Ingin mengetahui peranan utama ahli farmasi dan kelayakannya?

Kerjaya dalam bidang farmasi merupakan antara bidang kerjaya yang paling popular di dunia. Kepakaran seseorang ahli farmasi sememangnya memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat sejagat.

Jika anda tanyakan soal cita-cita kepada kanak-kanak, pasti kebanyakannya akan memilih ahli farmasi sebagai kerjaya yang diimpikan. Kami yakin anda juga pasti pernah mempunyai impian yang sama, bukan?

peranan ahli farmasi

Imej via ilabur

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kerjaya ini dan peranannya, berikut kami senaraikan 6 peranan utama ahli farmasi buat anda. Teruskan membaca!

#1 Ahli Farmasi di Hospital

Farmasi hospital bertanggungjawab membekalkan dan mengurus semua aspek yang berkaitan dengan penggunaan ubat bagi pesakit dalam wad dan juga pesakit luar.

Mereka akan memastikan seluruh masyarakat memperolehi produk kesihatan yang selamat dan berkesan. Jumlah dos yang diambil pesakit juga akan diperhatikan bagi memastikan ianya dalam dos yang sepatutnya.

Seterusnya, mereka akan memberikan khidmat nasihat mengenai penggunaannya dengan betul, bagi memastikan kesihatan pesakit mereka sentiasa terjaga.

#2 Ahli Farmasi Komuniti

Selain hospital, ahli farmasi juga turut berkhidmat di farmasi komuniti. Farmasi komuniti ini merupakan farmasi yang dekat dengan masyarakat dalam membekalkan ubat-ubatan.

Ahli farmasi komuniti adalah ahli farmasi berdaftar yang memberi khidmat nasihat dan membekal ubat-ubatan di farmasi komuniti kepada masyarakat atau pesakit.

Mereka memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat tentang ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit dan dos yang sepatutnya diambil. Pesakit juga akan lebih faham tentang ubatan yang diambil.

Ahli farmasi komuniti akan bekerja dengan retail pharmacy, rantaian pasar raya, pusat kesihatan, klinik  dan pembedahan. Ada juga yang membangunkan farmasi sendiri bersama ahli farmasi yang lain.

#3 Ahli Farmasi Industri

Ahli farmasi industri terlibat dengan penemuan dan pembuatan ubat-ubatan yang selamat dan efektif. Industri yang terlibat termasuklah pengilangan, pembuatan, pembungkusan, pembekalan dan pengedaran secara borong.

Mereka boleh bekerja di mana-mana peringkat tersebut. Mereka membuat dan menyelidik ubat-ubatan, menjalankan ujian klinikal, mengawasi pengeluaran, memantau kualiti dan memasarkannya secara sah.

Tidak dinafikan, di peringkat industri, ahli farmasi industri memang akan menghadapi persaingan yang sengit dalam menghasilkan ubat-ubatan yang berkualiti tinggi.

Mereka selalunya bekerja dengan kilang-kilang yang berdaftar dan sah. Jenis ubat-ubatan pula selalunya akan dipasarkan kepada farmasi komuniti atau hospital swasta dan kerajaan.

#4 Ahli Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KKM merupakan kementerian Kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab terhadap sistem kesihatan. Farmasi merupakan salah satu cabang di bawah KKM.

Anda juga boleh menjadi ahli farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi, ahli farmasi di KKM ini seharusnya mempunya kepakaran yang tinggi dan pengalaman yang luas.

Hal ini kerana  ahli-ahli farmasi yang bertugas di bahagian farmasi ini akan berperanan dalam menjaga soal-soal keprofesionalan farmasi. Contohnya, pendaftaran ahli farmasi, tenaga manusia dan latihan untuk ahli farmasi.

Mereka juga turut berkerjasama dengan ahli akademia serta persatuan farmasi dalam perihal yang berkaitan dengan program farmasi di universiti. Penyelidikan yang berterusan juga turut dilakukan oleh ahli farmasi di KKM.

#5 Ahli Farmasi di Bahagian Regulatori Farmasi Negara

NPRA merupakan institusi yang melaksanakan kawalan kualiti pada produk farmaseutikal. Mana-mana produk yang dijual seharusnya didaftarkan bersama NPRA (di samping KKM) untuk diuji kualitinya.

Ahli farmasi juga turut berkhidmat di NPRA. Anda akan menguji dan mengawal kualiti sesuatu produk bagi memastikan yang ianya bukan sahaja efektif, malah selamat untuk digunakan.

Bukan produk makanan sahaja, malah kosmetik juga turut akan dipantau oleh ahli farmasi di NPRA. Mereka sangat menekankan mutu serta keselamatan produk yang dikeluarkan di pasaran.

#6 Ahli Farmasi di Universiti

Di peringkat universiti, perkhidmatan ahli farmasi turut diperlukan. Mereka akan menjalankan penyelidikan yang berterusan terhadap ubat-ubatan yang dihasilkan.

Selain itu, mereka juga boleh menjadi pensyarah yang akan mengajarkan subjek berkaitan bidang Farmasi kepada pelajar. Pelbagai kemahiran dalam bidang farmasi juga akan diajar oleh ahli farmasi di universiti.

Kelayakan

Ahli farmasi perlu mempunyai ijazah Sarjana Muda Farmasi (B. Pharm) dari mana-mana universiti yang diiktiraf oleh kerajaan, baik di institut pengajian awam mahupun swasta, dalam atau luar negara.

Untuk peringkat SPM, seseorang ahli farmasi perlu mendapat sekurang-kurang 5B dalam subjek:

  • Kimia
  • Biologi
  • Fizik
  • Matematik/matematik tambahan
  • 1 mata pelajaran lain

Untuk peringkat STPM, anda perlu mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3 dengan gred BBB, ABC atau AAC dalam tiga subjek iaitu;

  • Biologi; dan
  • Kimia; dan
  • Fizik atau Matematik

dengan sekurang-kurang nya B dalam subjek Kimia.

Untuk peringkat A-Level pula, 3B atau 2A1C atau 1A1B1C dalam:

  • Biologi; dan
  • Kimia; dan
  • Fizik atau Matematik

dengan sekurang-kurang nya B dalam subjek Kimia.

Di peringkat Matrikulasi ATAU Pra-Pengajian Farmasi/ Perubatan, anda perlu mendapat CGPA 3.0 ke atas dengan sekurang – kurangnya B bagi Kimia.

Untuk Foundation dalam Sains, anda perlu mendapat CGPA 3.0 ke atas dengan sekurang – kurangnya B bagi Kimia. Program perlu di jalankan dalam tempoh sekurang-kurangnya 1 tahun.

Di peringkat diploma, untuk Diploma Sains (Kimia atau Biologi atau Fizik), anda perlu mencapai CGPA 3.75 dan ke atas termasuk B dalam subjek Kimia. Manakala untuk Diploma Farmasi, anda perlu mencapai CGPA 3.5 dan ke atas.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah mula memasang minat untuk menjadi ahli farmasi? Tidak dinafikan, kelayakan untuk seseorang ahli farmasi memang tinggi, namun tidak salah jika anda memasang impian untuk menjadi ahli farmasi.

Semoga artikel tentang peranan ahli farmasi dan kelayakannya ini memberikan manfaat kepada anda. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial ya!

Rujukan

1. https://twitter.com/fahmibinhassan/status/1028274446425964545?lang=en

2. https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/syarat-syarat-kelayakan-masuk-minimum-ke-program-farmasi.html

3. http://www.prn.usm.my/index.php/archive/magazines/dewan-kosmik/304-peranan-ahli-farmasi-dalam-kesihatan

Copy

Penulis: hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.