Apabila menyertai pasaran buruh, kebajikan para pekerja adalah tidak terjamin dan berisiko, menyebabkan mereka dikategorikan sebagai pekerja terancam atau vulnerable.

Bagaimana undang-undang buruh boleh melindungi golongan ini?

Jom ketahuinya dengan bacaan lanjut artikel ini.

Pengenalan

Kerancakan liberalisasi perdagangan antarabangsa sekitar akhir tahun 1990an yang disertai dengan pengurangan
kos pengangkutan dan inovasi kecanggihan teknologi komunikasi menyebabkan proses globalisasi meluas ke seluruh pelusuk dunia.

Proses integrasi ini yang dijelaskan sebagai ‘ekonomi tanpa sempadan’ telah meningkatkan lagi pengaliran modal dan perpindahan teknologi, khususnya dari negara maju ke negara kurang maju serta migrasi buruh secara lebih meluas sama ada dalam kalangan pekerja mahir mahupun pekerja tidak mahir.

Sedikit sebanyak, telah menimbulkan tekanan ke atas negara pesaing dan firma tempatan bagi meningkatkan prestasi output dan daya saing.

Penjimatan kos dalam perlumbaan ini yang dikaitkan dengan hipotesis ‘race to the bottom’ secara langsung atau tidak telah menimbulkan kesan negatif terhadap input berubah, khususnya buruh, bilangan pekerja tetap dikurangkan.

Menjejas Kebajikan Buruh

Sebagai ganti, lebih ramai pekerja kontrak, pekerja sementara atau pekerja kasual diambil bekerja. Langkah mewujudkan fleksibiliti dalam pasaran buruh sebegini memang dapat mengimbangi kesan turun naik permintaan dalam pasaran keluaran untuk jangka pendek dan sederhana.

Tetapi, langkah ini secara langsung atau tidak telah menjejaskan kebajikan dan jaminan pekerjaan para pekerja.

Semakin sukar bagi pencari kerja khususnya yang tidak mahir dan kurang pendidikan untuk mendapatkan pekerjaan tetap. Apatah lagi untuk mendapatkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Tidak cukup setakat itu, hak asas pekerjaan sering dinafikan dan faedah asas pekerjaan yang disediakan juga amat minimum. Keadaan pekerjaan dan persekitaran tempat kerja juga tidak selesa dan selamat.

Lebih buruk lagi apabila pekerja tidak mempunyai saluran (seperti kesatuan sekerja) bagi melindungi hak mereka sebagai seorang pekerja.

Risiko ke atas Buruh

Sekiranya prospek bagi memperbaiki keadaan ini lemah disebabkan oleh kekurangan maklumat atau kejahilan pekerja dan ketakberkesanan penguatkuasaan undang-undang, maka risiko yang terpaksa ditanggung pekerja, umpamanya dinafikan hak asas dalam pekerjaan, menjadi tinggi.

Akhirnya, dalam persekitaran pekerjaan yang sedemikian rupa menyebabkan pekerja akan terperangkap sebagai pekerja terancam.

Definisi Pekerja Terancam

Imej via iLabur

Pekerjaan terancam ialah pekerjaan yang mana pekerjanya menerima upah rendah, faedah pekerjaan amat minimum, pekerja bekerja dalam persekitaran tempat kerja yang tidak selesa dan merbahaya.

Mereka juga terdedah kepada ancaman pembuangan kerja dan diskriminasi keterlaluan menyebabkan sukar bagi pekerja dalam pekerjaan berkenaan mendapatkan perlindungan undang-undang.

Akibatnya, hak asas pekerjaan turut dinafikan. Ciri-ciri pekerjaan ini kemudiannya dipadankan kepada kumpulan-kumpulan pekerjaan tertentu, seperti pekerja keluarga, khususnya pekerja tanpa upah, pekerjaaan sementara terutama dalam pekerjaan tidak formal atau pekerjaan sendiri.

Fenomena Pekerja Terancam

Dalam laporan tahunan Guna Tenaga Pertubuhan Buruh Antarabangsa dianggarkan sekitar 1.48 billion hingga 1.59 billion pekerja atau separuh daripada guna tenaga dunia terlibat dalam pekerjaan terancam. Bilangan ini dianggarkan melalui pendekatan penjenisan pekerjaan, iaitu pekerjaan terancam.

Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, pekerjaan terancam ialah pekerjaan sendiri dan pekerjaan keluarga tanpa upah.

Memandangkan jenis pekerjaan ini paling banyak terdapat di negara-negara mundur dan sedang membangun, maka sekali gus, sebahagian besar bilangan pekerja terancam tadi juga turut berada di negara-negara berkenaan, termasuk Malaysia.

Antara 2008 hingga 2009 sahaja, bilangan pekerja yang terlibat dalam pekerjaan terancam bagi seluruh dunia dianggarkan meningkat melebihi 100 juta orang.

Jika kaedah yang sama, iaitu pekerja dalam pekerjaan sendiri dan pekerja keluarga tanpa upah digunapakai bagi menganggar bilangan pekerja terancam, maka pada tahun 2012 bilangan pekerja terancam di Malaysia adalah seramai 2.72 juta orang atau 21.3 peratus daripada keseluruhan guna tenaga.

Jika $2.00 dolar Amerika (USD) sehari diguna sebagai ukuran garis kemiskinan, maka dianggarkan sebanyak 5.9% atau seramai 185 juta orang pekerja berkemungkinan terperangkap ke dalam kemiskinan bagi tempoh berkenaan.

Asas Peruntukan Undang-undang

Sehingga kini Malaysia mempunyai tidak kurang daripada 16 statut atau undang‑undang bertulis mengenai buruh.

Undang-undang ini boleh dikumpulkan ke dalam 6 kumpulan, iaitu yang melibatkan:

  • pekerjaan
  • upah
  • keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  • kebajikan sosial pekerja
  • kesatuan sekerja
  • perhubungan industri

Salah satu akta terpenting dari segi menjaga kebajikan pekerja, ialah Akta Kerja 1955.

Hak Pekerja di Sisi Undang-undang

Hak pekerja di termasuklah:

  • gaji tempoh bekerja
  • cuti termasuk hari rehat
  • keselamatan dan kesihatan pekerja
  • penamatan atau pembuangan

Kesemua hak-hak asas ini terkandung dalam salah satu aspek penting undang-undang buruh, iaitu kontrak perkhidmatan yang antara lain memperincikan tentang terma-terma undang-undang yang menguatkuasakan hubungan antara mereka.

Penetapan Undang-undang Buruh

Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955 mentakrifkan kontrak perkhidmatan sebagai “Apa-apa perjanjian sama ada  lisan atau bertulis di mana majikan bersetuju untuk menggajikan orang lain sebagai pekerja dan pekerja bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja dan termasuk kontrak perantisan”.

Seksyen 10(1) memperuntukkan bahawa kesemua perjanjian pekerjaan bagi tempoh tertentu yang melebihi satu bulan hendaklah dalam bentuk bertulis.

Seksyen 10(2) pula menyatakan bahawa dalam setiap kontrak perkhidmatan bertulis, satu fasal hendaklah memperuntukkan cara bagaimana kontrak tersebut boleh ditamatkan oleh mana-mana pihak.

Dalam Akta Kerja 1955 disebutkan bahawa adalah menjadi kewajipan majikan memberikan kontrak perkhidmatan bertulis kepada setiap pekerjanya. Malahan, majikan juga adalah bertanggungjawab memaklumkan kepada pekerja butiran syarat dan terma kontrak pekerjaan yang ingin dimasuki oleh pekerja. Hak memaklumkan ini seharusnya dilaksanakan pada hari pertama pekerja diambil bekerja.

Akta Kerja 1955, turut diperuntukkan keperluan minimum terma-termapekerjaan yang mesti dipatuhi oleh majikan.

Perlu dijelaskan bahawa Akta ini hanya menyediakan peruntukan minimum tentang perlindungan terhadap upah dan bukan upah minimum, bagi memastikan pekerja tidak dieskploitasi oleh majikan dan seterusnya memastikan beliau tidak menjadi pekerja terancam.

Dalam Seksyen 7 Akta ini disebutkan bahawa apa-apa terma atau syarat kontrak perkhidmatan yang memberikan faedah yang kurang kepada pekerja daripada terma dan syarat perkhidmatan yang ditetapkan olehnya, iaitu Akta Kerja 1955, maka terma berkenaan adalah dianggap tidak sah.

Perlindungan Terhadap Pekerja Terancam

Imej via iLabur

Perlindungan terhadap golongan ini merangkumi perkara-perkara seperti:

  • kewujudan kesatuan sekerja di tempat kerja sebagai
    proksinya
  • mempunyai kontrak perkhidmatan
  • waktu bekerja normalnya tidak melebihi 8 jam sehari atau 48 jam seminggu
  • mendapat cuti mingguan sehari atau sekurang-kurangnya 11 hari cuti umum setahun seperti yang digazetkan
  • Pekerja ini juga mempunyai saluran perlindungan umpamanya dalam bentuk kewujudan kesatuan sekerja di tempat bekerjanya.

Kesimpulan

Faktor yang membuatkan kemungkinan seseorang pekerja menjadi pekerja terancam boleh membantu dalam pembentukan indikator pekerja terancam dan diterjemahkan kepada standard minimum pemburuhan Malaysia yang sedia ada.

Dalam setiap undang-undang buruh terdapat peruntukan hak asas atau hak minimum pekerja dalam pekerjaan. Penguatkuasaannya pula merupakan saluran sah bagi pekerja menuntut haknya atau mendapatkan perlindungan.

Rujukan

  1. Hamid, Z. A., Shukor, S. F. A., & Ali Mohamed, A. A. (2018). Rights of migrant workers under Malaysian employment law.
  2. Shahiri, H., & Osman, Z. (2017). Pulangan Monetari Pekerja Terancam di Malaysia Berdasarkan Teori Upah Hedonik. Jurnal Ekonomi Malaysia51(1), 69-78.
  3. Zulkifly Osman & Hazrul Izuan Shahiri. (2014). Pekerja Terancam Berdasarkan Piawai Minimum Pemburuhan Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia 48(1) 2014 13 – 21.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.