Secara umumnya, anda semua sudah sedia maklum bahawa peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib melakukan pembayaran balik serta tidak ada lagi penangguhan akan dikenakan. Lazimnya, anda akan membuat pembayaran melalui kaedah pemotongan gaji secara tetap pada setiap bulan ataupun melalui kaedah pembayaran manual secara bulanan menggunakan wang simpanan.

Namun demikian, tidak kesemua daripada anda mampu untuk membayar hutang PTPTN menggunakan wang simpanan mahupun wang gaji, terutamanya golongan-golongan M40 dan B40. Hal ini menyebabkan ramai di kalangan anda tertangguh dalam pembayaran PTPTN dan masih lagi mempunyai hutang PTPTN walaupun sudah lama menamatkan pengajian di universiti.

Walau bagaimanapun, anda semua sudah boleh berasa lega berkenaan dengan perkara pembayaran balik PTPTN. Ini kerana, bermula pada April 2018, kerajaan telah membenarkan penggunaan atau pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan membayar balik pinjaman PTPTN.

Oleh itu, anda tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak membayar pinjaman PTPTN anda. Artikel ini akan menjelaskan kepada anda tentang langkah-langkah untuk membuat pengeluaran wang simpanan KWSP bagi tujuan pembayaran balik PTPTN ataupun tujuan pendidikan. Semoga tips cara bayar PTPTN guna KWSP ini bermanfaat.

Langkah Mengikut Turutan Membayar Pinjaman PTPTN Guna KWSP Akaun 2

Seiring dengan teknologi dan dunia tanpa sempadan ini, anda boleh melakukan pengeluaran KWSP untuk pembayaran pinjaman PTPTN ini secara dalam talian (online) sahaja. Oleh itu, anda boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga dengan tidak perlu ke banyak tempat dalam menyempurnakan proses pembayaran balik pinjaman PTPTN anda. Anda hanya perlu mengunjungi pejabat KWSP sekali sahaja untuk membuat pengesahan cap jari anda. Anda boleh ikuti langkah-langkah di bawah untuk lebih lanjut;

Langkah 1: Daftar Dan Aktifkan Akaun KWSP Dalam Talian Anda

Untuk membuat pengeluaran secara dalam talian, pastinya anda memerlukan akaun KWSP dalam talian. Akaun KWSP dalam talian dikenali sebagai i-Akaun. Sekiranya anda belum memiliki i-Akaun, anda boleh ikuti langkah di bawah;

  1. Pertama sekali, anda perlu mendapatkan ID dan Kata Laluan sementara di mana-mana pejabat atau kios KWSP yang berdekatan dengan anda. ID dan Kata Laluan sementara akan dihantar melalui SMS kepada nombor telefon bimbit anda.
  2. Setelah anda menerima SMS tersebut, anda perlu membuat pendaftaran dalam tempoh 30 hari. Sekiranya gagal, anda perlu ulangi langkah pertama semula. Anda boleh melayari www.kwsp.gov.my, kemudian pergi ke bahagian Saya Ahli (i-Akaun) dan klik Log Masuk. Selepas itu, anda masukkan ID dan Kata Laluan sementara yang anda terima melalui SMS untuk aktifkan akaun.
  3. Selepas itu, anda perlu mengisi ruangan User ID, New Password, Confirm New Password dan Secret Phrase dengan butiran yang anda inginkan. Selain itu, anda juga perlu memilih salah satu gambar yang disediakan pada ruangan Online Image. Selepas itu anda boleh klik Next.
  4. Selepas anda klik Next, anda akan melihat notifikasi di skrin anda yang menyatakan bahawa pengaktifan anda telah berjaya. Jadi, anda boleh terus log masuk ke dalam i-Akaun anda menggunakan ID dan Kata Laluan yang anda buat sebentar tadi.
Imej via Says

Langkah 2: Anda Perlu Log Masuk Ke i-Akaun KWSP

Apabila anda telah log masuk ke dalam i-Akaun anda, anda perlu boleh ikuti langkah di bawah;

  1. Klik pada Pengeluaran, kemudian anda perlu klik Permohonan Baru. Isi kesemua ruangan yang disediakan kemudian klik Seterusnya.
  2. Pada bahagian seterusnya, anda perlu mengisi ruangan yang bertanda (*). Selain itu, di halaman tersebut juga anda akan mendapati jumlah amaun kelayakan (amaun maksimum yang anda boleh keluarkan), serta anda perlu isi amaun yang ingin pohon pada ruangan Amaun Dimohon (RM). Kemudian anda boleh klik Seterusnya.
  3. Selepas itu, anda perlu memohon TAC pada ruangan Permohonan TAC. Setelah anda menerima TAC, anda boleh klik Hantar. Anda juga perlu mencetak permohonan anda.
  4. Seterusnya, anda perlu menunggu SMS status permohonan atau boleh menyemak status permohonan anda di ruangan Inbox di dalam i-Akaun anda.

Langkah 3: Sahkan Cap Jari Anda Di Pejabat KWSP

Apabila anda telah menerima SMS yang menyatakan permohonan anda telah diproses serta arahan untuk anda mengunjungi pejabat KWSP untuk pengesahan cap ibu jari anda, anda perlu berbuat demikian dalam tempoh 14 hari sahaja. Sekiranya anda gagal untuk berbuat demikian, permohonan pengeluaran anda akan dibatalkan dan anda perlu mengulangi semula semua langkah untuk permohonan baru.

Namun demikian, anda hanya perlu mengunjungi pejabat KWSP sekiranya permohonan yang dibuat merupakan permohonan kali pertama. Ini kerana, untuk permohonan kali kedua dan berikutnya, anda tidak perlu untuk mengesahkan cap ibu jari anda lagi.

Selain itu juga, di dalam SMS yang anda terima tersebut juga terdapat arahan untuk anda menyediakan dokumen-dokumen sokongan. Anda boleh semak dokumen-dokumen yang diperlukan di i-Akaun ataupun dengan menghubungi 03-89226000 (nombor telefon KWSP).

Kebiasaannya, dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut;

  • Kad pengenalan asal dan salinan
  • Dokumen Pengesahan Permohonan Pengeluaran yang anda cetak semasa membuat permohonan pengeluaran melalui i-Akaun
  • Sijil pendidikan tinggi anda serta salinan
  • Surat PTPTN (tunggakan PTPTN) sekiranya ada

Apabila anda telah mengesahkan cap jari anda, anda akan dimaklumkan oleh pegawai KWSP bahawa permohonan anda akan dihantar kepada PTPTN untuk proses selanjutnya dan kebiasaannya akan mengambil masa selam 14 hari bekerja.

Dalam tempoh tersebut anda akan menerima emel makluman daripada PTPTN yang menyatakan berkenaan penerimaan pembayaran pinjaman anda. Ini bermakna, proses pengeluaran dan pembayaran pinjaman PTPTN anda telah berjaya. Anda juga boleh menyemak semula pengeluaran anda di ruangan Pengeluaran dalam i-Akaun KWSP anda.

Sekiranya anda ingin membuat pengeluaran untuk tujuan yang sama, anda perlu mengulangi langkah yang sama kecuali anda tidak perlu lagi ke pejabat KWSP untuk membuat pengesahan cap ibu jari, ini kerana anda telah melakukannya pada permohonan pertama. Anda boleh membuat pengeluaran selagi mana anda masih mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 2 KWSP.

Kesimpulannya, dengan mengikuti beberapa langkah mudah di atas, anda telah dapat mengurangkan beban hutang PTPTN anda. Di samping itu, kerajaan juga telah menawarkan pelbagai diskaun seperti pemotongan 10% untuk pembayaran separuh atau 15% pemotongan untuk pembayaran penuh dalam menganjurkan agar kita semua melunaskan pinjaman PTPTN.

Semoga anda menyukai cara bayar PTPTN guna KWSP. Jemput juga baca artikel cara buat semakan KWSP, zakat KWSP dan jenis penegluaran KWSP

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.