Anda ingin membeli rumah tetapi komitmen kewangan keliling pinggang? Tambah pening kepala kalau nak bayar downpayment atau duit muka rumah dan komitmen bank pinjaman rumah yang mencecah ribuan ringgit sebulan.

Jom baca artikel ini yang akan menerangkan mengenai konsep sewa beli rumah.

Pengenalan

Menginjak usia dewasa, ramai di antara kita yang berhajat untuk memiki rumah untuk dijadikan sebagai aset dan keperluan untuk masa depan. Sedia maklum bahawa harga rumah sekarang bukan kaleng-kaleng, ya!

Untuk sebuah unit rumah apartmen yang selesa dengan 2 bilik tidur 1 bilik air sekali pun boleh mencecah RM100k di kawasan bandar.

Tahukah anda juga bahawa untuk membuat pinjaman bank bagi memiliki rumah, anda perlu sekurang-kurangnya memiliki duit sendiri sebanyak 10% dari nilai rumah kerana pihak bank hanya akan meminjamkan sebanyak 90% sahaja nilai rumah?!

Jadi, untuk rumah bernilai RM100k, anda perlu siap sedia duit dalam tangan sebanyak RM10k!

Hal ini antara perkara yang merunsingkan para pembeli. Oleh itu, terdapat alternatif untuk memiliki rumah iaitu dengan skim sewa beli rumah atau “Rent to Own” (RTO).

Konsep Sewa Beli Rumah (RTO)

Secara asasnya, skim ini menyediakan para pembeli yang kurang berkemampuan untuk menyewa rumah tersebut dalam tempoh tertentu sehingga mencapai tempoh matang untuk menukar taraf bayaran sewaan bulanan rumah kepada bayaran bulanan untuk memiliki atas nama sendiri.

Sebuah kontrak akan disediakan bagi memastikan hak undang-undang berpihak kepada kedua-dua penjual dan pembeli.

Kebiasaannya, dalam tempoh bayaran sewa, beberapa peratus daripada nilai sewaan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun pembelian rumah itu nanti. Jadi, apabila anda sudah bertukar status dari sewaan ke belian, harga belian rumah akan berkurangan.

Lebih kurang konsep KWSP yang gaji anda dipotong untuk tabungan anda di masa depan.

Permohonan Skim Sewa Beli

Buat masa sekarang, terdapat 3 skim sewa beli rumah yang terdapat di Malaysia. Ayuh kita kenali setiap satunya beserta syarat-syarat tertentu.

#1 SP Setia FlexKey

Syarikat SP Setia Bhd (SP Setia) telah memperkenalkan skim pembiayaan Setia FlexKey pada April 2019 yang membolehkan orang ramai memiliki rumah melalui penyelesaian pemilikan rumah secara sewa beli (RTO), khusus bagi rumah yang baharu dilancarkan.

Menerusi skim ini yang ditawarkan dengan kerjasama Maybank Islamic Bhd (Maybank Islamic) ini membolehkan pembeli memilih unit rumah pertama mereka di lokasi diingini daripada hartanah yang baru dilancarkan, berbanding memilih unit rumah yang sudah siap dibina.

Untuk permulaan, skim terbabit menawarkan rumah bertanah yang baharu dilancarkan di Setia Alam dan Setia Ecohill 2 bagi dipilih pembeli rumah kali pertama dan pertama.

Antara syarat yang ditetapkan ialah

  • Eksklusif hanya untuk hartanah terpilih milik SP Setia Properties di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
  • Kena bayar deposit 3 bulan yang tak boleh dikembalikan.
  • Boleh sewa rumah SP Setia sehingga 5 tahun.

#2 Skim Smart Sewa Selangor

Dalam skim ini, terdapat 4 jenis hartanah yang ditawarkan:

  • Rumah Jenis A (Rumah Kos Rendah) yang layak dipohon oleh pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan tak lebih RM5,000.
  • Rumah Jenis B,C dan D yang layak dipohon oleh pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM15,000 ke bawah.

Anggaran kadar sewa bulanan adalah RM600 hingga RM800 bergantung kepada lokasi hartanah tersebut. Tempoh sewaan minimum adalah selama 2 tahun dan maksimum 5 tahun.

Sementara itu, sebanyak 30% pemulangan sewa akan diberikan sekiranya pemohon tak jadi membeli selepas tamat tempoh sewaan minimum.

Bagi syarat-syaratnya pula ialah:

  • Terbuka hanya kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, termasuk pasangan pemohon.
  • Salah seorang dari pasangan perlu bekerja/menetap kat Selangor.
  • Permohonan diberi keutamaan bagi yang belum memiliki kediaman di Selangor.
  • Pemohon adalah wajib seorang pengundi kat Selangor.

#3 Skim Pembiayaan Sewa Beli

Menerusi Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lepas, kerajaan akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki (Rent To Own – RTO).

Melalui skim ini, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30% atau RM3 bilion.

Skim RTO ini adalah untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500 ribu.

Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, mereka akan diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli.

Kelebihan Skim Sewa Beli

  1. Tidak perlu sediakan duit downpayment rumah
  2. Pengecualian/pengurangan duti setem
  3. Membeli rumah pada harga tahun mula sewaan (harga hartanah mungkin meningkat setiap tahun)
  4. Boleh mengenali terlebih dahulu kawasan tempat tinggal sebelum serius untuk membeli

Kekurangan Skim Sewa Beli

  1. Bayaran sewa yang agak tinggi berbanding sewaan biasa tanpa skim ini
  2. Semakin lama tempoh bayaran, semakin tinggi jumlah hutang

Kesimpulan

Memiliki rumah sememangnya impian setiap mereka yang sudah mula stabil dengan kerjaya dan kehidupan. Namun, perancangan yang menyeluruh perlu dilakukan bagi memilih lokasi rumah, jenis rumah dan harga rumah supaya keputusan ini tidak menjadi bebanan kewangan dan emosi kita semua.

Skim sewa beli ini mungkin menjadi pilihan sesetengah daripada kita berbanding skim pinjaman flexi bank. Pucuk-pangkalnya, terserah kita untuk merancang perbelanjaan dan pengurusan ekonomi dengan berhemah.

Rujukan

  1. https://loanstreet.com.my/ms/pusat-pembelajaran/beli-untuk-sewa-rto
  2. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2020-skim-pembiayaan-sewa-beli-rumah-akan-diperkenalkan-219831
  3. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2019/04/556791/setia-flexkey-bantu-miliki-rumah-secara-sewa-beli

 

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.