Tanggal 9 Oktober 1990, Hanis Zalikha iaitu anak kedua kepada pasangan Zainal Rashid dan Nani Rostam telah dilahirkan. Bermula sebagai penulis blog, kini telah berjaya menjadi seorang model, pelakon dan pengacara tv. Malah, kini beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan produk tudung berjenama sendiri.
Imej via ohmedia
Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Selangor pada tahun 1997 sebelum bertukar ke Sekolah Kebangsaan USJ 8 pada tahun 1998. Beliau kemudiannya telah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seafield pada tahun 1999 hingga 2002. Hanis telah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 pada tahun 2003. Beliau kemudian berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield (2004-2006). Sekolah terakhir beliau adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 iaitu pada tahun 2007.
Hanis seterusnya telah menyambung pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA, Segamat Johor pada tahun 2012 dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dan telah berjaya merangkul Anugerah Naib Cancelor dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.9.
Hanis Zalikha yang juga dikenali dengan nama timangan Keknis, mempunyai tujuh orang adik beradik dan merupakan anak kedua.Beliau telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 bersama pasangannya iaitu Hairul Azreen yang juga merupakan seorang model, pelakon, pelagak ngeri, pengarah dan juga ahli perniagaan. Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah merupakan sepasang cahaya mata yang dikurniakan kepada beliau dan Hairul.
Ibu bapa Hanis pernah menjalankan perniagaan secara kecil – kecilan dengan menjual nasi lemak serta kuih muih. Antara kuih yang paling popular dan menjadi kegemaran beliau adalah pulut panggang air tangan ibunya. Setiap kali menikmati kuih tersebut, Hanis pasti teringat akan memori silam sewaktu kecil.
Imej via beautifulnara
Bermula dengan penulis blogger, Hanis kemudiannya mengorak langkah menjadi pelakon dan juga model yang mengikut jejak langkah ibunya, suatu tika dahulu merupakan bekas model sekitar tahun 80-an. Mengikut jejak langkah ibunya, Hanis telah memulakan kerjaya sebagai seorang peragawati pada tahun 2008 ketika menyertai rancangan realiti television secara dalam talian iaitu Malaysia Dreamgirl pada tahun yang sama dan berjaya merangkul tempat kedua.
Beliau mengorak langkah dalam bidang lakonan apabila berlakon bersama Faezah Elai serta Nad Zainal dalam Memberku Hawa. Bakatnya yang terserlah telah menarik perhatian ramai penggiat industri hiburan serta pengarah drama. Beliau kemudiannya telah terpilih berlakon di bawah pengarah – pengarah terkenal dan turut membintangi filem Gangster Celup. Biarpun baru setahun jagung dalam bidang seni, namun Hanis bersedia dikritik kerana sudah biasa berdepan dengan pelbagai kritikan sejak menceburi bidang blogger lagi.
Pada tahun 2010, Hanis telah berada di tangga keenam dalam senarai carta Top 10 Fastest Rising People in Google Malaysia Top Searches 2010 sehingga berjaya mengatasi kedudukan Siti Nurhaliza. Malah, dalam pencarian Google Zeitgeist 2011, nama beliau juga pernah tersenarai dalam carian teratas. Beliau turut tercalon bagi anugerah Most Influential Blog Award pada tahun 2011.
Hanis juga merupakan seorang usahawan muda yang telah menceburi bidang perniagaan dengan memperkenalkan produk tudung jenama Cakenis keluaran syarikatnya. Produk tudung ini telah mendapat permintaan ramai dan sentiasa sold-out.
Pada tahun 2015, Hello Billionaire Sdn Bhd yang membawa jenama Cakenis telah dilancarkan. Jenama Cakenis merupakan singkatan nama Hanis Zalikha dan ianya telah dicetuskan oleh seorang peminat terbesar beliau. Hanis telah mempromosikan produk Cakenis secara langsung dengan menjadi model bagi jenama Cakenis ini. Produk Cakenis bermula dengan selendang ‘keknis’ yang menawarkan pemakaian tudung tanpa pin yang lebih mudah serta pantas. Tudung ini disertakan dengan cangkuk kecil yang dipasang di sekeliling muka selaras dengan tema “Tanpa Kerongsang, Kait Sahaja” yang merupakan pendekatan baharu bagi pengguna tudung yang alergi dengan kerongsang. Cakenis kemudiannya telah berkembang kepada produk pakaian seperti Puff Jumper, kosmetik seperti gincu matt, produk penjagaan kulit, tote bag serta pakaian renang.
Selendang Cakenis yang mudah dipakai membuatkan ramai peminat berebut mendapatkannya. Pemakaian selendang Cakenis yang ringkas ini tetap menampilkan gaya elegan buat si pemakai. Setiap kali produk baru keluaran Cakenis diperkenalkan, pastinya ia laris dan cepat terjual. Hanis turut menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran produk Cakenis. Produk Cakenis boleh dibeli melalui laman web rasmi di https://www.shopcakenis.com, FashionValet, Shopee dan juga Lazada.
Hanis tidak lagi menceburi bidang lakonan dan kini lebih memberi tumpuan kepada keluarga dan juga perniagaan yang dijalankan. Jenama Cakenis bukanlah suatu yang baru di kalangan masyarakat Malaysia dan ia antara jenama terkenal serta menjadi rebutan ramai tatkala Cakenis mengeluarkan produk baru.
Jemput baca biodata Leeyanarahman dan biodata Saiful Nang