Resume adalah sangat penting bagi mereka yang sedang berusaha untuk mencari kerja. Resume yang baik akan menarik perhatian majikan dan memberikan anda peluang yang lebih baik untuk menonjol dan dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. Jom kami kongsikan cara buat resume kerja sebagai panduan buat anda.

Sumber: Thebalancecareers

1. Pastikan resume anda tidak melebihi dua mukasurat

Resume yang terlalu panjang dengan mukasurat yang banyak tak semestinya lebih baik. Resume yang terbaik adalah resume yang mempunyai 2 mukasurat. Satu mukasurat adalah  terlalu ringkas manakala tiga dan lebih banyak mukasurat adalah terlalu banyak.

2. Reka bentuk resume bersaiz A4

Cara buat resume kerja yang seterusnya ialah pastikan reka bentuk resume anda adalah bersaiz A4. Saiz A4 adalah saiz yang formal, maka ia adalah saiz yang paling sesuai untuk digunakan dalam urusan mencari kerja. Selain itu, setting A4 akan memudahkan anda mencetak resume tersebut apabila diperlukan.

3. Resume yang kemas

Pastinya anda setuju jika kami katakana bahawa resume terbaik adalah resume yang kemas. Elakkan daripada menyediakan resume yang berserabut dan tidak tersusun. Ia bukan sahaja akan menyukarkan majikan untuk membaca malah dalam masa yang sama akan mengurangkan peluang anda untuk diambil bekerja.

4. Tidak mempunyai terlalu banyak warna

Elakkan daripada menggunakan terlalu banyak warna di dalam resume anda. Elakkan juga daripada menggunakan warna yang terlalu cerah dan menyerlah seperti merah. Sebaiknya gunakan warna yang lembut dan formal seperti biru, dan pastikan Cuma ada dua atau tiga tona warna yang sama sahaja didalam resume anda.

5. Font yang kemas dan terang

Untuk menarik perhatian majikan, satu lagi trick yang boleh anda lakukan ialah dengan menggunakan font yang kemas dan terang, serta nampak profesional. Cadangan kami, gunakan font yang profesional seperti Sans Serif, Tahoma, Arial, Helvetica, Arial, Trebuchet MS ataupun Geneva. Manakala saiz font yang sesuai pula ialah di antara 10 hingga 12. Elakkan menggunakan saiz yang terlalu kecil atau terlalu besar.

6. Objektif kerja yang spesifik

Jangan lupa untuk meletakkan objektif kerja yang spesifik didalam resume anda. Sedikit tips untuk anda, bahagian objektif perlu sentiasa diedit dari masa ke masa bergantung kepada pekerjaan yang anda ingin mohon. Edit bahagian ini untuk memenuhi criteria kerja yang anda inginkan. Letakkan objektif yang ringkas serta berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, jika anda memohon jawatan sebagai seorang guru, letakkan objektif kerja yang spesifik dan berkaitan dengan bidang perguruan.

7. Isikan maklumat yang penting dan berkenaan sahaja

Masukkan maklumat yang penting dan berkenaan sahaja dan elakkan daripada memasukkan perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan jawatan yang dipohon seperti hobi atau makanan kegemaran, melainkan ianya adalah berkenaan. Sebagai contoh, jika anda memohon pekerjaan sebagai pemandu pelancong, maklumat tentang negara yang pernah anda lawati adalah berkenaan dan penting, namun jika anda memohon sebagai seorang jurutera, maklumat tersebut adalah tidak berkaitan dan tidak perlu ditulis.

8. Pencapaian akademik tertinggi di bahagian atas

Jangan lupa letakkan pencapaian akademik anda dengan meletakkan pencapaian tertinggi di bahagian atas. Sebagai contoh, jika kelayakan tertinggi anda ialah ijazah, letakkan ijazah di bahagian paling atas.

9. Penggunaan kata kunci yang sesuai

Tips seterusnya ialah untuk meletakkan kata kunci yang sesuai dan berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Jika anda memohon jawatan jururawat, gunakan kata kunci yang berkaitan dengan bidang perubatan.

10. Isi yang padat dan ringkas

Pastikan resume anda mempunyai isi yang padat dan ringkas. Tiada gunanya anda menulis resume yang panjang jika ianya kosong tanpa maklumat penting.

Sumber: Jawatankosongonline

11. Penggunaan emel peribadi yang formal

Jangan sesekali gunakan emel yang nampak kebudak-budakan dan tidak formal seperti [email protected] atau [email protected] Sebaiknya gunakan emel dengan nama penuh anda, ia akan kelihatan sangat profesional.

12. Profil foto yang kemas, formal dan nampak profesional

Seperti emel, elakkan juga daripada menggunakan gambar profil yang tidak kemas, tidak formal, dan tidak kelihatan profesional. Elakkan gambar ootd dan ala-ala instagram. Ambil gambar seperti gambar passport, ia adalah format gambar terbaik untuk digunakan sebagai gambar profil.

13. Rujukan yang sesuai

Untuk bagahian rujukan, anda boleh isi nama ketua jabatan, penasihat akademik, supervisor FYP atau pensyarah namun pastikan anda maklumkan pada mereka terlebih dahulu.

14. Maklumat untuk berhubung yang lengkap

Pastikan anda memberikan maklumat untuk berhubung seperti nombor telefon dan emel yang tepat agar pihak majikan dapat menghubungi anda untuk langkah seterusnya.

15. Pengalaman bekerja mengikut turutan

Untuk bahagian pengalaman bekerja, anda perlu masukkan pengalaman bekerja mengikut turutan dengan meletakkan pekerjaan terkini di bahagian paling atas, dan pekerjaan pertama di bahagian paling bawah.

16. Pastikan tiada kesilapan tatabahasa dan ejaan

Tips menulis resume yang seterusnya ialah pastikan tiada kesilapan tatabahasa dan ejaan agar anda kelihatan profesinal dalam melakukan kerja, terutamanya kertas kerja.

17. Elakkan berlebih-lebihan dalam menulis

Anda menulis resume untuk menarik perhatian majikan untuk menggajikan anda namun dalam masa yang sama elakkan daripada berlebih-lebihan dalam menonjolkan kelebihan diri.

18. Isikan maklumat yang tepat dan benar

Jangan sesekali tulis maklumat yang salah dan tidak benar kerana anda boleh didakwa kerana memberikan maklumat palsu, terutamanya pada bahagian kelayakan dan pengalaman bekerja.

19. Minta gaji yang munasabah

Letakkan gaji yang munasabah pada bahagian gaji yang diminta. Gaji yang terlalu rendah bukanlah jaminan bahawa anda akan mendapat pekerjaan tersebut.

20. Tonjolkan kelebihan diri

Tips menulis resume yang terakhir ingin kami kongsikan pada hari ini ialah tonjolkan kelebihan diri dalam resume anda. Tunjukkan kekuatan diri dan usaha untuk menarik perhatian majikan.

Sumber: Irmi

Itulah dia info  tentang cara buat resume kerja yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang notis berhenti kerja , etika pemakaian tempat kerja , cara daftar RFID secara online dan cara semak nombor telefon scammer.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.