Bila sebut tentang beli kereta, secara lazimnya kita akan terbayangkan pinjaman sewa beli selama 9 hingga 11 tahun dengan pihak bank. Membeli kereta secara cash atau tunai bukanlah perkara yang biasa di Malaysia, terutamanya bagi kereta baru memandangkan harga kereta bukanlah murah. Agak mustahil untuk menyediakan duit sebanyak itu untuk membeli kereta. Namun ada juga yang berusaha untuk membeli kereta secara tunai bagi mengelakkan daripada berhutang.

Sumber: Pinterest

Jika anda berhajat untuk membeli kereta secara cash, dan tak tahu bagaimanakah prosedur untuk melakukannya, jom kami kongsikan cara beli kereta cash yang boleh menjadi panduan untuk anda. Cara yang akan kami kongsikan di bawah adalah terpakai untuk semua jenama kereta di Malaysia, sama ada buatan tempatan dan juga yang diimpot dari luar negara.

Panduan sebelum membeli kereta baru

Anda boleh mulakan pencarian kereta idaman dengan melakukan survey untuk memilih kereta jenama dan model mana yang ingin dibeli. Pastikan anda bukan sekadar melawat bilik pameran untuk melihat kereta namun anda juga telah mencuba test drive atau pandu uji kereta tersebut untuk merasa sendiri keadaan kereta tersebut di atas jalan raya. Nasihat kami, bawa semua ahli keluarga anda untuk menyertai pandu uji untuk melihat sama ada kereta tersebut sesuai untuk keluarga anda.

Setelah mendapat kereta yang sesuai, pastikan juga harga di atas jalan adalah sesuai dengan bajet anda. Selain harga di atas jalan, jangan lupa untuk melihat sekali berapakah harga untuk:

  • Insurans tahunan
  • Cukai jalan tahunan
  • Kos untuk penyelenggaraan umum

Adalah penting untuk anda mengetahui harga untuk insurans, cukai jalan, dan kos penyelenggaraan umum kerana ia selalu dilupakan oleh pembeli kereta yang baru. Mereka hanya melihat harga di atas jalan dan terlupa bahawa apabila membeli kereta terdapat kos lain yang perlu dibelanjakan.

Selain itu adalah penting juga untuk anda mengetahui berapa jauh perjalanan yang boleh diperolehi per liter dengan menggunakan kereta tersebut. Ini adalah sangat penting kerana minyak adalah di antara kos yang tinggi apabila mempunyai sebuah kereta. Seeloknya pilih kereta yang jimat minyak. Kalau anda mempunyai bajet, boleh juga beli kereta hybrid yang menggunakan minyak dan tenaga elektrik yang lebih jimat dan mesra alam.

Bagaimanakah cara beli kereta secara tunai?

Setelah mendapat kereta idaman, tiba masa untuk anda membuat belian. Prosedur untuk membeli kereta secara tunai adalah sangat ringkas dan mudah. Malah pembelian anda akan selesai dengan lebih cepat berbanding pembelian secara ansuran memandangkan ia tidak melibatkan pihak bank. Untuk membeli kereta secara tunai, apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Membuat tempahan. Anda boleh menempah kereta idaman di pusat jualan pilihan anda. Pastikan anda menempah kereta dengan model, cc, warna, dan aksesori tambahan yang betul. Sebarang kesilapan maklumat dalam borang tempahan tidak akan boleh diubah. Borang tempahan perlu diisi dengan maklumat yang tepat beserta dokumen sokongan yang lain seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya.
  • Mendapat nombor chasis enjin. Selepas anda mengisi borang tempahan, pihak pusat jualan akan melakukan tempahan kereta anda. Anda perlu menunggu giliran untuk tempahan anda diproses. Biasanya ia tidak akan mengambil masa yang lama kecuali jika anda membuat tempahan semasa ramai yang membeli kenderaan baru, terutamanya dimusim perayaan. Selepas tempahan anda diterima, anda akan mendapat nombor chasis enjin.
  • Membuat bayaran penuh. Apabila sudah mendapat nombor chasis enjin, anda perlu membuat bayaran penuh untuk harga kereta tersebut. Kebiasaannya bayaran boleh dibuat melalui cara berikut:
  1. Bayaran secara online iaitu internet banking
  2. Bayaran melalui cek
  3. Bayaran melalui bank draft 
  4. Bayaran secara tunai
  • Pendaftaran kenderaan. Selepas anda membuat bayaran penuh, kereta anda akan didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan nombor pendaftaran. Anda akan diberikan nombor pendaftaran secara rawak mengikut nombor yang dihasilkan oleh komputer mengikut giliran pendaftaran. Namun jika anda mempunyai sebarang nombor yang diingini, anda boleh mendapatkan nombor tersebut dengan sedikit bayaran. Anda juga boleh membida nombor idaman jika ianya dibuka untuk biadaan.
  • Mendapat nombor pendaftaran kenderaan. Langkah yang seterusnya ialah anda akan mendapat nombor pendaftaran kenderaan. Sebaik sahaja mendapat nombor pendaftaran, kereta anda akan dikeluarkan oleh pihak kilang dan dihantar ke pusat jualan yang menempah kereta anda.
  • Kereta menjadi milik anda. Kini anda boleh mengambil kereta anda di pusat jualan. Kereta idaman telah menjadi milik anda. Semasa mengambil kereta pastikan anda memeriksa keadaan kereta bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang kerosakan terutamanya calar dan kemek. Pastikan semua lampu dan suiz berfungsi dengan baik. Adalah sangat penting untuk anda memeriksa keadaan kereta sebelum menandatangi borang serahan kerana jika anda menjumpai sebarang kerosakan selepas menandatangi borang tersebut, anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan. Jika terdapat sebarang kerosakan pada kereta, pihak pusat jualan akan membaiki kerosakan tersebut sebelum kereta diserahkan kepada anda. Pastikan juga semua aksesori yang ditempah telah dipasang pada kereta anda dengan baik.
Sumber: Abcnews

Itulah dia info tentang cara beli kereta cash yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang langkah kumpul wang untuk beli kereta.

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.