Masih mencari tips bekerja sendiri?

Bekerja sendiri di sini bermaksud bekerja di rumah tanpa terikat kepada mana-mana syarikat atau organisasi. Maksudnya, andalah pekerja dan anda jugalah majikannya. Kedengaran menarik, bukan?

Namun, bekerja sendiri ini ada faedah dan keburukan yang tersendiri. Jika anda bijak menyesuaikan diri, ianya tidak akan menjadi masalah buat anda di kemudian hari.

tips bekerja sendiri

Imej via iLabur

Oleh itu, berikut kami senaraikan 10 tips bekerja sendiri buat anda. Ada juga pantang-larang yang tidak seharusnya anda langgar. Jadi, teruskan membaca!

#1 Sediakan Ruang yang Selesa

Jika bekerja di pejabat sekalipun, semestinya anda mahu ruang bekerja yang selesa dan kemas. Mungkin nampak seperti satu perkara yang ringan, namun ini akan memberi kesan kepada produktiviti dan prestasi anda semasa bekerja.

Bayangkan jika ruang bekerja anda bersepah dan semua fail-fail penting beterabur di merata-rata tempat. Melihat keadaannya sendiri pun sudah boleh mematikan niat anda untuk bekerja, terus hilang semangat!

Untuk itu, amatlah penting untuk anda menyediakan ruang bekerja yang bukan sahaja cantik dipandang, malah selesa untuk anda membuat bekerja.

#2 Gunakan Planner

Planner bukan sahaja digunakan untuk anda menandakan acara atau cuti, malah ianya juga boleh digunakan jika anda ingin mengingatkan diri sendiri tentang tarikh luput untuk tugasan yang ingin disiapkan.

Misalnya, jika anda seorang proofreader, semestnya ada tarikh luput yang disediakan oleh klien untuk artikel yang ingin disemak. Jika anda tersalah pandang tarikh luput atas alasan ‘terlupa’, memang mengamuklah klien anda!

Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan yang kewujudan planner bagi individu yang bekerja sendiri sememangnya amat penting supaya anda tidak ketinggalan atau cuai.

#3 Jangan Bekerja Secara Berterusan

Bekerja keras memang bagus, namun ianya akan memberi impak yang negatif kepada produktiviti seseorang individu jika ianya dilakukan secara berterusan tanpa sebarang rehat.

Tidak salah jika anda mahu bekerja keras, namun haruslah ada batasnya. Sambil bekerja, cubalah berehat untuk 15 – 20 minit. Ini bagi memastikan agar tubuh anda kembali segar untuk terus bekerja.

Jika anda bekerja tanpa berehat, tahap produktiviti anda akan menurun. Ini akan menyebabkan hasil kerja yang dibuat menjadi kurang memuaskan dek kerana kepenatan. Jadi, elakkan bekerja tanpa berehat ya!

#4 Berhenti Menangguh Kerja

Punca anda bekerja secera berterusan? Pasti kerana anda menangguh kerja, bukan? Tidak salah beehat namun jika anda berehat terlalu lama, lambakan kerja yang menanti pasti akan memudaratkan anda di kemudian hari,

Jadi, janganlah menangguh kerja. Awalnya, mungkin nampak sedikit sahaja lambakan kerja yang ada.  Namun semakin lama anda menangguh, semakin banyak kerja yang tak disiapkan. Boleh bikin kusut dan hilang semangat bekerja!

Contohnya, jika anda ada lima tugasan untuk disiapkan dalam seminggu, bahagikan masa untuk kelima-lima tugasan tersebut. Paling paling pun satu tugasan dalam sehari sudah cukup memadai.

#5 Cari Waktu Produktif Anda

Dalam banyak banyak tips bekerja sendiri yang kami senaraikan, ini merupakan antara yang terpenting. Bahaya juga jika anda ada raung kerja yang selesa, namun dijadikan pula sebagai tempat tidur dek kerana kurang produktif.

Jadi, cari waktu produktif untuk anda bekerja. Kami yakin yang setiap individu mempunyai waktu produktif yang berbeza. Ada yang bersemangat untuk bekerja pada waktu pagi, ada yang produktif di tengah malam.

Jadi, pilih waktu yang sesuai untuk anda melakukan kerja dalam keadaan yang cerdas dan bersedia. Bila ada semangat untuk bekerja, barulah dapat menyiapkan kerja dengan sempurna!

#6 Ketepikan Telefon Pintar

Ini pun tips yang penting juga. Sesetengah individu mungkin mampu memberikan 100% fokus kepada kerja yang ingin dilakukan walaupun ada telefon pintar bersama. Namun, ada juga yang tidak mampu fokus kerananya.

Telefon pintar mampu membuatkan seseorang individu leka jika tidak dikawal penggunaannya. Ianya boleh menjadi punca anda tidak menyiapkan kerja dek kerana terlalu fokus dengan aplikasi di telefon pintar.

Jadi, sebolehnya ketepikan telefon pintar anda jika ianya digunakan untuk hiburan semata-mata. Namun, jangan pula abaikan sepenuhnya. Gunakan telefon pintar secara berhemat ya!

#7 Gunakan Teknologi Yang Canggih

Teknologi canggih yang kami maksudkan ini semestinya untuk memudahkan anda bekerja di rumah. Kegunaan utama teknologi ialah untuk memudahkan urusan harian kita, jadi manfaatkanlah kelebihan tersebut.

Misalnya, buku nota yang mencatatkan tugasan-tugasan penting yang akan dilakukan boleh digantikan dengan aplikasi planner yang boleh dimuat turun sendiri.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan instant messaging atau Facetime untuk berhubung dengan klien atau majikan. Tak perlu susah-susah ke KL pun jika anda menetap di Perlis!

#8 Sediakan Snek yang Sihat

Semasa bekerja, kami akui perut pasti akan berkeroncong kerana kepenatan. Tidak salah jika anda ingin mengisi perut dengan makanan kegemaran, namun pastikan ianya sihat dan mengeyangkan.

Contohnya, anda boleh menikmati buah-buahan seperti epal sambil anda menyiapkan kerja. Makanan berat seperti nasi lemak seharusnya dielakkan kerana ia akan membuatkan anda terlalu kenyang.

Bila terlalu kenyang, mulalah berasa mengantuk. Ini akan mengganggu produktiviti anda untuk bekerja. Jadi, pilihlah snek yang ringan dan berkhasiat sambil bekerja.

#9 Siapkan Kerja di Luar

Walaupun anda bekerja sendiri, tak semestinya kerja anda disiapkan di rumah. Kadangkala, bila anda tidak keluar dari rumah, rasa malas untuk menyiapkan kerja mula menjengah.

Jadi, singgah sahaja di mana-mana tempat yang sesuai untuk anda membuat kerja. Misalnya, di kafe yang santai suasananya atau di perpustakaan yang berdekatan.

Suasana yang santai dan selesa akan membuatkan anda menjadi lebih bersemangat untuk membuat kerja. Jika di kafe, boleh juga anda menghirup kopi kegemaran sambil membuat kerja.

#10 Sediakan Waktu Bekerja

Bukan pejabat sahaja yang ada waktu bekerja. Jika anda bekerja sendiri, anda juga seharusnya menyediakan waktu bekerja. Ini bagi memastikan jadual bekerja anda teratur.

Misalnya, boleh juga jika anda sediakan waktu bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Sama seperti waktu bekerja yang biasa. Bolehlah anda sediakan waktu berehat pada waktu tengah hari.

Dengan adanya waktu bekerja, anda dapat menyusun tugasan yang dilakukan dengan lebih teratur. Tambahan pula, anda dapat berehat pada waktu lain. Ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah semangat bekerja juga akan turut meningkat!

Kesimpulan

Bagaimana? Semangat sudah berkobar-kobar untuk bekerja di rumah? Kami akui bekerja dari rumah bukanlah satu perkara yang mudah, ditambah pula dengan kebebasan yang ada.

Jadi, kami berharap agar artikel tips bekerja sendiri yang kami senaraikan ini memberi manfaat yang banyak buat anda. Jangan lupa kongsikan di media sosial dan juga kepada rakan-rakan. Selamat bekerja!

Rujukan

1. https://www.nextiva.com/blog/working-from-home-tips.html

2. https://workingfromhomeinsider.com/working-from-home-tips/

 

Copy

Penulis: hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.