FELDA dikenali dengan penanaman kelapa sawit yang menjadi sumber eksport perladangan utama bagi negara kita.
Kini, generasi ke-2 (anak peneroka) dan generasi ke-3 (cucu peneroka) ada yang keluar mencari rezeki di luar FELDA mereka. Kenapa agaknya? Sejauh mana para pelapis anak peneroka ini ingin meneruskan legasi perusahaan sawit?
Jom baca artikel ini untuk mengupas dengan lebih lanjut tentang persepi anak muda khususnya anak peneroka FELDA berkenaan industri kelapa sawit.
Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA) ditubuhkan pada 01 Julai 1956 bertujuan untuk pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat luar bandar.
Objektif penubuhan ini adalah untuk membasmi kemiskinan melalui penanaman kelapa sawit dan getah. Fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek pembangunan tanah dan kegiatan pertanian untuk ekonomi, sosial, perindustrian dan komersial.
Kini, FELDA terus memainkan peranan penting dengan menyediakan kemudahan yang moden dan mencukupi untuk memastikan generasi akan datang dapat meningkatkan sosio-ekonomi dan kualiti hidup mereka. Ia juga berperanan untuk merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar.
Usaha ini telah berjaya membasmi kemiskinan dengan menaiktaraf beberapa ribu penduduk luar bandar. Malaysia menyumbang kepada 39% daripada pengeluaran dunia kelapa sawit dan 44% daripada eksport dunia, meletakkannya pada tempat yang dominan dalam industri minyak sawit.
Walaupun komoditi ini berpotensi tinggi, sumber manusia dilihat sebagai faktor penghindar yang boleh menjejaskan industri minyak sawit. Kebanyakan belia masa kini tidak berminat untuk melibatkan diri dalam industri kelapa sawit, kerana minat mereka lebih bertumpu kepada sektor pekerjaan lain seperti pengilangan atau pekerjaan di sektor awam dan swasta.
Pada bulan Mei 2017, statistik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan jumlah pekerja di sektor kelapa sawit di Malaysia adalah seramai 428,000.
Daripada jumlah itu, 328,400 (77%) adalah pekerja asing.
Menurut tinjauan oleh Statistik Sumber Manusia Malaysia, majoriti belia tempatan lebih suka bekerja di sektor perkilangan dan runcit dan kebanyakannya memilih sektor pertanian dan perladangan sebagai pilihan ketiga mereka.
Hashim dan rakan-rakan pada tahun 2019 ada membuat tinjauan soal selidik kepada 50 responden belia dari 4 penempatan FELDA berbeza (Felda Trolak Selatan, Felda Tunggal, Felda Kledang dan Felda Adela) mengenai tahap motivasi dan kesedaran mereka terhadap industri sawit.
Status sosial menunjukkan bahawa responden yakin bahawa keluarga mereka bangga dengan profesion mereka dalam industri minyak sawit. Selain itu, mereka percaya bahawa bekerja di industri minyak sawit adalah pekerjaan yang dihormati di Malaysia.
Responden juga bersetuju bahawa para pengurus FELDA menghargai mereka sebagai pekerja dan pengurus juga menujukkan sokongan dalam pembangunan kerjaya mereka. Responden melaporkan bahawa pengurus memastikan pekerja mengambil bahagian dalam membuat keputusan yang mempengaruhi pekerjaan mereka dan menyediakan latihan yang sewajarnya apabila diperlukan.
Responden mempunyai sikap positif terhadap sifat pekerjaan industri minyak sawit. Mereka mendapati pekerjaan di industri ini menarik kerana mereka mempunyai kebebasan dalam menjalankan pekerjaan.
Responden merasakan mereka boleh menggunakan kebolehan dan kemahiran yang mewujudkan perasaan gembira di tempat kerja. Responden juga mempunyai sikap positif dengan rakan kerja mereka.
Mereka menyatakan terdapat kerjasama di kalangan pekerja dan akibatnya, kebanyakan pekerja berasa sangat bermotivasi.
Responden mendakwa bahawa mereka berminat memilih pertanian sebagai jalan kerjaya.
Bagi mereka yang masih belajar pula, mereka akan memilih untuk bekerja dalam industri minyak sawit apabila mereka menamatkan pengajian.
Mereka dapat melihat potensi industri minyak sawit dan akan mengesyorkan pekerjaan di industri ini kepada rakan dan saudara.
Para responden berpendapat gaji adalah rendah dan tidak mencukupi bagi kebanyakan pekerjaan dalam industri minyak sawit.
Di samping itu, responden merasakan bahawa persekitaran tempat kerja tidak begitu bersih dan mempunyai risiko kemalangan kerja yang tinggi.
Ada responden yang merasakan bahawa pekerjaan dalam industri minyak sawit adalah kurang memuaskan.
Mereka berpendapat bahawa waktu kerja yang terlalu panjang tidak sesuai untuk kehidupan seharian dan pekerjaan dalam industri minyak sawit adalah bermusim.
Beberapa responden melaporkan bahawa tidak mudah untuk bergaul dengan rakan sekerja. Mereka percaya bahawa rakan sekerja mereka tidak berpendidikan tinggi dan biasanya membosankan.
Keseluruhan hasil kajian menunjukkan bahawa generasi muda FELDA mempunyai sikap positif terhadap industri minyak sawit. Mereka menyedari betapa pentingnya industri ini dan mereka mempunyai keinginan untuk menyumbang kepada peningkatan industri.
Faktor yang mempengaruhi motivasi negatif adalah kurangnya sokongan dalam pembangunan kerjaya dan kekurangan ganjaran untuk usaha mereka.
Minat para belia Malaysia ke arah pekerjaan perladangan perlu dipupuk supaya dapat meneruskan kelestarian dan warisan keluarga dalam industri kelapa sawit dan pergantungan terhadap pekerja asing dapat dikurangkan.