Tak ramai yang tahu cara buat simpanan bisnes.
Bisnes tanpa simpanan memang bahaya jika terjadi sesuatu yang tidak diingini dan anda memerlukan modal segera. Penting untuk bisnes ada simpanan dalam jumlah yang kecil mahupun besar.
Menguruskan kewangan adalah tulang belakang kepada kejayaan sesebuah perniagaan. Tidak semua perniagaan bersedia menghadapi situasi darurat seperti kejatuhan pasaran, pandemik, atau kerosakan peralatan.
Jangan risau, dengan strategi kewangan yang tepat, anda boleh membina simpanan perniagaan untuk situasi darurat.

Kepentingan Ada Simpanan Bisnes?
1. Simpanan Bisnes Melindungi Aliran Tunai
Simpanan bisnes memastikan anda mempunyai dana mencukupi untuk menampung kos operasi semasa menghadapi masalah seperti kehilangan pelanggan utama atau kelewatan pembayaran daripada pelanggan.
2. Mengurangkan Kebergantungan pada Pinjaman
Tanpa simpanan, anda mungkin terpaksa bergantung kepada pinjaman yang datang dengan kadar faedah tinggi. Ini boleh menambahkan beban kewangan pada masa hadapan.
3. Meningkatkan Keyakinan Pihak Berkaitan
Pelabur, pelanggan, dan pembekal lebih yakin dengan perniagaan yang mempunyai kestabilan kewangan. Mempunyai simpanan menunjukkan anda bersedia menghadapi cabaran.
4. Kesinambungan Perniagaan Dari Simpanan Bisnes
Dengan simpanan yang mencukupi, anda dapat mengekalkan operasi walaupun menghadapi krisis besar. Ini membantu mengelakkan penutupan sementara atau pemotongan tenaga kerja dalam perniagaan anda.
Berapa Banyak Simpanan Bisnes yang Anda Perlukan?
Jumlah simpanan bisnes yang ideal bergantung kepada jenis dan skala perniagaan anda. Secara amnya, perniagaan kecil memerlukan simpanan untuk menampung 3 hingga 6 bulan perbelanjaan operasi adalah disarankan.
Bagi perniagaan besar pula, anda mungkin memerlukan simpanan sehingga 12 bulan, terutama jika beroperasi dalam industri berisiko tinggi.
Anda perlu mulakan dengan matlamat kecil. Jik tidak mampu menyimpan untuk 6 bulan sekaligus, cuba capai 1 bulan dahulu, kemudian tingkatkan sedikit demi sedikit.
Langkah-Langkah Dan Cara Buat Simpanan Bisnes

1. Kenal Pasti Perbelanjaan Operasi Asas
Langkah pertama ialah memahami kos tetap bulanan perniagaan ataupun kos perniagaan anda secara keseluruhan, seperti:
- Sewa premis
- Gaji pekerja
- Utiliti (elektrik, air, internet)
- Kos bahan mentah atau stok
- Minyak kereta
- Kos-kos lain yang tersembunyi
Kemudian, anda perlu rekod semua perbelanjaan anda selama 3 bulan. Gunakan jumlah purata ini sebagai sasaran simpanan minimum anda. Jelas?
2. Tetapkan Peratusan Simpanan daripada Pendapatan
Sama seperti individu, perniagaan juga perlu memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan untuk simpanan. Anda perlu letak target berapa peratus yang nak disimpan daripada jumlah pendapatan perniagaan anda.
Sebagai contoh, mulakan dengan 10% daripada pendapatan bulanan. Jika perniagaan anda meningkat dari segi jumlah jualan, tingkatkan simpanan kepada 20%-30%. Sekiranya pendapatan anda ialah RM10,000, simpan sekurang-kurangnya RM1,000 setiap bulan.
3. Sistem Simpanan Automasi
Bagi memastikan anda menyimpan dengan berdisiplin, tetapkan sistem automasi simpanan. Pertama sekali, anda perlu buka akaun simpanan khas untuk dana kecemasan bisnes.
Kemudian, tetapkan pemindahan automatik setiap bulan daripada akaun utama perniagaan ke akaun simpanan. Ataupun buat simpanan yang terus potong dari akaun anda.
4. Kurangkan Perbelanjaan Yang Tidak Penting
Cara buat simpanan perniagaan juga adalah anda perlu lakukan audit perbelanjaan untuk mengenal pasti kos yang boleh dikurangkan atau dielakkan. Bila kurangkan perbelanjaan yang tidak penting, anda boleh menyimpan lebih.
Sebagai contoh, mula potong langganan perkhidmatan yang jarang digunakan. Dari segi penjimatan, anda boleh cari pembekal yang menawarkan harga lebih rendah tanpa perlu mengorbankan kualiti.
Jangan lupa untuk semak laporan kewangan anda secara berkala untuk memastikan tiada kebocoran wang bisnes!
5. Cari Pendapatan Tambahan
Selain menyimpan, menambah pendapatan juga boleh mempercepatkan proses membina simpanan perniagaan. Sebagai alternatif, anda boleh jual stok yang berlebihan, perkenalkan produk atau perkhidmatan tambahan, ataupun buat promosi khas untuk meningkatkan jualan.
6. Kekalkan Dana Kecemasan Daripada Digunakan
Jika anda sudah ada simpanan kecemasan untuk bisnes, pastikan dana simpanan hanya digunakan untuk situasi darurat sebenar sahaja. Antaranya adalah seperti,
- Kerosakan peralatan penting.
- Pembayaran gaji jika terdapat kelewatan pendapatan.
- Jualan menurun akibat faktor luaran.
7. Melabur Sebahagian Simpanan
Cara buat simpanan bisnes juga adalah dengan membuat pelaburan sebahagian simpanan yang anda. Jika dana kecemasan anda sudah mencukupi, pertimbangkan untuk melabur sebahagiannya dalam instrumen rendah risiko seperti akaun simpanan tetap (fixed deposit) dan juga dana pasaran wang. Ini akan membantu dana anda berkembang tanpa mengurangkan kecairannya.
8. Gunakan Insurans Perniagaan
Insurans boleh membantu melindungi perniagaan anda daripada risiko seperti kebakaran, kecurian, atau tuntutan undang-undang.
Dengan perlindungan ini, anda boleh mengelakkan penggunaan dana kecemasan untuk menampung kerugian besar. Penting untuk ada insurans perniagaan supaya kewangan lebih selamat dan perniagaan terjamin.

Kesilapan Umum dalam Membina Simpanan Bisnes
Tidak Mula Buat Simpanan Awal
Ramai pemilik bisnes menangguhkan simpanan kerana mengutamakan keuntungan. Mulakan walaupun dengan jumlah kecil.
Menggunakan Simpanan Untuk Perbelanjaan Yang Tidak Penting
Gunakan dana kecemasan hanya untuk perkara mendesak, bukan untuk peluang perniagaan baharu atau kos pemasaran tambahan.
Tidak Memantau Simpanan Bisnes
Gagal menguruskan dana kecemasan boleh menyebabkan kekurangan dana apabila diperlukan.
Jom Bina Simpanan Bisnes Dari Sekarang!
Jangan risau jika masih belum ada simpanan. Mula menyimpan dari sekarang dan gandakan wang tersebut dengan lebih baik. Ikut sahaja tips yang kami kongsikan di atas! Semoga bermanfaat.
Jemput baca juga artikel berikut:
Pekerjaan gaji paling tinggi di Malaysia
