Perakuan deposit atau dalam bahasa Inggeris disebut, “Certificate of Deposit (CD)” merupakan satu instrumen simpanan yang memberi jaminan untuk membayar faedah dan pokok (principal) kepada pembeli. Satu perakuan deposit atau CD mempunyai tarikh matang iaitu dari satu bulan sehingga lima tahun, dan mempunyai satu kadar faedah tetap yang tertentu dan diterbitkan dengan berbagai sebutan (denominations). Secara umumnya, CD diterbitkan oleh bank-bank komersial dan dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan atau “Federal Deposit Insurance Corporation (FDIC)”.
Sebuah perakuan deposit merupakan satu nota perjanjian yang diterbitkan oleh pihak bank. Ianya merupakan deposit masa yang menyekat pemegang perakuan deposit daripada mengeluarkan dana atas permintaan. Sekiranya seseorang membeli perakuan deposit sebanyak RM50,000 dengan kadar faedah yang diberikan secara tahunan sebanyak 5% dan dengan syarat satu tahun, maka pada penghujung tahun, perakuan deposit tersebut akan berkembang kepada RM52,500 berdasarkan pengiraan, RM50,000 X 1.05. Walaupun pemegang perakuan deposit boleh mengeluarkan wang sebelum tempoh matang, namun perbuatan ini mungkin menyebabkan penalti kewangan.
Perakuan deposit yang kurang daripada RM400,000 dipanggil perakuan deposit kecil (small CDs) dan perakuan deposit yang lebih daripada RM400,000 dipanggil perakuan deposit besar atau jumbo (large or jumbo CDs). Hampir kesemua perakuan deposit besar dan sebahagian perakuan deposit kecil adalah boleh dirundingkan (negotiable).