Anda pernah dengar tentang Mimaland? Jika anda generasi yang lahir pada tahun 70an dan 80an pastinya anda pernah mendengar tentang Mimaland. Bagi generasi yang lahir pada tahun 90an dan ke atas mungkin ini kali pertama anda mendengar tentang Mimaland.
Mimaland adalah taman tema yang penuh dengan misteri sejak proses pembinaan sehinggalah ia ditutup. Misterinya hampir sama seperti kisah highland Towers. Nak tak kalau kami ceritakan tentang sejarah dan kisah penutupan Mimaland yang penuh misteri?
Mimaland atau nama panjangnya Malaysia In Miniature Land adalah taman tema pertama yang dibina di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1992 dan ditutup pada tahun 1994 iaitu 2 tahun selepas pembukaannya. Ia terletak di Gombak, Selangor. Nak tahu lokasinya? Ia terletak di Jalan Gombak Lama yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Bentong. Jalan Gombak Lama ini adalah jalan alternative bagi mereka yang ingin pulang ke pantai timur jika lebuh raya pantai timur dan Karak mengalami kesesakan lalu-lintas bermula dari Tol Gombak.
Jika anda suka menonton filem melayu klasik, pastinya anda sukakan filem Gila-gila Remaja lakonan Faizal Husin. Dalam filem tersebut terdapat satu babak di mana Azroy membawa teman wanitanya keluar untuk temu janji di Mimaland. Di sana mereka minum di restoran terapung di tepi tasik dan mendayung bot di tasik Mimaland.
Semasa pembukaannya, Mimaland mendapat sambutan yang hangat memandangkan ia adalah taman tema pertama di Malaysia. Belum pernah ad ataman tema seumpanya sebelum ini. Malah ia juga menyediakan landskap yang menarik dengan replika dinosaur bersaiz besar yang berselerakan di seluruh Mimaland. Dinosaur besar di sini adalah tarikan utama Mimaland.
Setiap pengunjung yang datang ke sini pasti akan meluangkan masa untuk melihat semua dinosaur yang ada dan bergambar bersama replica dinosaur untuk dijadikan sebagai kenangan. Bukan saja replika dinosaur yang menjadi tarikan di sini malah ia juga dikelilingi oleh hutan hujan tropika semulajadi yang dibiarkan semasa proses pembinaan dijalankan.
Selain itu terdapat juga tasik yang luas untuk aktiviti air seperti mendayung sampan dan juga taman tema air dengan kolam terbesar di Asia Tenggara dan gelongsor gergasi yang menjadi kegemaran ramai. Jika anda ingin bermalam di sana terdapat juga bilik motel dan lodge yang boleh disewa dengan harga yang berpatutan. Pengalaman bermalam di tengah hutan hujan tropika pastinya akan menjadi kenangan yang indah buat kita sekeluarga.
Sebaik sahaja Mimaland dibuka, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dari bukan sahaja pengunjung dalam negara malah di kalangan pelancong luar negara juga. Rakyat Malaysia dari seluruh negara meluangkan masa bersama keluarga di sini. Pelancong luar negara seperti Singapura juga memilih Mimaland sebagai destinasi pelancongan. Pendek kata Mimaland sentiasa meriah dengan pengunjung terutamanya pada hari minggu.
Namun tidak lama kemudian insiden buruk mula berlaku lalu menyebabkan para pengunjung mula takut untuk bercuti di sini. Pada Januari 1993, seorang warga Singapura dilaporkan mati lemas dalam satu insiden tragis di sini. Tidak lama kemudian berlaku kejadian ngeri kematian dua kanak-kanak adik-beradik di kolam besar yang menjadi kebanggaan Mimaland. Malah para pengunjung yang bermalam di sana mula bercerita tentang kejadian pelik dan mistik yang menimpa mereka semasa menginap di sana.
Kemuncaknya, pada tahun 1994, pembangunan Mimaland di kawasan tersebut telah mengganggu struktur tanah lalu menyebabkan berlakunya kejadian demi kejadian tanah runtuh lalu menyebabkan air kolam Mimaland keruh. Kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku juga menyebabkan berlakunya kerosakan kepada taman tema air dan replika dinosaur yang dibina. Tanah runtuh dan kerosakan yang berlaku menyebabkan msyarakat risau tentang keselamatan jika berkunjung ke sana.
Sebagai langkah keselamatan pihak Mimaland menutup taman tema tersebut untuk sementara waktu untuk melakukan kerja membaik-pulih namun sayangnya sehingga hari ini ia tidak dibuka semula. Mimaland terus ditutup untuk orang ramai. Hari ini ia menjadi tapak teman tema tinggal terbengkalai yang dipenuhi dengan flora dan fauna. Taman tema, replika dinosaur, restoran terapung dan motel masih ada di sana dalam keadaan terbiar.
Ia juga menjadi lokasi pilihan kumpulan menjejak aktiviti paranormal dan mereka yang sukakan cabaran. Walau pun Mimaland adalah tanah persendirian dan dijaga oleh pengawal keselamatan, hari ini ramai yang mencuri-curi masuk ke sana untuk melihat persekitarannya sambil mencari-cari perkara mistik seperti yang diperkatakan.
Pada hari ini Mimaland sudah ditutup dan orang ramai tidak dibenarkan untuk memasukinya. Penceroboh yang ditangkap boleh didakwa di mahkamah. Malah ada pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk ke sana. Namun ramai yang masih mencuba untuk masuk ke sana kerana tarikan mistik.
Bayangkan keadaan di mana kesemua replika dinosaur masih ada di sana. Taman tema dan restoran masih ada. Malah motel dan lodge juga masih tersergam indah di sana namun sudah reput dan berlumut akibat lama ditinggalkan. Keadaan ini menyebabkan ramai yang mengatakan Mimaland sudah mempunyai penunggu dan berhantu.
Malah ada yang mengatakan bahawa kolam besar Mimaland digunakan oleh penjenayah untuk membuang mayat. Lalu menyebabkan semakin ramai yang percaya bahawa Mimaland adalah lokasi berpenunggu yang seronok untuk diteroka pada waktu malam.
Itulah dia info tentang Mimaland : Sejarah dan kisah penutupan taman tema ini yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang syabu dan jenis-jenis dadah