Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia tidak teragak-agak untuk mengakui bahawa Malaysia ialah syurga makanan berbanding negara jiran, mahupun di peringkat antarabangsa.

Tetapi, tahukah anda, kebanyakan bahan masakan yang digunakan bukanlah datang dari sumber tempatan yang ditanam di negara kita?

Sayangnya, sebab Malaysia mempunyai kawasan penanaman yang luas, sumber manusia pun ramai. Masih perlu import? Kenapa, ya?

Jadi, artikel ini akan membincangkan trend import bahan makanan ke dalam negara kita. Seterusnya, adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk mengurangkan nilai import ini?

Mengimport bermaksud kita mengalirkan duit ke luar, dan tentunya tidak begitu menguntungkan kita.

Jom baca!

Pengenalan

Sejak tahun 1980 lagi, sumbangan pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar telah menurun dan  negara terpaksa mengimport bahan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam skala yang besar untuk menampung permintaan pasaran.

Peralihan fokus ekonomi negara dari sektor pertanian kepada sektor perindustrian, tanpa kawalan dan perancangan yang rapi terhadap aspek pertanian telah menyebabkan isu ini berlaku.

Sudah 40 tahun berlalu, masih tiada tanda-tanda yang menunjukkan kita akan berhenti bergantung kepada negara luar bagi membekalkan kita bahan makanan.

Dilaporkan, dalam tempoh 5 tahun kebelakangan, nilai import kita mencecah sehingga RM45.4 bilion. Sehingga tahun 2019, jumlah import hasil pertanian ini sudah hampir RM50 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Walaupun begitu, agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI, Jabatan Pertanian Negara, FAMA, NGO dan sebagainya sentiasa mencari peluang untuk menyeimbangkan nilai import dan eksport hasil pertanian negara.

Bahan Import

Imej via iLabur

Kemasukan sayur, buah dan produk daging sejuk beku dan segar dengan lebih 50 jenis setiap satunya, datang dari lebih 120 negara seluruh dunia.

Sayur-sayuran seperti cendawan, bendi, kacang, bawang merah, bawang putih, keledek, tomato, brokoli, dan cili diimport dari beberapa negara jiran di rantau Asia seperti China, India, Thailand, Australia dan juga Singapura.

Bagi buah-buahan seperti tembikai, pisang, nanas dan juga rambutan adalah antara yang diimport dari luar negara, melalui negara-negara seperti Afrika, Australia, India, Thailand dan China yang menjadi pembekal utama bekalan buah-buahan di Malaysia

Selain itu produk makanan seperti ayam, daging lembu, daging kerbau, itik dan daging khinzir banyak diimport dari Amerika Syarikat, India, China, Australia, Timur Tengah dan beberapa negara lain dengan nilai import mencecah RM16.8 bilion.

Trend Import

Pada pertengahan tahun lepas sahaja, kerajaan membelanjakan hampir RM1.98 bilion bagi mengimport sayur-sayuran sahaja.

Untuk trend terkini, data melaporkan bahawa bahan makanan import yang paling banyak ialah kobis dan kelapa.

Sementara itu, tanaman seperti kentang, bawang dan lobak terpaksa diimport kerana bahan makanan sebegitu tidak sesuai ditanam di negara ini.

Buat masa sekarang, negara kita hanya mampu mengeluarkan dan mengeksport produk seperti telur, ayam dan daging khinzir.

Pada tahun lepas, kita berjaya mengeksport ke luar barangan makanan kita bernilai RM3 bilion, tetapi masih terdapat jurang RM6 bilion dengan nilai import.

Tahap Kebergantungan Produk Import

Imej via iLabur

Penyelamat kepada produk yang memberi nilai tambah dalam sektor pertanian di Malaysia ialah penanaman kelapa sawit yang besar-besaran untuk membekalkan minyak masak dan agro-makanan iaitu pertanian untuk keperluan pemakanan rakyat setempat seperti padi, durian, rambutan, kangkung, sawi dan sebagainya.

Kebergantungan yang sangat tinggi terhadap bahan makanan import ini telah menyebabkan harga jualan yang tinggi.

Sekiranya negara pengimport mengalami masalah dari segi sumber pertanian dan penternakan mereka, harga ini akan meningkat dan terus membebankan pengguna.

Contohnya, banjir teruk yang melanda India telah merosakkan tanaman bawang di sana.

Kesannya, harga jualan yang sebelum ini dalam lingkungan RM1.50 sekilo bagi bawang besar, telah meningkat menjadi RM3.00 dan ke atas kerana bekalan yang terhad.

Langkah penyelesaian

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyasarkan untuk mengurangkan nilai import sayuran sekurang-kurangnya sebanyak 30% atau bersamaan dengan RM1 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan bermula tahun pada tahun 2021.

Revolusi Perindustrian 4.0

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Sallehuddin Hassan, berkata nilai itu boleh dicapai melalui perkembangan Revolusi Industri (IR 4.0) dan kajian Dasar Agro Makanan 2.0 berasaskan teknologi moden yang merupakan antara komponen yang ditekankan dalam RMKe-12.

Usaha ini diharap dapat mengurangkan nilai import dan dijadikan sebagai titik pusingan untuk mengeksport barangan kita ke luar untuk menjana lebih banyak pendapatan negara.

Industri pertanian moden ini akan diberi keutamaan berbanding cara pertanian yang konvensional dan tradisional yang mempunyai beberapa kekangan seperti faktor usia, tanah dan tenaga kerja.

Kaedah pertanian moden yang mengaplikasikan teknologi IR 4.0 ini boleh menarik minat anak muda, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Antara tanaman yang akan diberi fokus ialah:

  • kobis bunga
  • lobak merah
  • salad
  • tomato

Penanaman ini boleh dijalankan di banyak tempat, tidak terhad kepada kawasan lapang sahaja seperti kontena, ruang kecil atau dalam bangunan terbengkalai.

Dijangkakan, pendapatan sekurang-kurangnya RM7k sebulan boleh dikecapi yang tertakluk kepada sistem teknologi yang digunakan, memandangkan hasil tuaian boleh dibuat dalam tempoh 20 hari.

Buat masa sekarang, penyelidikan berkenaan teknologi ini masih giat dijalankan, dan mendapati bahawa kos permulaan agak tinggi kerana masih baru untuk diterokai.

Perancangan ini turut melibatkan penghasilan buah-buahan dan penternakan.

Belanjawan 2020

Belanjawan 2020 turut membincangkan peranan IR 4.0 ini dalam membantu penghasilan baka yang lebih berkualiti dengan suntikan dana sebanyak RM43 juta. 

Selain itu, sebanyak RM150 juta diperuntukkan melalui galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

Sektor padi seperti tanaman padi pulut, skim baja dan pengeluaran padi diberi perhatian oleh kerajaan dengan saluran dana mencecah hampir RM900 juta. 

Kesimpulan

Bahan makanan merupakan produk yang akan sentiasa mempunyai penggemarnya. Makan untuk hidup, bukan?

Trend import makanan dengan nilai yang tinggi ini boleh dielakkan untuk menguntungkan negara kita juga.

Kalau nenek moyang kita boleh hidup dan cari makan dengan mengusahakan pertanian dan penternakan, kenapa tidak kita?

Tambahan pula, kita mempunyai pelbagai teknologi yang boleh memudahkan lagi aktiviti pertanian kita.

Rujukan

  1. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/04/07/import-makanan
  2. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/582968/sasar-30-peratus-pengurangan-nilai-sayuran-import
  3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/616660/belanjawan-2020-buktikan-sektor-agromakanan-penting
  4. Mingguan, W. (2016). Rakyat masih membazir RM100 juta sehari import makanan. Mingguan Wanita, 120-122.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.