Suatu tika dahulu, wajah ini sering terlihat di iklan televisyen dengan tag line “Qu Putih Qu Putih, Barulah Putih”. Wajahnya yang tulus, mulus dan putih itu sangat mempesonakan. Pastinya ramai mengenali siapakah beliau yang begitu popular di seluruh tanah air. Sebut sahaja Dato Dr Vida, pasti ramai yang tahu. Jom kita lihat latar belakang Dato Dr Vida yang mungkin ramai juga belum mengetahuinya.
Orangnya cantik, manis dan sentiasa dipenuhi dengan aksesori kecantikan diberi nama Hasmiza Binti Othman. Beliau telah dilahirkan di Machang Kelantan pada tanggal 24 Oktober 1971 dan kini menetap di Ipoh, Perak bersama dua orang anak kesayangannya. Pada asalnya beliau memiliki 4 orang zuriat yang dibernama Eddie Zuhdie, Edrie Zikrie, Nur Edlynn Zamilleen dan Eric Zacquan, walau bagaimana pun dua orang anaknya iaitu Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie telah terkorban semasa kebakaran rumah beliau yang berlaku pada tahun 2013.
Beliau telah kehilangan bapa sejak berumur 9 tahun lagi dan merupakan anak bongsu dari tiga beradik. Kehidupan beliau yang agak sederhana serta anak yatim telah membuatkan beliau mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil – kecilan dengan menjual nasi lemak dan kuih muih bagi membantu kehidupan bersama keluarga. Maka tidak hairanlah semangat serta kecekalan hatinya dalam menempuh kehidupan membolehkan beliau memiliki sebuah perniagaan yang begitu terkenal pada hari ini.
Dato Dr Vida telah melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu dan Sejarah (Pendidikan) dan Perniagaan di Universiti Malaysia, Pulau Pinang sebelum meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Biologi di Universiti Charles Molnar, Hungary.
Beliau pernah menjadi gadis kilang suatu tika dahulu. Malah, pernah menjual pokok bongsai sebagai pendapatan sampingan. Beliau akhirnya telah diterima berkhidmat sebagai seorang pendidik dan pernah menjadi salah seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam yang merupakan sekolah aliran Cina selama 12 tahun. Beliau telah mula menubuhkan Vida Beaty Sdn pada tanggal 1 Disember 2006 secara kecil – kecilan. Walau bagaimana pun, perniagaannya telah berkembang maju sehinggakan dapat melebarkan sayap perniagaannya secara meluas mulai 1 Mei 2008. Antara produk yang paling terkenal di kalangan rakyat Malaysia, Brunei dan Singapura adalah produk kesihatan Pamoga serta produk kecantikan Qu Puteh. Dengan adanya perniagaan yang sentiasa berkembang maju ini membolehkan beliau bergelar jutawan diatas usaha titik peluh beliau selama ini.
Dato Dr Vida juga pernah membuka salon suatu tika dahulu dan dari situlah minatnya untuk menghasilkan pelbagai produk kecantikan dan kesihatan sendiri mula tercetus. Kini, beliau telah menjadi salah seorang tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK). Beliau sering berkongsi pengalaman bersama para pelajar sebagai pemangkin untuk terus maju. Selain produk Pamoga dan Quteh, Dato Dr Vida juga turut mengembangkan perniagaan dalam bidang emas dengan wujudnya DSV Gold and Jewelry, serta produk lain seperti DSV Sorga Tudung.
Beliau pernah menjadi penaja bagi beberapa program tv seperti Mentor Milenia TV3, Gegar Vaganza, Anugerah Juara Lagu (AJL29). Malah, beliau juga pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan dengan syarat nama pasukan perlu ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dan stadium juga perlu dicat semula dengan warna merah jambu. Sehingga hari ini, beliau telah memiliki sebanyak 14 buah rumah dan barang kemas serta aksesori wanita bernilai jutaan ringgit.
Dato Dr Vida seorang yang tidak pernah mengenal erti putus asa, sentiasa positif dan berani mengambil risiko terhadap segala keputusan yang dibuat. Maka sebab itulah perniagaannya sentiasa membuahkan hasil yang bermakna. Beliau yang sering berfikir secara inovatif telah mencetus idea dengan menonjolkan imej syarikat yang tersendiri. Malah, para pekerjanya juga mengenakan pakaian seragam yang melambangkan syarikat beliau. Pemilihan tema warna yang menarik dalam memasarkan sesuatu produk adalah sangat penting dalam mempromosikan produknya. Ini jelas menunjukkan beliau seorang yang berani mengambil risiko terhadap sesuatu keputusan.
Beliau seorang yang sentiasa berfikir dalam menampilkan idea serta konsep baharu bagi membina jenama besar yang boleh memberi impak serta dapat dicontohi oleh masyarakat. Populariti produk yang dihasilkan juga begitu penting dalam mengembangkan empayar perniagaan. Sikap yang tidak malu dan sentiasa berusaha keras antara senjata yang sering digunakan dalam mengharungi landskap perniagaan kosmetik.
Dato Dr Vida memiliki empat orang cahaya mata. Namun, dua orang daripadanya telah dijemput Ilahi ketika kebakaran yang berlaku di rumahnya pada tahun 2013. Beliau menjadi ibu tunggal bertahun – tahun sebelum berkahwin semula, namun perkahwinannya yang terbaru juga tidak kekal lama. Bukan mudah untuk menjadi seorang ibu tunggal dalam membesarkan dua orang cahaya, namun itulah suratan kehidupan yang perlu ditempuhi beliau hingga ke hari ini.
Kejayan demi kejayaan yang tercipta dalam bidang perniagan kosmetik telah melayakkan Dato Dr Vida menerima gelaran Ikon Usahawan Wanita 2015. Beliau memiliki kriteria lengkap yang membolehkan gelaran ini dirangkul olehnya. Ketokohan dan personaliti yang dimilikinya merupakan pakej lengkap bagi anugerah ini. Justeru, ia diharap akan menjadi sumber inspirasi kepada para wanita lain.
Biarpun sering mendapat kritikan dari para netizen, namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Dato Seri Vida untuk terus mengembangkan dunia perniagaannya sehingga ke hari ini. Pelbagai kritikan, tohmahan serta persepsi orang ramai terhadap beliau telah menjadikan ia sebagai pemangkin untuk terus berjaya dalam bidang keusahawanan yang diceburinya. Sebagai seorang usahawan, hati perlu kental menghadapi semua dugaan yang datang. Sikap sentiasa berjuang, mempunyai wawasan dan sentiasa bersungguh – sungguh dalam setiap perkara membolehkan kejayaan mudah diperolehi. Ciri – ciri yang ada pada Dato Seri Vida telah menjadi sumber inspirasi kepada para bakal usahawan muda yang ingin turut serta dalam bidang keusahawanan. Memiliki tagline yang tersendiri membuatkan Dato Seri Vida menjadi begitu popular di kalangan rakyat Malaysia selari dengan produk – produknya yang berada di pasaran.
Jemput juga baca biodata Dato Aliff Syukri dan biodata Elon Musk