Hidup di bandar dan di kampung sangat berbeza. Di kampung, kos sara hidup tidak tinggi kerana harga barang lebih murah berbanding di bandar-bandar besar. Tempat-tempat yang mahal seperti pusat membeli belah, restoran mahal, Secret Recipe dan sebagainya susah untuk dijumpai di kawasan kampung.
Jika gaji hanya RM1200 dan hidup di kampung, cukup untuk kos sara diri. Kawasan kampung juga tidak sesak dan kos minyak kenderaan tidak tinggi. Tetapi jika di bandar, RM1200 tidak cukup kerana kos sara hidup di bandar lebih tinggi berbanding di kampung. Banyak komitmen yang perlu dibayar seperti duit sewa rumah, duit minyak kereta, duit makan, duit berbelanja, insurans dan pelbagai lagi.
Tapi ada caranya jika hidup di bandar dengan gaji bawah RM2000. Apakah caranya?
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 10 tips untuk hidup di bandar dengan gaji rendah. Info ini dikongsikan oleh Encik Amir Syahir. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai ilmu hartanah dan pengurusan wang. Selain itu, beliau juga berkongsikan tentang tips ASBF.
Beringat yang gaji kau kecil. Kau harus bersederhana dalam berbelanja. Tak perlu nak belanja sakan serupa anak Datuk.
Simpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji untuk kegunaan masa depan. Buat potongan akaun gaji ke Tabung Haji ataupun ‘force saving’ guna pembiayaan ASB. Simpan sikit-sikit, lama-lama jadi banyak juga duit kau tu.
Gaya hidup kau tak perlu sama dengan orang lain. Kau tahu kemampuan kewangan kau. Biarkan kawan-kawan pergi travel luar negara, pakai IPhone, lepak Starbucks. Kau kena rilek je.
Buat satu bajet tentang pendapatan, jumlah perbelanjaan dan hutang yang harus dibayar. Ia penting supaya kau tidak terlebih berbelanja.
Jika hutang kau melebihi pendapatan bulanan, usahakan pendapatan tambahan. Boleh cuba dropship. Jual barang online. Buat Grab ataupun jadi runner.
Lupakan dahulu travel luar negara. Lupakan dahulu kereta import mewah dan kehendak kau yang menggunung tu. Utamakan apa yang perlu.
Bandingkan harga semasa kau berbelanja. Jimat RM2-RM3 pun dah banyak. Jika dihimpunkan lama-lama banyak juga.
Jika ada hutang dengan bank jangan tangguh bayar. Lewat bayar mungkin kena caj lambat bayar. Hutang kawan kau pun kena bayar jugak. Jangan buat-buat hilang ingatan.
Jangan buat hutang baru jika hutang lama kau rabak nak bayar. Fokuskan hutang lama terlebih dahulu.
Jika sukar untuk simpan 10% daripada gaji, cuba simpan RM5 (Si Hijau) ataupun RM20 (Si Oren). Jumpa je dalam dompet kau terus asingkan dan masukkan dalam tabung berwarna. Lama-lama banyak simpanan kau tu.
*Cuba ikut tips yang diberikan oleh Encik Amir ini. Pada permulaannya, ia agak susah kerana gaji kita yang rendah tetapi cuba buat untuk bulan yang pertama. Kita akan dapat lihat perubahannya dan tabung simpanan kita pula akan bertambah. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.