Selain agen insurans dan takaful, kerjaya sebagai agen jualan penapis air pun semakin menjadi pilihan ramai orang.

Persaingan sesama syarikat dan peluang pemasaran semakin bertambah.

Jika anda berhajat ingin menjadi agen jualan penapis air, atau sekadar ingin tambah pengetahuan berkenaan teknik pemasaran perniagaan, jom baca artikel ini.

Pengenalan

Dengan teknologi pembuatan yang makin maju di Korea, wujudlah pelbagai jenama penapis air seperti Cuckoo dan Coway yang seolah menjadi kemestian di setiap rumah.

Pertama sekali, air minuman adalah keperluan asas kita dalam aktiviti seharian. Jadi, munculnya penapis air ini, telah memudahkan urusan menyediakan air minuman yang bersih dan selamat ini.

Antara kelebihan penggunaan penapis air ialah

  • Menjimatkan masa dari segi masak air, menyediakan air pada suhu panas atau sejuk
  • Mengurangkan kos perbelanjaan membeli stok air mineral atau air minuman
  • Mendapat khasiat air minuman yang tinggi melalui pakej penapis air beralkali, garam mineral dan bebas kuman
  • Dijadikan sebagai aset untuk wakaf atau sedekah di masjid atau tempat kerja

Kerjaya sebagai Agen Jualan Penapis Air

Sebagaimana kerjaya agen insurans, pekerjaan ini boleh dilakukan secara part time atau full time, dan menariknya, boleh dilakukan dari rumah tanpa perlu bertemu dengan pelanggan.

Setiap kali anda berjaya menjual penapis air, anda akan mendapat komisyen. Jadi, boleh dikatakan bahawa kerjaya ini memberi pulangan pendapatan yang tidak tetap dan bergantung kepada kegigihan anda mencari pelanggan.

Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan jualan anda.

Tips Pemasaran Jualan Penapis Air

#1 Mempunyai database sebagai potensi pelanggan

Database ini adalah senarai nama dan maklumat untuk dihubungi yang kita boleh gunakan untuk mulakan pemasaran.

Anda boleh kumpulkan maklumat-maklumat ini mengikut kategori tertentu seperti kawan sekolah, kaum keluarga, jiran, rakan sekerja dan sebagainya.

Dengan cara ini, penyampaian iklan anda akan menjadi lebih sistematik dan terancang.

Banyak medium yang boleh digunakan untuk mengumpul data ini, antaranya:

  • Senarai kenalan dalam telefon
  • Kumpulan Whatsapp
  • Kenalan di media sosial
  • Kenalan yang pernah anda hubungi sebelum ini (mungkin anda pernah berurusan)
  • Business card yang pernah anda terima
  • Kenalan kepada kenalan kita (kawan-kawan kepada ibu bapa, suami/isteri, jiran dan sebagainya)

#2 Pengiklanan digital

Di zaman siber dan teknologi ini, hampir semua orang mempunyai akses terhadap internet.

Gunakan kesempatan ini mengiklankan anda menggunakan platform digital seperti FB Ads, Insta Ads dan pengiklanan di kedai jualan atas talian.

Anda juga boleh “merayau-rayau” di media sosial dan mencari kata kunci yang sesuai. Mana tahu anda boleh berjumpa dengan pelanggan anda di situ?

#3 Profil diri yang lengkap

Anda perlu pastikan bahawa anda mempunyai profil yang boleh dihubungi, lengkap dengan maklumat nombor telefon, deskripsi produk yang jelas, pakej harga yang menarik dan susunan profil yang tidak serabut.

Pastikan juga, akaun profil anda sentiasa dikemas kini bagi meyakinkan para pelanggan bahawa anda masih lagi seorang agen jualan penapis air yang aktif.

#4 Cara anda mendekati pelanggan

Wujudkan suasana yang profesional tetapi santai. Bahasa badan dan riak wajah semestinya kena bertenaga dan bersemangat.

Anda boleh mulakan dengan mencari titik persamaan untuk dijadikan sebagai bibit menghilangkan rasa kekok, contohnya, anda mengenali sesorang yang signifikan dalam hidupnya atau pernah sama-sama pergi ke universiti yang sama.

Panggil mereka dengan nama mereka, dan jika perlu, dengan salutasi yang mereka selesa (akak, puan, prof, doktor, encik).

Jika anda masih baru, tiada salahnya kalau anda sediakan skrip perbualan dan berlatih sebelum berjumpa dengan klien.

Disiplin yang lain adalah tipikal untuk diamalkan seperti menepati masa, berpakaian kemas dan menerima keputusan klien dengan hati yang terbuka sekiranya mereka belum mahu membeli dari anda.

Sekiranya anda berhubungan secara atas talian, pastikan anda elakkan dari menggunakan bahasa yang kasar dan sentiasa berbudi bahasa. Balas mesej secepat yang mungkin.

#5 Tampilkan kredibiliti

Anda boleh letak testimoni (yang jujur) dan kejayaan yang pernah anda kecapi sepanjang bergelar agen jualan penapis air.

Hal ini adalah untuk meningkatkan keyakinan para pengguna, di samping boleh menarik orang lain yang ingin turut sama menjadi agen di bawah anda.

Seimbangkan posting anda dengan kehidupan seharian anda, bukan hanya dilambakkan dengan produk jualan anda yang akan menyesakkan.

Tampilkan kelainan seperti berkongsi resepi masakan, tips deko rumah, petua di dapur atau review filem/drama untuk mendekatkan lagi persona anda dengan orang ramai.

#6 Jangan downgrade klien

Ada segelintir agen yang suka menggunakan reverse psychology untuk menarik perhatian klien atau sekadar ingin mencipta kontroversi untuk viral dan mendapat publisiti percuma.

Antaranya, merendah-rendahkan mereka yang belum memasang penapis air di rumah, melabelkan air minuman tanpa penapis air sebagai air yang tidak selamat, mereka yang tidak memasang penapis air ialah golongan yang kedekut dan tak sayangkan kesihatan, dan sebagainya sehingga ada yang sengaja menghamburkan kata-kata yang kesat kepada klien yang enggan membeli produk jualannya.

Sebagai agen jualan yang menggunakan orang ramai sebagai klien utama khususnya dalam direct selling ini, komunikasi dan hubungan baik sangat perlu dititikberatkan.

Siapa je yang suka dihina? Silap hari bulan, tindakan ini akan backfire, makan tuan menjadikan jualan anda merudum dan mungkin dilucutkan daripada menjadi agen.

Kesimpulan

Dalam kita rancak mengejar kerjaya dalam apa-apa bidang sekalipun, kita kena sentiasa utamakan intergriti dan hubungan yang baik dengan orang sekeliling dan persekitaran.

Menjadi agen jualan penapis air mungkin sesuai dipilih oleh mereka yang gemar dengan prospek kerjaya direct selling bertemu pelanggan dan mempunyai masa kerja yang fleksibel.

Baik penjual mahupun pembeli, sama-sama kita mudahkan urusan antara kita kerana kalau kita mudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita, dengan izin-Nya.

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.