Jika anda sedang membuat persediaan untuk menunaikan umrah, salah satu daripada aspek yang penting ialah menyediakan keperluan umrah untuk kegunaan anda semasa berada di Mekah dan Madinah nanti. Pastinya anda tidak mahu ada yang tertinggal. Anda boleh membeli barang kelengkapan di sana namun ianya jauh lebih murah jika dibeli siap-siap di Malaysia. Jom kami kongsikan checklist keperluan umrah lelaki sebagai panduan anda.

Sumber: Thestar

1. Passport

Perkara pertama yang anda perlu sediakan untuk menunaikan umrah ialah passport. Anda tidak boleh keluar dari Malaysia jika anda tidak mempunyai passport.

2. Buku panduan umrah

Sebelum berangkat untuk menunaikan umrah, pastinya anda sudah menyertai kursus umrah yang disediakan oleh pihak agensi. Namun adalah lebih baik sekiranya anda membawa buku panduan umrah sebagai bahan bacaan untuk mengingati semula apa yang telah dipelajari semasa kursus.

3. Aplikasi di telefon bimbit

Berikut adalah beberapa aplikasi telefon bimbit yang sangat berguna untuk anda semasa di sana nanti. Di antara aplikasi kegemaran kami ialah:

  • Asefny. Ini adalah aplikasi untuk memudahkan para jemaah mendapatkan rawatan perubatan.
  • Manasikana. Ini adalah aplikasi yang menyediakan terjemahan bagi jemaah yang tidak tahu berbahasa inggeris atau bahasa arab.
  • Quran. Aplikasi ini akan memudahkan anda membaca Al-Quran di mana saja tanpa perlu membawa Al-Quran.
  • Careem. Ia adalah aplikasi untuk memudahkan anda menempah teksi untuk pergi ke miqat atau berjalan-jalan.

4. Kain ihram

Jika anda ingin menunaikan umrah, kain ihram adalah kelengkapan yang paling penting untuk anda sediakan memandangkan ia adalah pakaian wajib semasa melakukan ibadah umrah. Apa yang perlu anda sediakan ialah dua helai kain berwarna putih. Sehelai kain akan digunakan sebagai sarung untuk menutup bahagian pusat hingga ke kaki manakalu sehelai lagi akan digunakan sebagai selendang untuk menutup tubuh. Anda dibenarkan untuk memakai tali pinggan untuk mengikat kain ihram di pinggang anda. Ini perlu ada dalam checklist keperluan umrah lelaki.

 5. Tali pinggang umrah

Anda boleh menyediakan tali pinggang umrah bagi tujuan mengikat kain ihram yang dibelit pada pinggang anda. Namun, anda juga boleh berjimat dengan cara menggunakan tali pinggang anda yang sedia ada. Tali pinggang biasa boleh digunakan semasa melakukan umrah.

6. Pakaian biasa

Selain ihram, anda juga perlu menyediakan pakaian lain untuk dipakai sepanjang anda berada di Mekah dan Madinah. Elakkan daripada membeli yang baru jika anda sudah mempunyai jubah, baju melayu, kurta atau t-shirt yang banyak. Gunakan saja baju sedia ada untuk berjimat. Pilih pakaian yang tidak terlalu tebal agar sesuai dengan cuaca panas di sana. Baju yang mempunyai poket juga adalah pilihan yang baik agar mudah untuk anda membawa duit semasa di sana.

7. Kain pelekat dan seluar panjang

Anda boleh membawa kain pelekat dan seluar panjang untuk dipakai semasa berada di bilik hotel. Bawalah pakaian yang selesa untuk dipakai semasa anda berehat.

8. Kopiah dan songkok

Jangan lupa untuk membawa kopiah atau songkok untuk anda pakai semasa solat di bilik hotel.

9. Seluar dalam

Anda tidak boleh memakai seluar dalam semasa berihram namun ia boleh digunakan semasa waktu yang lain. Oleh itu, jangan lupa untuk membawa seluar dalam anda.

10. Sabun basuh baju

Anda memerlukan sabun basuh baju untuk membasuh pakaian yang anda pakai semasa berada di sana. Para jemaah Malaysia suka membawa sabun cap buruh kerana ianya lebih kuat untuk menghilangkan kotoran dan habuk yang melekat pada pakaian.

Sumber: Beritaharian

11. Selipar

Jangan lupa untuk membawa selipar bagi kegunaan anda semasa melakukan umrah.

12. Kasut bertutup

Selain selipar, anda juga memerlukan kasut tertutup semasa melakukan ibadah umrah. Kasut bertutup diperlukan semasa berjalan di kawasan berbatu dan untuk mendaki gunung. Sepasang kasut bertutup sudah memadai.

 13. Ubat-ubatan

Jangan lupa untuk membawa ubat asas seperti ubat demam, ubat selsema, sakit tekak, cirit-birit, kembung, dan sebagainya. Jika anda bergantung kepada ubat yang perlu dimakan setiap hari, jangan lupa untuk membawa ubat yang secukupnya. Jika anda mengalami masalah asma, jangan lupa untuk membawa inhaler yang cukup.

14. Spray untuk berwuduk

Kelengkapan yang seterusnya ialah spray untuk berwuduk. Isikan botol tersebut dengan air dan bawa di dalam beg anda. Dengan adanya botol spray ini, anda tak perlu lagi bersesak di tandas untuk berwuduk.

15. Bantal kecil

anda boleh bawa bantal kecil untuk digunakan semasa anda tidur di dalam kapal terbang atau semasa beriktikaf.

16. Duit

Makanan anda disediakan oleh pihak agensi semasa melakukan umrah namun anda memerlukan duit untuk membeli makanan tambahan dan cenderamata untuk dibawa pulang.

17. Kad kredit atau kad debit

Kad kredit dank ad debit boleh digunakan sekiranya anda kehabisan wang semasa berada di Mekah dan Madinah. Pastikan ada wang didalam akaun bagi kad yang dibawa.

18. Tasbih

Anda boleh membawa tasbih biasa atau tasbih digital untuk mengira zikir yang anda amalkan sepanjang melakukan ibadah umrah.

19. Plastik kasut

Plastic kasut akan digunakan bagi menyimpan kasut semasa anda berada di tanah haram. Untuk pengetahuan anda, ia ada disediakan di sana namun adalah lebih baik jika anda bawa sendiri.

20. Sejadah kecil

Kelengkapan terakhir yang ingin kami cadangkan ialah sejadah kecil. Bawalah sejadah kecil didalam beg anda agar ia boleh digunakan apabila diperlukan.

Sumber: Mazsacrystal

Itulah dia info  tentang checklist keperluan umrah lelaki yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara buka akaun tabung haji

Rujukan:
1. The Rohani

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.