Hannah Yeoh Tseow Suan dilahirkan pada 9 Januari 1979 di Subang Jaya dan berketurunan Cina. Telah berkahwin dengan iaitu Ramachandran Muniandy yang berbangsa India. Hannah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Shay Adora Ram dan Kayleigh Imani Ram.
Beliau mendapat pendidikan awal di SK Seri Subang Jaya, SK SS19 dan SMK Subang Utama. Hannah berkelulusan Ijazah Undang-Undang (2001) dari University of Tasmania, Australia.
Imej via hannahyeoh
Pada Januari 2003, YB Hannah telah mendapat pengiktirafan sebagai peguam oleh Badan Peguam Malaysia. Seterusnya Hannah mendapat pengiktirafan dari Mahkamah Agung Tasmania selepas berjaya memperolehi Certificate of Legal Practice (Sijil Praktik Guaman) di Tasmania. Hannah merupakan seorang peguam di Petaling Jaya sebelum menukar bidang dan berpindah ke syarikat pengurusan upacara pada tahun 2006.
Rakan sekolahnya, Edward Ling telah mendorong Hannah untuk sama – sama menyertai dunia politik. Akhirnya, Yeoh telah menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) cawangan Damansara pada akhir tahun 2006 kerana merasakan parti politik tersebut adalah yang paling tekal.
Yeoh menyertai DAP sepenuh masa dan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum 2008 seperti mana Tony Pua, Pengerusi Cawangan Damansara yang juga meletakkan jawatan untuk menyertai DAP sepenuh masa. Keputusan ini dibuat kerana Yeoh ingin menumpukan sepenuh perhatian dan masanya sebagai seorang ahli politik.
Semasa pilihanraya 2008, Yeoh telah bertanding untuk kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan Subang Jaya (N31) dan telah berjaya menewaskan Ong Chong Swen, kubu Barisan Nasional dengan memenangi majoriti sebanyak 13,851. Edward Ling telah dilantik sebagai setiausaha politik kepada Yeoh setelah kemenangan tersebut.
Sebuah kedai yang terletak di No. 24, Jalan SS 14/1A, Subang Jaya telah dijadikan sebagai pusat perkhidmatan dan operasi yang memudahkan penduduk kawasannya bertemu dan mengutarakan pelbagai isu serta masalah yang dihadapi. Apa yang agak memeranjatkan beliau adalah penduduk kawasannya mengutarakan masalah remeh temeh seperti isu tikus sehinggalah isu lampu jalan yang sepatutnya ditangani oleh anggota majlis tempatan. Namun, memahami peranannya selaku wakil para pengundi, beliau membawa isu permasalahan tersebut ke peringkat Dewan Undangan Negeri di mana strategi beliau adalah untuk menggalakkan pengambilan anggota Majlis Perbandaran yang lebih baik dan bermutu di kalangan wakil penduduk.
Imej via thevibes
Hannah telah terpilih semula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya pada pilihan raya negeri Selangor 2013. Selepas pemilihan semula, beliau telah dipilih menjadi Speaker wanita pertama dan termuda (usia 34 tahun) di Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau merupakan pemimpin wanita satu-satunya daripada parti DAP yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Pada pilihan raya umum 2018, Yeoh telah dicalonkan oleh partinya untuk bertanding bagi kerusi persekutuan Segambut. Apabila PH mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dari bulan Julai 2018 hingga Februari 2020.
Pada pilihan raya umum 2022, Yeoh telah dicalonkan oleh partinya untuk bertanding di kerusi yang sama. Selepas PH membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional dan gabungan parti politik lain, Yeoh telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri Anwar pada 3 Disember 2022. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen (MP) Segambut sejak Mei 2018. Selain itu. beliau pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor ke-10 dari Jun 2013 hingga April 2018 dan Ahli daripada Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Subang Jaya dari Mac 2008 hingga Mei 2018. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP sejak Mac 2022.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Yeoh telah memperkenalkan program latihan prestasi tinggi “Road to Gold” (RTG) dalam usaha melatih atlet untuk menjadi pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik Musim Panas 2024 dalam sejarah Malaysia. Program itu menyenaraikan 15 pemain badminton, penerjun dan pelumba basikal daripada Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang hingga yang lain.
Yeoh sangat berpendirian tinggi terhadap isu rasuah. Beliau sama sekali terkejut dengan sikap masyarakat yang berani menawarkan sejumlah wang bagi mempercepatkan kelulusan projek. Bagi beliau, adalah penting untuk memastikan negara ditadbir oleh sebuah kerajaan yang bersih dari anasir rasuah demi kepentingan buat generasi akan datang.
Jom baca biodata Khairy Jamaluddin dan biodata Syed Saddiq