Terdapat pelbagai percanggahan pendapat berkenaan hukum bermain Forex di Malaysia. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah haram manakala ada juga yang berpendapat bahawa Forex adalah halal. Bagi anda yang bergelar Forex trader atau baru mahu menceburkan diri dalam dunia Forex, pastinya anda ingin tahu apakah sebenarnya hukum Forex dalam islam? Ianya halal atau haram?

Forex adalah haram

Sumber: Libertex

Untuk mengupas isu ini, kami merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh JAKIM dan Majlis Agama di negara ini. Salah satu daripada sumber rujukan kami ialah Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 1/2012 yang bersidang pada 14-15 Mac 2012. Di antara lain, mesyuarat tersebut telah membincangkan tentang Parameter Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing. Di akhir mesyuarat tersebut, keputusan yang diperolehi adalah seperti berikut:

Mesyuarat menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:

Syarat-syarat umum jual beli:

  • Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan untuk melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud)
  • Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad
  • Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli
  • Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:

  • Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
  • Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
  • Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.

Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, mesyuarat juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, mesyuarat mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui:

  • Pengenaan rollover interest
  • Pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage
  • Qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran
  • Penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan
  • Spekulasi yang melibatkan perjudian
  • Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sumber: Borseclub

Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Mesyuarat juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Oleh itu, jika kita berpegang kepada keputusan yang diperolehi oleh mesyuarat ini, maka hukum Forex di Malaysia ialah haram. Maka umat islam seharusnya menjauhkan diri daripada urus niaga tersebut.

Forex adalah halal

Jika tadi kita telah meneliti fatwa bahawa hukum Forex adalah haram, kini kita lihat pula pandangan yang mengatakan bahawa Forex adalah halal. Menurut pendapat ini, terdapat akaun Forex Islamik (Broker Forex Bebas Swap) yang diperkenalkan kepada pelanggan Muslim. Dalam akaun ini, para pedagang Forex tidak dikenakan faedah semalaman. Dalam masa yang sama juga broker Forex untuk akaun ini juga perlu membayar pampasan untuk perkhidmatan mereka dengan mengenakan komisen terhadap dagangan Forex.

Kebenaran pertukaran tangan ke tangan juga berlaku di antara broker dan pedagang Forex. Kedua-dua  pihak bertukar mata wang berlainan, maka jelas sekali ianya tidak melanggar konsep jual beli yang halal dalam islam. Pertukaran yang dijalankan berlaku dalam masa beberapa saat sebaik sahaja terdapat perintah menjual atau perintah untuk membeli.

Islam melarang umatnya berjudi yang meletakkan masa depan kepada nasib. Dalam Forex, masa depan pedagang tidak ditentukan oleh nasib. Sebaliknya bergantung kepada:

  • Ilmu pengetahuan dagangan forex
  • Analisis asas atau teknikal tentang turun naik pasaran
  • Penetapan satu arah yang dinilai untuk pasaran tersebut

Oleh itu, Forex dan perjudian adalah dua perkara yang berbeza. Dagangan Forex dilakukan dengan ilmu dan berdasarkan analisis yang dilakukan. Malah tiada unsur yang meragukan didalamnya. Maka tiada sebab untuk menjatuhkan hukum haram kepada Forex.

Jadi, sekarang anda dah tahu kedua-dua pandangan mengenai Forex. Bagaimana? Anda masih ingin berkecimpung dalam dunia Forex atau memilih untuk menjauhinya?

Itulah dia info tentang hukum Forex dalam islam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang perkara berkaitan saham yang anda perlu tahu.

Rujukan:

1. Parameter Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing. E-Smaf

2. Forex halal atau haram. Forex Malaysia

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.