Orangnya kecil molek dan tinggi lampai, memiliki kulit yang mulus serta halus. Siapa menyangka, wanita ini begitu aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di Gaza dan juga Syria. Malah turut dipilih menjadi ikon Aman Palestin dan juga ikon Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

Jom kita dekati wanita ini dan baca biodata Heliza Helmi yang menarik ini.

Imej via ohsemput

Latar Belakang

Heliza Helmi dilahirkan pada tanggal 3 Februari 1988. Anak kepada pasangan Helmi Bin Haji Mohd Hasbi dan Latifah binti Muhammad ini merupakan seorang yang pendiam tetapi sangat petah apabila berkata – kata.

Bapanya merupakan anggota polis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan ibunya pula berasal dari negeri Terengganu.

Pendidikan

Heliza mula bersekolah di Sekolah Tadika Yayasan Islam Kuala Terengganu dan kemudiannya ke Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu. Pada tahun 1999, beliau telah bersekolah menengah di Treacher Methodist Girls School, Taiping Perak.

Kemudiannya Heliza telah bersekolah di SM Convent St. Ursula Tawau, Sabah pada tahun 2000 hingga 2003 sebelum melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi. Heliza memasuki Labuan Matriculation College selama dua tahun bermula tahun 2004 hingga 2005 untuk pengajian matrikulasinya.

Setelah selesai pengajian peringkat matrikulasi, Heliza telah menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains, Biologi dan Kimia). Beliau telah menamatkan pengajiannya pada tahun 2010 dan juga pernah mendapat anugerah dekan dari pihak universiti biarpun sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang artis.

Sikap Peribadi

Kepetahan berkata – kata membuatkan Heliza sering terpilih mewakili sekolah pada peringkat negeri dan kebangsaan dalam pertandingan pidato biarpun sebagai peserta simpanan. Heliza juga merupakan seorang yang mudah mesra dengan orang sekelilingnya.

Oleh sebab itu, ramai yang menjadi sahabat Heliza kerana sikapnya yang mudah disenangi.

Persahabatan bersama rakan – rakannya merupakan salah satu medium untuk beliau berkongsi ilmu antara satu sama lain. Malah, setiap kali berjumpa, Heliza sering menjadikan pengalamannya sebagai sumber ilmu yang bermanfaat dan akan dikongsikan bersama sahabat handainya.

Imej via mvm

Kerjaya

Heliza telah memulakan kariernya sebaik sahaja beliau menyertai rancangan Akademi Fantasi musim kelima. Beliau antara salah seorang daripada enam belas calon pelajar yang terpilih.

Memandangkan idolanya merupakan Sito Nurhaliza, justeru beliau sering terbawa – bawa pengaruh Siti Nurhaliza setiap kali membuat persembahan. Malah, ianya turut diakui oleh Hattan di mana komennya semasa Heliza membuat persembahan di minggu ke-3 agar menjauhi pengaruh Siti Nurhaliza.

Fauziah Latiff juga turut mengatakan perkara yang sama semasa Heliza menyanyikan lagu Nafas Cahaya. Walau bagaimanapun, Heliza berjaya menghilangkan pengaruh Siti Nurhaliza semasa menyanyikan lagu Kesal nyanyian Ella.

Dunia Pengacaraan

Bukan sekadar menyanyi, Heliza juga cenderung dalam bidang pengacaraan. Oleh kerana minatnya dalam bidang ini, Heliza telah menyertai kursus serta mendapat sijil dari Professional Learning Facilitator dan Certified Professional Image Consultant (CPIC).

Heliza gemar memberi motivasi serta berkongsi pengalamannya dengan masyarakat khususnya golongan remaja.

Misi Bantuan dan Ikon Aman Palestin

Heliza telah mula terlibat dengan misi kemanusiaan sejak tahun 2010 semasa sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau telah mula terlibat dengan misi bantuan ke Kemboja bersama para pelajar Terengganu.

Selain itu, Heliza juga sangat aktif dalam aktiviti keagamaan serta giat memperjuangkan isu ummah. Beliau sering melakukan aktiviti ini bersama adiknya Hazwani Helmi. Kegiatannya ini turut menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekeliling.

Heliza pernah ke Gaza, Palestin pada tahun 2012 dan telah melihat sendiri keadaan di sana. Sekembalinya beliau ke tanah air, semangatnya untuk memperjuangkan isu ummah semakin menebal.

Pada peringkat awal, keluarga Heliza tidak membenarkan beliau pergi ke Gaza untuk misi kemanusiaan kerana risaukan keselamatannya di sana. Namun, akhirnya mereka membenarkan pemergian beliau ke sana. Pengalaman Heliza ini telah dikongsikannya kepada masyarakat.

Heliza juga menjadi duta Aman Palestin dan turut aktif dengan NGO lain seperti Muslim Care, MAPIM serta banyak lagi. Beliau juga tidak hanya memperjuangkan isu Gaza, malah turut memperjuangkan isu Syria dan telah ke sana sebanyak tiga kali.

Ikon Muslim Volunteer

Selain itu, beliau juga turut dipilih menjadi ikon Muslim Volunteer Malaysia (MVM) kerana usahanya memperjuangkan umat Islam yang tertindas. Banyak aktiviti yang diadakan bersam MVM antaranya ialah majlis Iftar MVM With Syrian Children di Sekolah Jasmine As-Sham di Setiawangsa.

MVM turut menganjurkan program Pure Heart pada November 2016 yang meraikan keluarga asnaf yang kurang bernasib baik serta menyampaikan bantuan asas pada setiap bulan. Heliza juga turut bekerjasama dengan Muslim Care Malaysia dengan mengadakan Himpunan Solidariti Selamatkan Aleppo di luar negara.

Heliza juga turut peka dengan isu permasalahan di Sabah. Kebanyakan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah memerlukan bantuan dari segi bimbingan ajaran agama yang benar.

Ibu bapa Heliza sering merestui serta memberi keizinan terhadap aktiviti yang dilakukan. Justeru, hampir seluruh masanya digunakan untuk kerja – kerja amal.

Diskografi

  • Single – “Doa Dalam Lagu” (duet bersama Mawi)

Album

  • Jom (2015)

Filemografi

Heliza turut membintangi filem, drama televisyen, malah turut menjadi pengacara tv.

Televisyen

  • 2011     –  Man Jadda Wajada (TV AlHijrah)
  • Sinar Itu Hadir Jua (TV1)
  • 2012     –   Rasa Halal Antarabangsa (Astro Oasis)
  • 2013     –   S.I.S (TV9)
  • 2017     –   SIS Istimewa Raya (TV9)

Filem

  • 2009     –   Syurga Cinta (Metrowealth Pictures)

Drama

  • 2009     –   Doa Ibu
  • 2012     –   Warkah Cinta (TV AlHijrah)

Telefilem

  • 2012     –   Cinta Kun Fayakun (TV AlHijrah)

Anugerah dan Pencalonan

Heliza pernah dicalonkan dalam beberapa anugerah yang dianjurkan.

  • 2007     – Anugerah Bintang Popular Bintang Harian Ke-21 (Artis Baru Wanita Popular)
  • 2008     – Anugerah Juara Lagu Ke-23 (Kategori Etnik Kreatif – Doa Dalam Lagu)
  • 2009     – Festival Filem Malaysia Ke-22 (Pelakon Harapan Wanita)
  • 2011     – Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (Anugerah Kulit Cantik Wanita)
  • 2012     – Anugerah Bintang Popular Berita Harian (Artis Wanita Stailo)
  • 2014     – Anugerah Bintang Popular Berita Harian (Pengacara TV Paling Popular)

Kesimpulan

Ibu dan bapa Heliza telah mewakafkan anak – anaknya termasuk Heliza untuk membantu ummah sejagat. Oleh sebab itu, Heliza bersama adiknya akan terus memperjuangkan isu kemanusiaan selagi ada hayat mereka.

Bantuan misi kemanusiaan sudah menjadi sebati dalam kehidupan Heliza dan keluarga. Justeru, ia bukanlah suatu halangan biarpun terpaksa berada di negara yang sedang mengalami peperangan demi bantuan kemanusiaan.

Jemput juga baca biodata Aliff Syukri dan biodata Shalin Zulkifli

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.