Budak zaman dulu sangat berbeza dengan anak zaman sekarang. Terlalu jauh bezanya, bagai langit dengan bumi. Anak zaman sekarang pastinya ternganga kalau mengetahui betapa bezanya hidup pada tahun 90an, dan hujung 80an. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan tentang beza pengalaman budak zaman sekarang dengan budak dahulu, yang pastinya akan mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang indah dulu.

1. Budak zaman dulu banyak bermain di luar rumah, sedangkan budak zaman sekarang lebih berkurung dalam rumah

Sumber: Baituljannah

Budak zaman dahulu membesar dengan permainan luar rumah seperti galah panjang, teng teng, konda-kondi, main pondok-pondok, mandi sungai, nenek nenek si bongkok tiga, dan sebagainya. Pendek kata, kebanyakan masa dihabiskan di luar rumah. Anak zaman sekarang lebih banyak duduk dalam rumah sambil mengadap gadjet dan media sosial.

2. Budak zaman dulu bebas berjalan dan keluar rumah, budak zaman sekarang tak berpeluang untuk bebas begitu

Zaman dulu, anak-anak bebas keluar bermain dengan kawan-kawan. Ibu bapa melepaskan anak keluar bermain tanpa kebimbangan. Pada hari ini, melepaskan anak bermain sendiri di depan rumah sendiri pun ibu bapa risau tentang keselamatan. Banyak kes penculikan yang berlaku.

3. Budak zaman dulu lambat matang berbanding budak zaman sekarang

Budak zaman dulu agak lambat matang. Walau pun sudah darjah 6. Mereka masih bermain pondok-pondok dan nenek nenek si bongkok tiga. Sedangkan anak zaman sekarang sangat cepat matang. Darjah 6 sudah ada kekasih hati dan aktif di media sosial. Kematangan yang lebih cepat ini mungkin kerana kecanggihan teknologi.

4. Budak zaman dulu lebih mendengar kata dan sopan bila berdepan dengan orang tua, sedangkan budak sekarang kurang rasa hormat

Budak zaman dulu mempunyai adab yang tinggi. Mereka sangat sopan, berbudi bahasa, dan menjaga akhlak apabila berdepan dengan orang yang lebih tua. Ini kerana sejak kecil mereka dididik dengan cara sebegitu. Jika tidak, pastinya aka nada ketam yang hinggap di peha. Budak zaman sekarang kebayakannya buat endah tak endah dengan orang tua. Mereka tidak ambil kisah untuk merendahkan suara dan menjaga adab seperti yang sepatutnya.

5. Budak zaman dulu biasa dirotan ibu bapa dengan tujuan mendidik, budak zaman sekarang tidak boleh disentuh

Sumber: Tribune

Zaman dulu, merotan anak adalah perkara biasa. Bukan sahaja rotan, malah terdapat pelbagai alatana lain yang boleh digunakan untuk mendidik anak seperti hanger, tali pinggang, getah paip, dan sebagainya. Malah anak-anak juga faham bahawa mereka dirotan kerana melakukan kesalahan dan hukuman yang diterima adalah setimpal. Sementara budak zaman sekarang tidak boleh disentuh.

Di sekolah, budak zaman dulu akan dirotan dan didenda oleh guru apabila melakukan kesalahan. Jika didenda, akan diam dan sebolehnya tidak mahu perkara tersebut sampai ke telinga ibu bapa kerana khuatir akan dihukum di rumah pula. Anak zaman sekarang? Apabila didenda oleh guru akan viral di media sosial.

6. Budak zaman dulu lebih berdikari dan pandai menjaga diri, budak zaman sekarang lebih manja

Budak zaman dulu sangat kuat jati dirinya. Mereka pandai menjaga diri dan boleh berdikari tanpa bergantung kepada ibu bapa. Senang cerita, walau di mana mereka tercampak, pastnya mereka akan berjaya. Berbanding anak zaman sekarang yang dimanjakan sejak kecil dan menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada ibu bapa. Sedangkan mencari kerja juga menggunakan kabel ibu bapa.

7. Budak zaman dulu biasa hidup susah, budak zaman sekarang hidupnya senang

Zaman dahulu, hidup agak susah. Kebanyakan ibu bapa perlu bersusah-payah untuk mencari rezeki dan menyediakan makanan untuk dihidang di atas meja. Budak zaman dulu sudah biasa makan nasi kosong dengan telur dan kicap. Sedangkan budak zaman sekarang tidak merasa kesusahkan tersebut. Keadaan ekonomi negara sudah semakin baik, malah setiap kali cuti sekolah anak zaman sekarang akan dibawa bercuti bersama keluarga.

8. Budak zaman dulu kurang terlibat dalam masalah sosial, budak zaman sekarang lebih mudah terjebak

Pada zaman dahulu, masalah sosial seperti pergaulan bebas, seks sebelum bernikah, dan masalah pembuangan bayi amat jarang sekali berlaku. Berbanding hari ini di mana perkara-perkara buruk tersebut sudah biasa berlaku. Saban hari kita mendengar tentang kes pembuangan bayi yang menyayat hati.

9. Budak zaman dulu menjaga batasan di antara lelaki dan perempuan, budak zaman sekarang lebih bebas bergaul

Budak zaman dulu sangat menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Ini kerana sejak kecil lagi telah diterapkan rasa malu. Berbeza dengan anak zaman sekarang yang bebas bergaul tak kira jantina.

10. Budak zaman dulu dikongkong dan dijaga oleh ibu bapa, sedangkan budak zaman sekarang diberikan kebebasan

Akhir sekali, jika dibandingkan di antara budak zaman dulu dan budak zaman sekarang, boleh dikatakan bahawa budak zaman dulu sangat dijaga oleh ibu bapa lebih-lebih lagi anak perempuan. Mereka tidak bebas untuk keluar rumah sesuka hati. Perlu minta izin jika hendak ke mana-mana. Sedangkan anak zaman sekarang sangat bebas untuk keluar masuk rumah sesuka hati tanpa pantauan yang tegas seperti ibu bapa zaman dulu.

Itulah dia info tentang beza pengalaman budak zaman sekarang dengan budak dahulu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang beza CCRIS dan CTOS dan beza insurans third party dan insurans lain.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.