Malang memang tidak berbau. Ditambah dengan desakan kos sara hidup yang makin meningkat, ramai di antara kita yang kurang mengambil berat terhadap perlindungan kesihatan melalui pembelian insurans.
Bukan tak sayang nyawa, tapi, daripada membayar komitmen RM100 dan ke atas per kepala untuk skim insurans, kebanyakan keluarga yang rata-rata kais pagi makan pagi kais petang makan petang, terpaksa memejam mata demi mengutamakan perbelanjaan lain seperti untuk hal pendidikan dan belanja rumah.
Berita baik bagi golongan ini atau lebih dikenali dengan golongan B40, kerajaan Pakatan Harapan telah menyediakan satu skim insuran kesihatan yang percuma, dikenali sebagai MySalam, bagi melegakan sedikit sebanyak beban hidup akibat masalah kesihatan.
Ayuh kenali dan fahami dengan lebih lanjut mengenai skim MySalam melalui artikel ini. Cara daftar MySalam B40 dan semakan dan tuntutan MySalam dijelaskan.
Skim perlindungan kesihatan nasional mySalam adalah inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka.
Inisiatif ini menjadi realiti melalui kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion ke dalam dana amanah mySalam.
Kerjasama ini merupakan contoh model Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) yang tulen, ke arah membina rangkaian perlindungan sosial yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Sebagai permulaan, Skim ini akan ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
Mereka yang layak akan dimaklumkan melalui SMS di mana mereka dilindungi di bawah Skim ini. Jika anda layak untuk skim mySalam tetapi tidak menerima SMS tersebut, anda boleh hantarkan emel ke [email protected] atau hubungi talian mySalam di 1 300 888 938 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Selain itu, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan.
Bagi penghidap mana-mana 36 penyakit berikut, Skim ini menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 satu kali / sekaligus (one off). Pengesahan daripada pakar adalah diperlukan untuk membuktikan bahawa penyakit yang dihidapi ini berada dalam keadaan kritikal atau menyukarkan para penghidap untuk menerima bantuan ini.
Tuntutan penyakit kritikal
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan)
Langkah 2: Klik ‘Muat turun Borang’ dan muat turun borang ‘Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor’, berdasarkan jenis penyakit kritikal
Langkah 3: Dapatkan doktor atau pakar yang merawat anda untuk melengkapkan borang ‘Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor’
Langkah 4: Log masuk ke www.mysalam.com.my dan klik ikon ‘Tuntutan’, kemudian ikon ‘Penghantaran Tuntutan’. Skrol ke bawah laman dan klik ikon ‘Tuntutan Penyakit Kritikal’.
Langkah 5: Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Muat naik’ untuk memuat naik berikut dalam format *.pdf atau *.jpeg
a) Borang Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor
b) Salinan dokumen pengenalan, cth Kad Pengenalan (depan dan belakang)
Langkah 6: Klik butang ‘Hantar’ untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
Tuntutan hospitalisasi
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan)
Langkah 2: Klik ikon ‘Tuntutan’, kemudian ikon ‘Penghantaran Tuntutan’. Skrol ke bawah laman dan klik ikon ‘Tuntutan Hospitalisasi’.
Langkah 3: Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Muat naik’ untuk memuat naik berikut dalam format *.pdf atau *.jpeg
a) Salinan Nota Discaj
b) Salinan dokumen pengenalan, cth Kad Pengenalan (depan dan belakang)
Langkah 4: Klik butang ‘Hantar’ untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
Anggaran masa untuk memproses kedua-dua tuntutan hospitalisasi dan Penyakit Kritikal ialah sepuluh (10) hari bekerja setelah menerima dokumen tuntutan yang lengkap.
Tetapi, jika dokumen atau maklumat diterima tidak lengkap, mungkin mengambil masa lebih lama atau sehingga dokumen yang diperlukan telah diterima untuk memproses tuntutan.
Status tuntutan, seperti dokumen tidak lengkap, boleh diakses melalui portal atas talian www.mysalam.com.my. Mereka yang membuat tuntutan juga akan dimaklumkan melalui SMS samada tuntutan mereka diluluskan atau tidak.
Tuntutan yang diluluskan akan dimaklumkan kepada penerima manfaat melalui SMS dan maklumat tersebut akan juga dimuat naik ke portal www.mysalam.com.my.
Pengendali takaful yang terlibat akan memproses bayaran untuk semua tuntutan yang berjaya dengan mengkreditkan tunai secara terus ke dalam akaun penerima manfaat seperti yang didaftarkan dengan skim Bantuan Sara Hidup Rakyat.
Pembayaran RM8,000 dirancang supaya dapat memberi sumbangan yang boleh meringankan beban untuk rawatan perubatan yang diperlukan oleh penghidap penyakit kritikal di hospital kerajaan.
Tambahan lagi, pendapatan gantian sebanyak RM50 sehari, sehingga 14 hari setahun diberikan untuk menggalakkan pesakit mendapatkan rawatan, terutamanya untuk pencari nafkah utama isi rumah, dan berusaha menjadi lebih sihat tanpa perlu risau akan kehilangan pendapatan sepenuhnya dalam tempoh tersebut.
Sejajar dengan skop dan keutamaan ini, skim mySalam telah dirancang oleh kerajaan semasa bagi menjaga kebajikan rakyat dan pada masa yang sama untuk memastikan kemampanannya berdasarkan dana yang diberi.