Pengurusan kewangan keluarga bermula sebaik sahaja anda membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama insan yang tersayang. Kebanyakan pasangan hanya fokus kepada majlis pernikahan dan majlis resepsi di kedua belah pihak namun gagal untuk membuat rancangan yang lebih penting iaitu perancangan kewangan keluarga.
Hari ini kami akan kongsikan 10 idea pengurusan kewangan keluarga yang berkesan sebagai panduan buat pasangan pengantin baru yang akan memulakan hidup baru.
Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah pilih majlis yang ringkas dan sederhana. Majlis yanggah dan mewah akan menjadi sebutan sebulan dua namun bebanan kewangan majlis tersebut perlu anda galas untuk masa yang lama. Majlis ringkas dengan menjemput saudara-mara dan kenalan rapat sahaja adalah memadai.
Setiap pasangan pengantin baru pastinya mengimpikan destinasi berbulan madu yang indah dan mempersona. Bercutilah mengikut kemampuan, jangan sampai berhutang atau menghabiskan wang simpanan untuk berbulan madu. Jauh lagi perjalanan hidup anda berdua. Duit tersebut boleh digunakan untuk keperluan lain.
Tak salah kalau anda menyewa diawal perkahwinan semasa kewangan anda masih belum kukuh. Jangan terikut-ikut dengan dakyah bahawa anak muda wajib beli rumah semasa muda. Tak salah juga jika anda menumpang di rumah orang tua sambil mula mengumpul duit untuk membeli rumah atau bayaran pendahuluan rumah sewa.
Jangan terburu-buru untuk membeli kereta baru di awal perkahwinan. Ramai yang membeli kereta baru yang besar dan selesa kononnya untuk anak-anak apabila besar nanti. Sayangnya, apabila anak-anak besar kereta tadi sudah berusia dan anda mula curi-curi pandang kereta model baru dengan teknologi terkini. Jangan lakukan kesalahan ini. Gunakan kereta sedia ada. Beli kereta baru apabila sampai waktunya.
Ada masanya, pasangan yang menumpang di rumah orang tua terlupa tentang duit belanja dapur. Mungkin anda menyerahkan urusan belanja dapur kepada kedua ibu bapa. Jangan lakukan kesilapan ini. Walau pun ibu bapa anda mampu untuk menyediakan barang dapur, pastikan anda menghulurkan duit setiap bulan. Jangan abaikan tanggung jawab untuk menyara keluarga sendiri.
Sebaik sahaja anda berumah tangga, pastikan anda mula menyimpan duit untuk dijadikan sebagai bayaran muka untuk membeli rumah. Memiliki rumah sendiri adalah salah satu target yang wajib ada dalam rumah tangga anda. Sampai bila anda mahu menumpang rumah kedua ibu bapa? Sampai bila anda mahu menyewa? Satu hari nanti jika suami pergi dulu, pastinya anda inginkan sebuah rumah dengan nama sendiri sebagai tempat isteri dan anak-anak berteduh.
Apabila sampai masa untuk anda membeli rumah sendiri, pastikan anda membeli mengikut kemampuan. Bukannya untuk memuaskan kehendak anda suami isteri. Mungkin anda inginkan rumah teres tiga tingkat corner lot di kawasan elit. Hati-hati. Jangan sampai rumah yang merupakan aset bertukar menjadi liability apabila gaji anda setiap bulan dihabiskan untuk membayar rumah semata-mata. Pilih rumah dengan harga mampu milik dan memenuhi keperluan anda sekeluarga.
Apabila keluarga anda berkembang, pastinya anda mula berfikir untuk membeli kereta yang lebih besar dan selesa untuk kegunaan sekeluarga. Tak salah untuk anda membeli kereta baru namun jangan terikutkan hawa nafsu. Beli kenderaan mampu milik. Jika anda dan pasangan hanya mampu membayar RM1000.00 sebulan, jangan beli kereta dengan ansuran melebihi jumlah tersebut. Ambil kira juga duit yang perlu dikeluarkan untuk minyak, tol, parking, dan penyelenggaraan kereta tersebut.
Sebaik sahaja anda berumah tangga, pastikan anda dan pasangan disiplin untuk menyimpan dalam simpanan hari tua. Ini adalah simpanan yang tidak akan diusik langsung dan hanya akan digunakan apabila anda berdua sudah bersara semasa tua nanti. Jika anda tidak mampu untuk menyimpan dalam kuantiti yang banyak, mulakan dengan jumlah yang sedikit dan tambah nilainya apabila gaji anda dan pasangan semakin baik.
Katakan anda menyimpan RM10.00 seorang setiap bulan. Dalam masa setahun anda mempunyai simpanan sebanyak RM240.00. selepas 10 tahun anda akan mempunyai simpanan hari tua sebanyak RM2400.00. jika simpanan tersebut anda laburkan, pastinya anda akan mendapat dividen tambahan yang menguntungkan. Bayangkan berapa jumlah wang simpanan hari tua anda selepas 40 tahun jika anda bermula sebaik sahaja anda berkahwin?
Idea pengurusan kewangan keluarga yang terakhir ialah pastikan anda mempunyai simpanan kecemasan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. Mungkin anda akan kehilangan kerja, mungkin juga akan jatuh sakit. Atau siapa tahu salah seorang daripada anda dijemput terlebih dahulu oleh sang pencipta. Dalam senario yang paling buruk, mungkin salah seorang daripada ahli keluarga anda ditimpa penyakit kronik yang memerlukan belanja yang tinggi untuk pembedahan dan perubatan. Inilah pentingnya simpanan kecemasan yang diasingkan daripada simpanan hari tua.
Itulah dia info tentang idea pengurusan kewangan keluarga yang berkesan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang tips kewangan ibu tunggal dan tabiat buruk dalam pengurusan kewangan yang wajib dielakkan.