Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan satu nama yang amat masyhur baik di dalam negara mahupun di luar negara. Beliau mempunyai banyak kepentingan dalam bidang perniagaan seperti pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan, gudang senjata dan kejuruteraan. Merupakan seorang tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘Pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup tetapi kerja keras’.

Banyak yang diperkatakan mengenai seorang tycoon bumiputera terkenal di Malaysia ini. Menjadi Bumiputera yang paling kaya dalam Malaysia dengan aset sebanyak 167 bilion.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari

Imej via Google

Di Sebalik Kehidupan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari

Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhari dilahirkan ke dalam keluarga kelas pertengahan rendah di utara Semenanjung Malaysia. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand.

Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.

Persekolahan awal di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Baru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s. Pendidikan yang tertinggi adalah hanya sehingga tingkatan lima, dan dia tidak pernah pergi ke universiti. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai pengetahuan. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman keusahawanan sendiri semasa mudanya.

Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar terpaksa melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau. Namun pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Pada masa yang sama mengikuti pengajian rendah dan menengah.

Di zaman remajanya, beliau membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan buku simpanan harian.

Dunia Perniagaan

Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam perniagaan lembu penternakan.  Tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging.

Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Rezeki menyebelahinya, beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A.

Dengan bantuan pinjaman sebanyak RM110, 000 daripada pihak MARA beliau membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Tan Sri Syed Mokhtar kemudian menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras.

Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas.  Seterusnya berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

tan sri syed

Kejayaan Di Bidang Korporat

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan . Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan. Manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus.

Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd.

Selepas itu beliau mengembangkan lagi perniagaannya ke dalam bidang pembuatan. Di tawarkan kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kemudiannya  telah membuat keputusan untuk menubuhkan dua buah syarikat iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian.

Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an apabila beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh masa yang singkat.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.

Walaupun menjadi hartawan yang disegani tetapi beliau tidak pernah melupakan nikmat Allah S.W.T. Sentiasa memberikan nasihat dan Yayasan Al-Bukhary sendiri telah membelanjakan kira-kira RM300 juta untk aktiviti keagaamaan, kebudayaan dan pendidikan serta banyak lagi sumbangannya kepada agama Islam.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran. Antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. Serta dikurnikan darjah Dato’ Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato’.

Kesimpulan

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga merupakan seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek.

Tokoh yang semtiasa memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan. Antara tokoh yang wajar dijadikan contoh oleh semua pihak.

Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.

“Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Al Bukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita, ” pesan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari .

Kredit : Usahawan.com

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.