niaga telus dan dibuat di hadapan pelanggan di dalam bilik khas

Apakah syarat barang gadaian di Ar-Rahnu Bank Rakyat?

Untuk menggadaikan emas anda, ianya wajib mematuhi syarat dan kriteria yang berikut:

  • Semua barangan kemas atau emas akan diterima kecuali barang gadaian yang berbentuk patung keagamaan atau makhluk hidup seperti haiwan dan manusia
  • Jongkong, wafer, syiling atau ketulan emas adalah diterima dengan syarat mempunyai resit pembelian atau sijil ketulenan yang sah. Tanpa kedua dokumen ini emas anda tidak akan diterima
  • Barangan emas yang dihadiahkan oleh majikan kepada pekerja dalam perkhidmatan adalah diterima dengan syarat:
  • Pekerja mengemukakan dokumen Sijil Penghargaan yang berkaitan
  • Mutu emas adalah di antara 22 hingga 24 karat
  • Berat emas  tidak melebihi 300 gram
Sumber: Youtube

Berapakah jumlah pinjaman yang ditawarkan?

Pajak gadai emas di Ar-Rahnu Bank Rakyat adalah lebih menguntungkan berbanding pajak gadai yang lain kerana ia menawarkan:

  • Maksimum margin pinjaman sehingga 70% dari nilai barangan gadaian (Nilai Marhun). Berbanding pajak gadai lain yang menawarkan margin yang jauh lebih rendah
  • Jumlah pinjaman sehari atau  terkumpul sehingga RM350,000
  • Jumlah pinjaman sehari untuk emas geronggang sehingga RM30,000

Adakah terdapat had pinjaman bagi gadaian emas di Ar-Rahnu Bank Rakyat?

Jawapannya ya. Terdapat had pinjaman bagi pajak gadai emas di Ar-Rahnu Bank Rakyat. Had yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Bagi pelanggan baru dan pelanggan sedia ada yang tidak mempunyai akaun Pajak Gadai-I, had pinjaman ialah sehingga 65% atas nilai marhun atau minimum RM1.00 dan maksimum RM10,000.00 bagi setiap gadaian.
  • Manakala bagi pelanggan sedia ada yang mempunyai akaun Pajak Gadai-i yang aktif atau jelas tanpa mengambil kira tempoh berlalu, had pinjaman ialah sehingga 70% atas nilai marhun atau minimum RM1.00 dan maksimum RM10,000.00 bagi setiap gadaian.

Berapa lamakah tempoh gadaian yang ditawarkan?

Di Ar-Rahnu Bank Rakyat, tempoh gadaian yang ditawarkan adalah dari 6 bulan sehingga 36 bulan namun terdapat juga tempoh lanjutan iaitu tempoh maksimum lanjutan gadaian tidak melebihi tempoh 18 bulan daripada tarikh gadaian.

Bagaimanakah cara untuk membuat bayaran semula dan menebus emas yang digadai?

Untuk menebus semula emas yang dipajak, anda boleh membuat bayaran sekali gus atau membuat bayaran ansuran sedikit demi sedikit mengikut kemampuan.

Berapakah upah simpan yang diambil oleh Ar-Rahnu Bank Rakyat?

Upah simpan yang diambil akan dikira berdasarkan nilai marhun dan tempoh bilangan bulan gadaian ditebus. Bagi barang gadaian yang ditebus dalam masa kurang daripada 15 hari, kadar upah simpan minimum bersamaan dengan kadar setengah bulan akan dikenakan ke atas pajak gadai tersebut.

Sumber: TRT

Itulah dia info tentang cara pajak gadai emas di Ar-Rahnu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara melabur pelaburan emas.

Rujukan:
1. Pajak Gadai Ar Rahnu. Bank Rakyat

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.