Cukai, dengan apa-apa namanya sekalipun, GST ke SST ke, bukanlah sesuatu yang digemari oleh rakyat kerana cukai bermaksud kena bayar lebih!

Antaranya, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang seringkali dikaitkan sebagai punca utama kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan

Untuk artikel kali ini, penulis ingin throwback pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang pernah ‘menggegar’ Malaysia sedikit masa dahulu, ayuh kita bincangkan apa kesan GST ke atas kos sara hidup rakyat di Malaysia.

Jom baca.

Pengenalan

Pada 1 April 2015, Malaysia telah memperkenalkan sistem percukaian baharu iaitu, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menggantikan sepenuhnya sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

GST merupakan cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada konsep nilai ditambah. Di bawah sistem GST, cukai dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian
pembekalan.

Sebagai permulaan, kadar GST adalah 6% berbanding dengan kadar cukai jualan terdahulu yang dilaksanakan pada kadar 5% hingga 10% dan cukai perkhidmatan pada kadar 6%. .

Di dalam komuniti ASEAN, Malaysia merupakan negara yang kelapan yang telah menguatkuasakan pelaksanaan GST. Indonesia telah melaksanakan cukai penggunaan tidak langsung ini semenjak tahun 1984, diikuti oleh Thailand (1992), Singapura (1993), Filipina (1998), Kemboja dan Vietnam (1999) dan Laos (2009).

Mekanisme GST

Imej via iLabur

Di bawah sistem percukaian GST, cukai dikenakan kepada pengeluar di sepanjang rantaian bekalan dan pengeluar pula akan melepaskan cukai tersebut kepada pengguna dengan membuat perubahan kepada harga akhir.

Perubahan kos pengeluaran akan diterjemahkan kepada perubahan harga barangan dan perkhidmatan.

Pada dasarnya, pelaksanaan GST merupakan satu daripada pendekatan jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.

Cukai ini lebih komprehensif kerana ia mencakupi hampir kesemua barangan dan perkhidmatan yang terdapat di pasaran berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang tertakluk kepada paras nilai yang tertentu sahaja.

Kebaikan GST

Pelaksanaan sistem percukaian GST mampu untuk meningkatkan kecekapan ekonomi yang dapat dilihat daripada beberapa sudut.

Pertama, GST cenderung untuk mengurangkan kos perniagaan kepada pihak pengeluar. Di bawah SST, peniaga tidak dapat menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input pengeluaran.

Di bawah sistem GST kos pengeluaran dijangka lebih rendah disebabkan pengeluar boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah di setiap peringkat rantaian pembekalan.

Kedua, peningkatan penyertaan perniagaan kepada sistem GST membantu meningkatkan pematuhan ke atas pembayaran cukai oleh sektor-sektor ekonomi tidak formal yang terdiri daripada aktiviti-aktiviti perniagaan yang tidak berdaftar dengan pihak berwajib.

Hal ini kerana untuk menuntut cukai yang dibayar ke atas input pengeluaran, sektor-sektor ekonomi tidak formal perlu mendaftar perniagaan mereka terlebih dahulu dengan pihak berwajib.

Ketiga, GST adalah sistem percukaian yang lebih adil kerana ia dikenakan secara sama rata ke atas kesemua pengeluar yang terlibat di dalam sesebuah rantaian pembekalan.

Kelemahan GST

GST juga berpotensi meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan yang seterusnya memberi impak kepada kos sara hidup isi rumah. Contohnya, di Kanada telah menunjukkan GST meningkatkan harga di antara 1.5% sehingga 2.0%.

Di Singapura, pelaksanaan GST telah meningkatkan kadar inflasi kepada 3.6% dan kadar ini adalah jauh lebih rendah daripada unjuran yang dilakukan oleh pihak kerajaan Singapura yang menganggarkan kadar inflasi akan meningkat kepada 5.5%.

Manakala di Thailand pula, GST berpotensi untuk meningkatkan kadar harga dan peningkatan tertinggi yang dicatatkan adalah sebanyak 5.0% iaitu untuk produk farmaseutikal.

Pengiraan Teori Anggaran Kesan GST

Asan et al. pada tahun 2016 ada membangunkan model matematik untuk menganggarkan kesan GST ke atas perbelanjaan isi rumah.

Menurut mereka, pelaksanaan GST berpotensi untuk menurunkan tingkat harga barangan dan perkhidmatan sebanyak 7.4% berbanding hanya 2.0% peningkatan harga yang dijangka.

Hasil daripada penurunan harga sebanyak 5.4% ini telah meningkatkan kuasa beli bagi semua kumpulan isi rumah yang dikaji dengan kumpulan berpendapatan rendah menikmati peningkatan kuasa beli lebih tinggi berbanding dengan kumpulan berpendapatan tinggi.

Seterusnya, perubahan kos perbelanjaan isi rumah di antara kumpulan isi rumah berpendapatan rendah dan yang berpendapatan tinggi diterangkan oleh perubahan kos perbelanjaan ke atas dua jenis barangan berikut:

(i) makanan dan minuman bukan alkohol, dan  (ii) perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api.

Impak kepada Kos Sara Hidup

Imej via iLabur

Impak Negatif

Pelaksanaan GST berpotensi untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan dan seterusnya memberi implikasi kepada kos sara hidup isi rumah.

Saiz impak yang akan dibawanya adalah berbeza kerana ia bergantung kepada struktur ekonomi negara yang berkenaan dan turut bergantung kepada faktor jangka masa (harga cenderung untuk stabil dalam jangka masa panjang).

  1. Berlakunya kenaikan kepada harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna akhir sekiranya cukai dikenakan ke atas barangan perantaraan. Hal ini terbukti apabila perbelanjaan isi rumah di kawasan luar bandar didapati meningkat daripada 7% kepada 12%.
  2. Kos sara hidup akan lebih terjejas jika pergerakan pendapatan isi rumah tidak setara dengan peningkatan kos perbelanjaan.
  3. GST adalah cukai penggunaan yang boleh menyebabkan golongan miskin mempunyai nisbah penggunaan pendapatan yang lebih tinggi ke atas barang dan perkhidmatan berbanding golongan kaya.

Impak Positif

GST juga membawa kesan positif kepada ekonomi. Hal ini berlaku kerana bahan makanan asas yang dahulunya tertakluk di bawah cukai jualan telah dikecualikan daripada GST.

Kadar inflasi akan menurun selepas satu jangka masa kerana kadar GST yang dikenakan adalah seragam.

Perkara ini akan menguntungkan para peniaga dan juga pengguna disebabkan bebanan kos pengeluaran dan sara hidup yang berkurangan.

Kesimpulan

Pelaksanaan GST telah menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang memberi kesan kepada isi rumah dan kos pengeluaran.

Namun begitu, kesan pelaksanaan GST akan dapat diminimakan sekiranya dikuatkuasakan dalam masa yang sesuai. Ahli ekonomi beranggapan bahawa pelaksanaan GST akan memberikan kesan yang paling minima ke atas kadar inflasi negara sekiranya ia dilaksanakan ketika tempoh keadaan ekonomi yang bergerak perlahan.

Rujukan

  1. Asan, A. G. H., Mohd Yusof, S., Chakrin, U., Azman, H., & Mukaramah, H. (2016). Penganggaran Impak Pelaksanaan CBP ke atas Kos Pengeluaran dan Kos Sara Hidup di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia50(2), 15-30.
  2. Dani, S. (2016). A research paper on an impact of goods and service tax (GST) on Indian economy. Business and Economics Journal7(4), 1-2.
  3. Gupta, V. K. (2018). Good and Service Tax An International Comparative Analysis. GST Simplified Tax System: Challenges and Remedies1(1), 231-233.
  4. Lourdunathan, F., & Xavier, P. (2017). A study on implementation of goods and services tax (GST) in India: Prospectus and challenges. International Journal of Applied Research3(1), 626-629.
  5. Yadav, S. S., & Shankar, R. (2018). Goods and service tax (GST): how and why. Journal of Advances in Management Research.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.