Rentap atau nama sebenarnya Libau anak Ningkan, merupakan seorang tokoh pahlawan Iban-Dayak dan merupakan salah seorang wira Iban yang dikenali di Sarawak semasa pemerintahan Raja Putih atau nama sebenarnya James Brooke.

Slogan Rentap atau turut dikenali juga sebagai ‘Raja Darat’ yang paling terkenal dan sering digunakan adalah ‘Agi idup, Agi ngelaban’ yang membawa erti ‘Masih hidup, Masih tetap berjuang’.

Pada 19 Ogos 1844 di Karangan Peris dalam daerah Skrang, Rentap bersama pasukannya buat pertama kalinya bertempur dengan pasukan James Brooke dan Kapten Keppel. 

biodata rentap
Imej via [pekhabar]

Kisah Dan Sumbangan Rentap

Selepas usaha penentangan oleh Rentap di Beting Maru, James Brooke telah membuat satu kubu di Nanga Skrang dengan tujuan menyekat pergerakan orang-orang Skrang ke arah Batang Lupar dan seterusnya keluar ke Laut China Selatan.

James Brooke membuat rancangan ini bertujuan untuk menghalang kerjasama antara orang Skrang dengan Linggir “Mali Lebu” dari Paku dan Aji Apai Limba dari Padeh bagi mengamalkan aktiviti mengayau kepala manusia.

Ia juga bertujuan untuk menyekat orang Skrang daripada membeli barang keperluan seperti garam atau menentang pemerintahan James Brooke di Sarawak pada masa itu.

1. Pertempuran di Lintang Batang

Pada awal tahun 1853, beliau telah mengetuai pasukan orang Iban untuk menyerang pasukan tentera James Brooke di kubu Nanga Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Maka, berlakulah pertempuran yang sangat sengit di antara kedua-dua belah pihak di Lintang Batang.

Semasa pertempuran tersebut, seorang lelaki pengikut Rentap yang bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya dan William Brereton telah melarikan diri dengan kecederaan parah. 

Rentap dengan segera mengarahkan pasukannya pulang ke hulu Sungai Skrang. Walau bagaimanapun, pengikut Brooke kemudiannya telah memusnahkan dan membakar 20 buah rumah panjang yang menjadi tempat kediaman bagi pengikut Rentap.

2. Membina Kubu Pertahanan Di Sungai Lang

Dengan itu, Rentap telah mengambil keputusan untuk berundur dan membina kubu pertahanan di Sungai Lang, di hulu Sungai Skrang. Semasa mempertahankan kubu tersebut, pasukan Rentap telah melaung-laungkan semangat perjuangan mereka yang kental menggunakan “Agi Bedarah, Agi Ngelaban” yang membawa erti “Selagi masih berdarah, Selagi itu tetap menentang” dan “Agi Idup, Agi Ngelaban”.

Terdapat beberapa orang pasukan tentera James Brooke yang menghampiri kubu pertahanan Rentap telah ditembak dan terkorban. Namun, angkatan Brooke berjaya menyerang kubu pertahanan Rentap pada Ogos 1854, pada waktu tersebut Rentap telah tercedera.

Rentap kemudiannya melarikan diri bersama pengikutnya di Bukit Sadok dan telah membina kubunya di sana.

biodata rentap
Imej via [borneohistory57]

3. Pertahankan Kubu ‘Bujang Timpang Berang’

Tahukah anda, Kubu Bukit Sadok ini amat sukar ditakluk oleh pihak tentera James Brooke kerana kedudukannya di atas puncak bukit yang tinggi dan dikelilingi oleh tebing-tebing curam?

Hanya terdapat satu jalan sempit di atas gaung yang begitu curam untuk sampai ke kubu Rentap. Sekeliling kubu ini telah diperkuat oleh pagar kayu tebelian yang keras dan setebal lebih kurang dua kaki. 

Kali ini, Rentap juga telah mempunyai sebatang meriam yang besar untuk mempertahankan kubunya yang dikenali sebagai ‘Bujang Timpang Berang’. Meriam ini telah dihasilkan oleh rakan seperjuangannya iaitu Aji Apai Limba.

Aji Apai Limba telah terkorban ditembak oleh pasukan James Brooke di Sungai Langit sebelum menyerang Rentap di kubunya di Bukit Sadok.

4. Serangan Di Bukit Sadok

Tentera James Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap di Bukit Sadok tersebut. Cubaan pertama adalah pada Jun 1857 dan semasa serangan ini, seorang anggota pasukan James Brooke telah ditembak dan dibawa turun ke bawah bukit.

Melihat kejadian tersebut, Rentap dan pengikutnya menjerit kegembiraan dan telah memukul gong mereka sebagai tanda kemenangan.

Pada tahun 1858, pasukan James Brooke telah membuat serangan kali kedua ke atas kubu Rentap di atas Bukit Sadok. Namun tembakan meriam mereka tidak dapat menembusi pagar kubu Rentap di Bukit Sadok tersebut.

Akibat kejadian tersebut, pasukan Rentap telah melaungkan dengan megah kepada pasukan Brooke untuk menggunakan meriam yang lebih besar lagi pada masa akan datang sekiranya ingin menyerang kubu mereka.

Serangan James Brooke Tidak Terhenti

biodata rentap
Imej via [pinterest]

Namun pada tahun 1861, barulah serangan pasukan Brooke berjaya menawan kubu Rentap di Bukit Sadok setelah menggunakan satu meriam besar yang dipanggil sebagai “Bujang Sadok”.

Meriam tersebut digunakan untuk menembak dan merobohkan pagar kubu Rentap di Bukit Sadok. Sebelum pertempuran, pasukan James Brooke telah memberikan pengampunan kepada abang-abang arwah Aji yang telah ditembak mati oleh pasukan Brooke di Sungai Langit.

Tawaran Kepada Rentap Dan Pengikutnya

Abang arwah Aji tersebut adalah Nanang dan Luyoh yang telah menyerah diri dan dihukum membayar 40 biji tempayan rusa. Tawaran yang sama telah dicadangkan kepada Rentap dan pengikutnya dengan denda sebanyak 12 biji tempayan dan meninggalkan kubu itu dengan segera.

Namun, Rentap telah menolak tawaran tersebut walaupun telah diberitahu pasukan James Brooke akan menyerang menggunakan meriam yang lebih besar dalam serangan kali ketiga ini. 

Peperangan Rentap Dan James Brooke Tercetus Lagi

Kesemua wanita dan kanak-kanak telah diarahkan untuk meninggalkan kubu tersebut dan sewaktu pasukan Rentap berperang dengan pasukan James Brooke, seorang pengendali meriam Rentap dan beberapa rakannya telah terkorban.

Ianya adalah akibat terkena tembakan meriam pasukan James Brooke. Selepas itu, kubu dan rumah tempat kediaman Rentap dan para pengikutnya telah dibakar oleh pasukan James Brooke pada 20 Oktober 1861.

Akibat kekalahan tersebut, Rentap telah berundur ke Bukit Lanjak Entimau yang telah menjadi punca-punca air Batang Skrang, Lemanak dan Engkari pada masa kini.

Penghijarahan Rentap

Selepas itu, Rentap telah berpindah ke Ulu Entabai di sebuah sungai cawangan kepada Sungai Kanowit dan Julau. Di sana, beliau telah membina kubu di Bukit Stulak. 

Pada usianya yang semakin tua, Rentap dan para pengikutnya telah berpindah ke Bukit Sibau yang merupakan kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap telah meninggal dunia pada usia lebih kurang 70 tahun di situ.

Mayat dan keranda Rentap tidak ditanam dalam tanah seperti biasa, sebaliknya diletakkan dalam satu pondok sebagai tanda hormat kepada seseorang yang telah dianggap sebagai pahlawan dan bangsawan terulung.

Akhir kata, Rentap merupakan pejuang sejati kerana dia tidak pernah tunduk kepada pemerintah James Brooke sehingga ke akhir hayatnya. Sehingga kini, makam Rentap telah dibaik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya yang amat besar.

Jom baca juga apa itu asnaf, cara semak status bankrap online dan juga semut charlie.

Rujukan

  1. Rentap

https://ms.wikipedia.org/wiki/Rentap

2. Perjuangan Rentap

http://perjuangan-tokoh-tempatan.blogspot.com/2016/07/rentap.html

3. Biodata Rentap

http://tokoh-sejarah-malaysia.blogspot.com/p/rentap.html

Copy

Penulis: rinazul

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.