Cara hendak buat tuntutan ganti rugi perkahwinan? Alangkah sendu pilunya hati kalau persiapan majlis perkahwinan telah banyak disiapkan. Barangan sudah banyak dibeli, hotel dan homestay disewa untuk saudara mara.

Tup tup, tak jadi kahwin! Pasangan anda buat perangai ke buat hal, tiada angina rebut taufan tsunami, anda kembali single! Tebal muka jadinya.

Boleh naik migrain bila teringatkan segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan/dibuat. Jangan pening kepala lagi, tahukah anda bahawa anda boleh kemukakan ganti rugi pertunangan dan hutang perkahwinan, melalui Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri.

Baik, jom baca artikel ini untuk dijadikan sebagai persiapan ilmu untuk anda dan orang sekeliling anda yang mungkin bakal berhadapan dengan situasi seperti ini.

Apakah definisi pertunangan?

Pertunangan ialah perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dengan makluman kepada keluarga belah pengantin lelaki melalui majlis ringkas yang belum melibatkan sebarang urusan pendaftaran perkahwinan.

Pertunangan Menurut Islam

Imej via iLabur

Pertunangan dengan seorang perempuan boleh diadakan, dengan 2 syarat iaitu:

  1. Semasa tempoh pertunangan, tiada halangan untuk melangsungkan perkahwinan pada masa akan datang bagi kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.
  2. Perempuan itu belum ditunangkan kepada orang lain.

Barang pemberian atau hantaran tunang merupakan amalan turun temurun adat kaum Melayu yang biasa dilakukan di Malaysia. Selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam, amalan pemberian hadiah ini dibenarkan.

Terdapat situasi yang tidak dibenarkan dalam Islam iaitu ‘gharar’ atau menimbulkan penipuan jika upacara pertunangan ini melibatkan perjanjian seperti jika pihak perempuan memutuskan pertunangan, dia perlu membayar ganti rugi sebanyak 2x ganda, dan sebagainya.

Tuntutan Barang Jika Pertunangan Terputus

Jika pertunangan dijalankan berdasarkan hukum syarak; boleh melalui lisan atau bertulis; bersendirian atau melalui perantaraan, lalu kemudiannya satu pihak enggan meneruskan perkahwinan yang dirancang tanpa mengemukakan sebab yang sah, dan pihak lagi satu masih mahu meneruskan perkahwinan,

maka, pihak yang mungkir bertanggung jawab untuk memulangkan semua pemberian pertunangan, atau yang sama nilainya  dan membayar kembali wang yang telah diterima.

Jika pihak yang mungkir terus diam tanpa memulangkan atau mengganti kos kerugian persiapan perkahwinan, hal ini boleh dibawa ke mahkamah untuk tuntutan dibuat secara undang-undang.

Kuasa Mahkamah

Tuntutan ganti rugi khususnya bagi orang Islam perlu dibuat di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah mengikut tempat mastautin pemohon. Sekiranya nilai tuntutan melebihi RM50k, tuntutan perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah.

Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri memang ada peruntukkan bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes tuntutan ganti rugi sebegini.

Harus diingat bahawa tuntutan saman malu tidak boleh dibuat di dalam Mahkamah Syariah. Jika tuntutan adalah bersifat ganti rugi am kerana menanggung aib/malu, tohmahan dan cemuhan masyarakat, penindasan emosi yang akhirnya menyebabkan tekanan jiwa dan perasaan, tuntutan sebegini perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil untuk Tuntutan Sivil.

Bentuk Tuntutan Ganti Rugi

Pihak yang dimungkiri boleh menuntut kembali barangan dan pemberian atau apa-apa perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi persiapan majlis perkahwinan, yang diberikan selepas tarikh pertunangan.

Pemohon yang ingin membuat tuntutan ini boleh terdiri daripada sesiapa yang menanggung kerugian akibat kemungkiran pertunangan ini.

Antara jenis tuntutan yang boleh dikemukakan untuk tuntutan ganti rugi ialah:

  • Duit belanja kenduri kecil kecilan semasa hari pertunangan untuk jamuan dan kos logistik (khemah, pelamin, jurusolek, etc)
  • Kos tempahan baju pengantin dan khidmat butik
  • Bayaran duit catering
  • Kos tempahan kad jemputan
  • Pengubahsuaian rumah yang dibuat demi menyambut majlis perkahwinan
  • Deposit jurugambar untuk majlis
  • Tempahan pelamin, langsir, cadar atau perabot untuk menyambut majlis perkahwinan

Syarat Membuat Tuntutan Ganti Rugi Pertunangan

Kontrak atau akad tunang perlu dikemukakan yang sah di sisi undang-undang dan hukum syarak.

Mahkamah akan mentaksir dan menilai jumlah kerugian sebagaimana bahan bukti yang dilampirkan.

Sebelum itu, bagi mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Bantuan Guaman sebelum mengemukakan tuntutan, beberapa dokumen perlu disediakan seperti berikut:

  • Maklumat peribadi pemohon (kad pengenalan, alamat, nombor telefon, maklumat pekerjaan)
  • Maklumat pihak yang dituntut
  • Laporan atau resit yang berkaitan
  • Hutang Perkahwinan

Selain tuntutan ganti rugi pertunangan, Jabatan Bantuan Guaman turut membantu kes yang melibatkan tuntutan hutang perkahwinan. Hutang perkahwinan ini merujuk kepada apa-apa hutang yang wujud selepas pasangan menjadi suami isteri.

Tuntutan Hutang Perkahwinan

Imej via iLabur

Mana-mana pihak dalam perkahwinan yang dipaksa menanggung kerugian atau beban akibat kegagalan pasangan menjelaskan hutangnya boleh membuat tuntutan hutang perkahwinan ini.

Tiada peruntukan khas tentang waktu membuat tuntutan ini; tuntutan boleh dibuat sama ada sebelum atau selepas perceraian.

Syarat Membuat Tuntutan Hutang Perkahwinan

Pemohon perlu menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan beserta saksi dari pihak berkaitan untuk membuktikan bahawa hutang yang berlaku itu benar-benar disebabkan oleh perkahwinan tersebut. Mahkamah akan mentaksir dan menilai jumlah kerugian sebagaimana bahan bukti yang dilampirkan.

Untuk mendapatkan bantuan Jabatan Bantuan Guaman dalam menyelesaikan tuntutan ini dengan lancar, anda perlu mengemukakan dokumen yang diminta seperti:

  • Butir diri pemohon (kad pengenalan, alamat, nombor telefon, maklumat pekerjaan, sijil nikah/sijil cerai)
  • Maklumat pihak yang dituntut
  • Laporan atau resit yang berkaitan

Penutup

Artikel ini hanyalah sekadar penerangan ringkas sebagai rujukan dan makluman pengetahuan kepada orang ramai yang tidak mengandungi nasihat undang-undang yang lengkap dan terperinci. Semoga artikel tuntutan ganti rugi perkahwinan ini membantu.

Untuk keterangan lanjut, sila berhubung dengan mana-mana cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan atau Ibu Pejabat Jabatan Bantuan Guaman di alamat berikut:

Ibu Pejabat Jabatan Bantuan Guaman,

Aras 1, Bangunan Hal Ehwal Undang-undang,

Presint 3 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62692 Putrajaya.

Nombor telefon: 03 88851000

Nombor faks: 03 88851829/1830/1831

Atau boleh layari portal www.jbg.gov/my

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.