Dadah merupakan sebarang bahan yang apabila memasuki tubuh badan boleh mengubah fungsi tubuh badan sama ada secara fizikal dan / atau secara psikologi. Dadah boleh menjadi sesuatu yang sah di sisi undang-undang seperti alkohol, kafein dan tembakau atau boleh menyalahi undang-undang seperti ganja, ekstasi, kokain dan heroin.

Dadah-dadah psikoaktif ini mempengaruhi sistem saraf pusat dan mengubah tingkah laku, perangai dan pemikiran seseorang. Dadah-dadah psikoaktif ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sedatif (depressant), perangsang (stimulant) dan halusinogen (hallucinogen).

Selain itu, dadah-dadah yang berbeza ini memberi kesan kepada tubuh badan anda dengan cara yang berbeza-beza, dan kesan-kesan yang berkaitan dengan dadah ini juga boleh berubah-ubah antara satu individu dengan individu yang lain. Kesan dadah ke atas seseorang bergantung kepada pelbagai faktor antaranya saiz tubuh badan, kesihatan individu dan sama ada terdapat dadah lain di dalam tubuh badan seseorang pada masa yang sama semasa pengambilan dadah.

Tambahan lagi, anda harus mengetahui bahawa dadah-dadah yang terlarang merupakan bahan-bahan tidak terkawal, justeru kualiti dan kekuatan dadah tersebut mungkin berbeza-beza. Dadah juga mempunyai kesan jangka pendek dan jangka panjang, di mana ianya boleh menjadi fizikal dan psikologi, dan boleh termasuk kebergantungan. Anda boleh bertindak, merasa dan berfikir secara berbeza apabila berada di bawah pengaruh dadah, dan anda juga mungkin bergelut untuk mengawal tindakan dan pemikiran anda.

Harus diingat, semakin banyak dadah yang anda ambil, semakin bertambah ketahanan anda terhadap kesan-kesannya. Namun begitu, ini boleh membawa kepada pengambilan dadah pada dos yang lebih besar bagi merasai kesan-kesan dadah. Pengambilan berlebihan ini boleh menyebabkan kebergantungan. Kebergantungan dadah dengan cepat boleh menjejaskan kesihatan psikologi dan fizikal anda, dan boleh juga menjejaskan pekerjaan dan kehidupan sosial anda.

Jenis Dadah Dan Kesannya

Dadah boleh menjejaskan sistem saraf pusat tubuh badan anda. Ia boleh menjejaskan cara anda berfikir, mempengaruhi perasaan anda dan mengawal tingkah laku anda. Dadah terbahagi kepada tiga jenis yang utama, iaitu sedatif, perangsang dan halusinogen.

1. Sedatif

Sedatif memperlahankan atau menekan fungsi sistem saraf pusat tubuh badan anda. Ia memperlahankan mesej untuk masuk atau keluar daripada otak anda. Dalam jumlah yang sedikit, sedatif boleh menyebabkan seseorang merasa tenang dan bebas. Dalam jumlah yang banyak pula, sedatif boleh mengakibatkan muntah-muntah, tidak sedarkan diri dan juga kematian.

Selain itu, sedatif menjejaskan daya tumpuan dan koordinasi anda, dan memperlahankan keupayaan tindak balas anda terhadap keadaan di sekeliling anda. Oleh itu, ianya adalah amat penting untuk anda tidak mengendalikan mesin-mesin berat sekiranya anda di bawah pengaruh sedatif.

Antara contoh-contoh sedatif adalah alkohol, ganja, ubat kepak (GHB), opiat (heroin, morfin, kodein) dan benzodiazepines (ubat penenang).

2. Halusinogen

Dadah dalam kategori halusinogen ini mengganggu deria anda terhadap realiti. Anda mungkin mendengar atau melihat sesuatu yang tidak benar-benar wujud di sekeliling anda ataupun anda melihat dan mendengar sesuatu perkara dengan cara yang tidak jelas atau terganggu. Antara kesan-kesan lain termasuklah euforia (kegirangan) emosi dan psikologi, rahang meregang, paranoia (sakit jiwa), masalah gastrik dan loya atau mual.

Ketamin, LSD (lysergic acid diethylamide), pensiklidin (PCP), cendawan magik (magic mushroom) dan ganja merupakan antara contoh-contoh dadah dalam kategori halusinogen.

3. Perangsang (Stimulan)

Dadah jenis perangsang ataupun stimulan ini menggalakkan atau merangsang sistem saraf pusat tubuh badan anda. Ia mempercepatkan proses penghantaran dan penerimaan mesej daripada dan kepada otak anda, membuatkan anda merasa lebih peka dan yakin.

Dadah-dadah jenis ini boleh meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah dan suhu badan anda, mengurangkan selera makan, gangguan dan kurang tidur. Pengambilan dalam kuantiti yang besar pula boleh menyebabkan kebimbangan, cemas, sawan, kejang perut dan paranoia.

Antara contoh-contoh perangsang adalah seperti kafein, nikotin, amphetamine (speed dan Ice), kokain dan ekstasi (methyl​enedioxy​methamphetamine / MDMA).

Imej via iLabur

Faktor Risiko Untuk Bahaya Berkaitan Dadah

Kesan sesuatu dadah, dan berapa lama kesan tersebut akan kekal adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut;

  • Jenis dan kekuatan dadah yang diambil
  • Bagaimana dadah itu dibuat (bahan-bahan yang dihasilkan di makmal sendiri mungkin mengandungi bakteria, bahan kimia berbahaya dan bahan-bahan tidak selamat, dan mempunyai kekuatan yang tidak diketahui), yang mana satu dos sahaja sudah boleh menyebabkan dos berlebihan (overdose) yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian
  • Fizikal anda (tinggi, berat badan, umur, lemak dan metabolisma anda)
  • Dos yang diambil
  • Kekerapan dan tempoh pengambilan dadah
  • Kaedah pengambilan dadah (sama ada sedutan, suntikan atau telan). Kaedah sedutan dan risiko lebih berisiko untuk “overdose” dan pergantungan berbanding kaedah telan
  • Kesihatan mental, angin (mood) dan persekitaran anda di mana ianya boleh mempengaruhi pengalaman anda semasa mengambil dadah
  • Pencampuran dadah yang di ambil

Bahaya Fizikal Pengambilan Dadah

Pengambila dadah boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka pendek mahupun jangka panjang. Sebahagian daripada kesan ke atas kesihatan ini boleh menjadi serius dan berkemungkinan tidak dapat dipulihkan. Pengambilan dadah boleh membawa kepada risiko bahaya dan tingkah laku luar kawalan.

Apabila anda berada di bawah pengaruh dadah, anda akan lebih mudah untuk mengalami kemalangan, sama ada di rumah, di atas jalan raya ataupun di mana sahaja anda berada. Selain itu, anda juga mugkin terdedah kepada serangan seksual atau anda mungkin terlibat dalam aktiviti seks tanpa perlindungan yang mana boleh membawa kepada kehamilan dan jangkitan seksual.

Selain itu juga, pengaruh dadah boleh menyebabkan anda melakukan serangan seksual dan jenayah lain. Tambahan lagi, ianya boleh menyebabkan anda sukar untuk tidur, berfikir, mengingati sesuatu serta menyelesaikan masalah yang anda hadapi.

Selain daripada itu, pengambilan dadah juga memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan anda yang termasuk merosakkan organ-organ dan sistem-sistem dalam tubuh badan anda seperti tekak, perut, paru-paru, hati, jantung, otak dan sistem saraf.

Dadah juga boleh mengakibatkan kanser melalui penyedutan dadah, penyakit berjangkit akibat daripada perkongsian peralatan seperti jarum suntikan, dan membahayakan kandungan anda sekiranya anda mengandung.

Selain itu, pertumbuhan jerawat dan luka pada kulit akibat daripada pengambilan dadah yang menyebabkan anda menggaru dan mencakar kulit anda. Ia juga meninggalkan kesan jarum dan kerosakan urat akibat daripada kekerapan suntikan.

Di samping itu, dadah juga menyebabkan pertumbuhan corak (pattern) lelaki pada tubuh badan wanita seperti pertumbuhan janggut dan misai dan banyak lagi kesan-kesan jangka panjang yang boleh berlaku kepada anda akibat daripada pengambilan dadah.

Kesimpulan

Terdapat beberapa jenis dadah yang wujud di seluruh dunia. Walaupun, penggunaan dadah untuk tujuan perubatan telah terbukti secara saintifik dan klinikal, namun pengambilan dos yang tidak terkawal dan berlebihan boleh memberikan kesan buruk kepada si pengguna.

Lebih buruk lagi, pengambilan dadah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada pengguna, malah ia turut menjejaskan ahli keluarga si pengguna, masyarakat setempat dan juga merosakkan imej negara.

Oleh itu, sama-samalah kita berjuang untuk membanteras gejala pengambilan dadah dan menjadikan negara kita ini sebuah negara yang selamat dan sihat daripada gejala-gejala dadah.

Jemput juga baca artikel tentang syabu

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.