Orang melayu kaya dengan kisah lagenda yang menarik dan diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Apa yang menarik, kebanyakan kisah lagenda ini meninggalkan kesan sejarah yang boleh dilihat sehingga hari ini. Pada hari ini kebanyakannya menjadi pusat tarikan pelancong dan dilawati bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah pelancong dari luar negara. Jom kami kongsikan 5 kisah lagenda melayu untuk tatapan anda.

1. Puteri Gunung Ledang

Puteri Gunung Ledang duduk bersemayam di atas puncak Gunung Ledang, seperti namanya. Beliau dikatakan mempunyai wajah yang amat cantik lalu menyebabkan Sultan Melaka jatuh cinta. Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa pembesar lain dihantar sebagai rombongan meminang. Semasa rombongan meminang tiba, Puteri Gunung Ledang bertukar menjadi nenek kebayan dan meletakkan 7 syarat pinangan:

  • 1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati hama.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.

Syarat yang sukar itu sengaja diletakkan sebagai simbolik bahawa Puteri Gunung Ledang tidak mahu berkahwin dengan Sultan Melaka.

2. Sumpahan Mahsuri

Ini adalah kisah lagenda dari Pulau Langkawi. Mahsuri adalah seorang wanita cantik. Semasa suaminya pergi berperang, beliau telah difitnah menduakan suaminya dan dihukum bunuh oleh pembesar yang merupakan abang iparnya sendiri. Fitnah ini berlaku kerana perasaan cemburu dan iri hati isteri abang ipar Mahsuri. Walau pun terdapat banyak bukti yang menunjukkan Mahsuri tidak bersalah, beliau tetap dihukum bunuh.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Mahsuri telah menyumpah Pulau Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan dan darahnya mengalir berwarna putih sekiranya beliau tidak bersalah. Apabila ditikam, darah yang keluar dari dada Mahsuri adalah berwarna putih. Malah Pulau Langkawi juga menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan. Pada hari ini Pulau Langkawi kembali maju setelah habis sumpahan Mahsuri.

3. Naga Tasik Chini

Sumber: Wattpad

Pastinya anda pernah mendengar kisah lagenda melayu naga Tasik Chini. Menurut lagenda, kisah ini berlaku sebelum kedatangan Islam di Nusantara. terdapat 5 saudara yang mempunyai ilmu batin yang membolehkan mereka hidup bertapa selama ratusan tahun dan bertukar menjadi naga iaitu:

  • Seri Daik yang bersisik emas
  • Seri Gumum yang bersisik besi
  •  Seri Pahang yang bersisik perak
  • Seri Kemboja yang bersisik tembaga
  • Seri Siam yang bersisik naga biasa

Seri Gumum dan Seri Pahang menghuni Tasik Chini. Satu hari, Seri Siam datang ke Tasik Chini dan berlawan dengan kedua-dua naga tersebut. Seri Gumum dan Seri Pahang tewas kerana Seri Siam datang bersama 100 buah meriam atas bantuan Raja Siam.

4. Lagenda Dayang Bunting

Tasik Dayang Bunting adalah salah satu tarikan pelancongan yang paling popular di Pulau Langkawi. Pendek kata, tidak lengkap lawatan anda ke Pulau Langkawi jika tidak menjejakkan kaki ke Tasik Dayang Bunting. Di sini juga terdapat Gua Langsuir yang popular. Menurut lagenda, tasik tersebut mendapat namanya kerana satu kisah yang menarik.

Al-kisah, seorang putera dari bumi telah berkahwin dengan seorang puteri dari kayangan. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahayamata namun mangkat sebaik sahaja dilahirkan. Puteri kayangan yang terlalu sedih telah menyemadikan bayinya ke dalam tasik tersebut sebelum pulang ke kayangan. Dipercayai bahawa sambil menyemadikan anaknya, puteri itu telah menjampi air Tasik Dayang agar menjadi penawar kepada pasangan yang mandul. Hingga hari ini ramai pasangan yang inginkan anak akan meminum sedikit air tasik ini.

5. Tanggang anak derhaka

Sumber: Tribunnews

Dalam banyak-banyak kisah lagenda melayu yang terkenal, kisah Tanggang pastinya tidak dapat dilupakan. Ia mengisahkan tentang seorang anak bernama Tanggang yang datang dari keluarga yang sangat miskin. Untuk mengubah nasib beluarga mereka, Tanggang mengambil keputusan untuk meninggalkan ibunya dan bekerja di atas kapal laut. Maka belayarlah Tanggang ke tengah laut mencari rezeki.

Semasa bekerja di atas kapal, nakhoda kapal tersebut tertarik dengan kerajinan dan keperibadian Tanggang. Akhirnya Tanggang berkahwin dengan anak nakhoda kapal dan menjadi nakhoda sebagai pengganti ayah mertuanya. Tanggang membawa kapal tersebut berlayar ke serata tempat bersama isterinya yang cantik.

Pada satu hari, ibu Tanggang yang semakin tua dan uzur mendapat berita bahawa ada satu kapal yang besar telah berlabuh di kampung mereka. Menurut kata orang kampung, nakhoda kapal tersebut bernama Tanggang. Sebaik sahaja mendengar berita tersebut, ibu Tanggang yang penuh dengan kerinduan telah menyediakan pisang salai kegemaran Tanggang dan pergi ke kapal tersebut untuk berjumpa anaknya.

Malangnya Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa perempuan tua yang uzur dan miskin itu adalah ibunya. Ibu Tanggang dihalau seperti anjing kurap. Ibu Tanggang yang terluka hatinya terus berdoa kepada Allah. Kalau benar Tanggang adalah anaknya, dia menyumpah Tanggang menjadi batu.

Tidak lama kemudian cuaca berubah. Kilat petir memenuhi ruang angkasa. Tanggang bersama kapalnya bertukar menjadi batu. Apa yang menarik, Indonesia juga mempunyai kisah lagenda yang hampir sama iaitu hikayat Malim Kundang. Malah pada hari ini ada boleh lihat batu berbentuk manusia dan kapal di pesisiran pantai yang dikatakan tempat berlakunya lagenda ini.

Itulah dia info  tentang lagenda melayu yang terkenal yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang lagenda Mahsuri.

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.