Mencari tips cara berjimat cermat ang berkesan?

Apabila ditanya tentang punca masalah kewangan, sesetangah orang akan menjawab punca masalah kewangan mereka adalah disebabkan oleh sumber pendapatan yang rendah atau sedikit. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan orang, jawapan kepada punca masalah kewangan adalah tidak berbelanja dengan bijak atau tidak berjimat cermat.

Mungkin di kalangan anda merasakan agak susah untuk menyimpan wang atau berjimat cermat. Tambahan pula sekiranya anda berada di dalam kumpulan orang-orang yang berpendapatan rendah. Namun begitu, adakalanya yang menjadi penghalang untuk anda berjimat cermat bukannya jumlah pendapatan anda, tetapi detik anda ingin bermula.

Oleh itu, artikel kali ini akan menceritakan kepada anda semua tentang 10 cara berjimat cermat atau meyimpan wang untuk memastikan gaji anda sentiasa mencukupi sehingga waktu anda menerima gaji pada bulan berikutnya.

1. Buat Belanjawan (Bajet) Bulanan Anda

Anda perlu menjejaki perbelanjaan dan pendapatan anda untuk mendapatkan gambaran yang tepat mengenai keadaan kewangan anda. Apabila anda berbelanja atau membuat pembelian, simpanlah resit pembelian ataupun tuliskan tentang perbelanjaan tersebut di dalam sebuah buku nota. Selain itu, semak bil bulanan anda dan tambahkan perbelanjaan tersebut di dalam anggaran kewangan anda.

Di samping itu, anda boleh menyusun perbelanjaan anda mengikut kategori seperti makanan, pakaian, hiburan dan lain-lain lagi. Kategori dengan jumlah belanja bulanan tertinggi atau jumlah bulanan yang anda anggap sangat tinggi mungkin merupakan sasaran yang baik untuk menjimatkan wang.

Setelah anda mengenal pasti perbelanjaan anda, sediakan had bulanan atau mingguan untuk setiap kategori. Pastikan jumlah anggaran perbelanjaan lebih kecil daripada pendapatan anda untuk tempoh tersebut dengan baki yang boleh disimpan sekiranya mencukupi.

2. Rancang Pembelian Anda Terlebih Dahulu

Membuat keputusan secara melulu akan meningkatkan perbelanjaan anda. Anda perlu catatkan apa yang anda perlu beli ketika anda dalam keadaan tenang dan berada di rumah. Anda boleh memantau harga-harga barangan di beberapa buah kedai. Selepas itu, anda buat keputusan barangan apa yang perlu dibeli dan di mana akan dibeli. Semakin anda fokus, semakin kurang masa anda luangkan di kedai dan semakin kurang anda berbelanja.

Sekiranya anda menjadikan setiap pembelian sebagai satu keputusan yang penting, anda akan mampu membuat keputusan yang lebih baik. Selain itu, elakkan menerima sampel percuma atau mencuba sesuatu untuk suka-suka. Ini kerana, walaupun anda tidak merancang untuk membelinya, pengalaman yang anda nikmati akan mempengaruhi anda dalam membuat keputusan.

3. Elakkan Pembelian Keinginan

Sekiranya merancang pembelian anda terlebih dahulu merupakan idea yang baik, membeli sesuatu secara melulu pula merupakan idea yang teruk. Anda boleh ikuti tips-tips ini untuk mengelakkan daripada membuat keputusan membeli-belah dengan alasan yang salah;

  • Jangan melihat barangan-barangan atau berbelanja untuk suka-suka. Sekiranya anda hanya berbelanja untuk sesuatu barangan kerana anda merasa seronok berbelanja, anda mungkin berbelanja dengan jumlah yang besar untuk barangan yang anda tidak perlukan.
  • Jangan buat keputusan pembelian ketika penilaian anda terganggu. Alkohol, ubat-ubatan, atau kekurangan tidur boleh mengganggu kebolehan anda untuk membuat keputusan yang betul. Bahkan membeli-belah ketika lapar atau mendengar muzik yang kuat boleh menjadi idea yang buruk jika anda tidak mengikuti senarai beli-belah anda.

4. Membeli-Belah Secara Solo

Anak-anak, rakan-rakan yang suka membeli-belah, ataupun rakan yang mana anda hormati citarasanya dapat mempengaruhi anda untuk berbelanja lebih.

Selain itu, jangan terima nasihat daripada pekerja-pekerha kedai. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan, dapatkan jawapan daripada mereka secara berhemah, namun abaikan segala nasihat dalam keputusan pembelian. Jika mereka tidak meninggalkan anda, tinggalkan kedai tersebut dan datang semula kemudian untuk membuat keputusan anda.

5. Bayar Secara Penuh Dan Secara Tunai

Imej via iLabur

Kad debit dan kredit meningkatkan perbelanjaan anda dengan dua sebab iaitu anda mempunyai lebih banyak wang tersedia untuk anda belanjakan dan tiada wang nyata yang bertukar tangan. Begitu juga, dengan menggunakan kaedah hutang atau skim pembayaran ansuran akan menyukarkan anda untuk menyedari berapa jumlah sebenar perbelanjaan anda.

Selain itu, jangan bawa lebih banyak wang tunai daripada apa yang anda perlukan. Sekiranya anda tidak mempunyai wang tambahan, anda tidak akan berbelanja lebih. Begitu juga apabila anda mengeluarkan bajet dari mesin ATM, keluarkan sekali seminggu atau sebulan daripada mengeluarkannya apabila dompet anda kosong.

6. Jangan Terpedaya Dengan Pemasaran

Pengaruh luar adalah faktor besar yang mempengaruhi apa yang anda belanjakan. Berwaspada dan cuba perhatikan semua faktor yang menyebabkan anda tertarik dengan sesuatu barangan. Selain itu, jangan beli sesuatu berdasarkan iklan sama ada di televisyen mahupun pembungkusan produk.

Di samping itu, jangan berbelanja hanya kerana harganya diturunkan. Kupon dan jualan murah adalah bagus untuk barangan yang anda perlu beli, namun membeli sesuatu yang tidak termasuk dalam senarai keperluan hanya kerana terdapat potongan harga 50% tidak akan menjimatkan wang anda.

7. Tunggu Jualan Murah Atau Diskaun

Sekiranya anda perlukan sesuatu barangan namun tidak memerlukannya pada hari ini, anda boleh tunggu sehingga barangan itu dijual murah ataupun cuba dapatkan kupon untuk barangan tersebut.

Selain itu, gunakan kupon hanya untuk barangan yang anda perlukan atau bercadang untuk beli sebelum mendapat diskaun tersebut dan beli barangan yang hanya berguna pada waktu-waktu tertentu sahaja di masa yang lain seperti membeli baju di luar bulan perayaan kerana harganya jauh lebih murah.

8. Buat Kajian

Sebelum membuat pembelian yang mahal atau besar, anda boleh menyemak secara dalam talian atau membaca maklum balas pengguna untuk mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga terendah. Cari produk yang berada di bawah bajet anda yang mampu bertahan lama dan memenuhi keperluan anda sebaik-baiknya.

9. Perhatikan Semua Kos

Anda akan berakhir dengan membayar lebih banyak berbanding harga yang tertera untuk barangan-barangan besar. Oleh itu, baca kesemua maklumat dan jumlahkan kesemua bayaran sebelum membuat keputusan. Sebagai contoh, anda perlu menjumlahkan bayaran bulanan dengan jumlah bulan sehingga bayaran penuh untuk mendapatkan pilihan harga terendah untuk sesuatu barangan.

10. Beri Hadiah Kepada Diri Anda Sesekali

Ini mungkin terdengar seperti anda membeli sesuati yang anda tidak perlukan. Namun begitu, ianya lebih mudah untuk mengekalkan keazaman anda untuk berbelanja dengan bijak apabila memberi hadiah kepada diri anda sendiri sekali-sekala. Walau bagaimanapun, hadiah tersebut perlu dipastikan tidak begitu mahal.

Anda boleh lakukannya dengan mengenepikan sejumlah amaun yang terhad daripada bajet anda. Ini kerana tujuan hadiah ini adalah untuk menggalakkan anda supaya terus berjimat-cermat dan berbelanja dengan bijak. Sekiranya anda biasanya menganugerahkan diri anda dengan sesuatu yang mahal, cuba cari alternatif yang lebih murah seperti membeli sebotol sabun yang berharga RM50 berbanding menghabiskan RM300 untuk rawatan spa.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, gaji yang kecil bukannya penyebab mengapa anda sentiasa tidak mempunyai wang yang cukup sehingga anda menerima pendapatan pada bulan berikutnya. Sebaliknya cara anda berbelanja yang menentukan sama ada anda akan mempunyai wang yang cukup atau tidak pada hujung bulan ataupun pertengahan bulan. Semoga anda suka dan amalkan tips cara berjimat cermat ini.

Jemput juga baca cara menyimpan duit gaji RM1000 dan gaji minimum Asia Tenggara

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.