Menurut Forbes, setakat Februari 2019, Mark Cuban, pemilik Dallas Mavericks, dianggarkan mempunyai nilai kekayaan sebanyak $4.1 bilion. Walaupun kebanyakan hasil kekayaan beliau pada hari ini boleh dikaitkan dengan dua urus niaga yang beliau lakukan semasa zaman dot-com, beliau sememangnya ditakdirkan untuk menjadi usahawan.

Beliau telah melakukan pembelian, berdagang, menghasilkan keuntungan dan mencari jalan menuju kejayaan semenjak usia beliau masih muda. Artikel ini akan membawakan kepada anda tentang kisah bagaimana Mark Cuban menjadi kaya bermula daripada perniagaan pertama beliau sehinga ke hari ini.

Tahun 1980-an

Semasa mendapatkan pendidikan ijazah beliau di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Indiana di Bloomington, Indiana, Mark Cuban mendapatkan $15,000 untuk membeli sebuah bar. Seorang profesor di universiti tersebut menganggap langkah beliau adalah langkah yang berani dan mengakui bahawa beliau tidak pernah melihat seorang mahasiswa mahupun seorang pelajar MBA yang mempunyai perniagaan sendiri semasa masih belajar.

Cuban menggunakan kebijaksanaan beliau dalam perniagaan untuk menjadikan bar beliau sebuah bar pelajar yang paling berjaya di bandar tersebut. Selepas beliau menamatkan pengajian di universiti tersebut, beliau terus mencari peluang-peluang untuk menuju kejayaan.

Perniagaan pertama beliau selepas menamatkan pendidikan di universiti adalah MicroSolutions, sebuah syarikat komputer yang mana telah dijual oleh beliau selepas tujuh tahun kepada syarikat CompuServe pada tahun 1990 pada nilai bersih sebanyak $6 juta. Cuban memutuskan untuk menggunakan wang tersebut untuk bersara, dan selama lima tahun beliau telah menjalani kehidupan beliau sebagai seorang budak parti (party boy). Beliau juga membeli pas seumur hidup untuk American Airlines dan pergi terbang mengelilingi dunia dalam usaha untuk melawat seberapa banyak negara yang beliau boleh.

Tahun 1990-an

Lima tahun kemudian, persaraan Cuban berakhir dengan keinginan untuk mendengar permainan pasukan bola keranjang bekas universiti beliau. Justeru, bersama-sama dengan seorang rakan kongsi, beliau membangunkan AudioNet, yang tidak lama selepas itu berkembang untuk menjadi penyiar bukan sahaja permainan Hoosiers Indiana (pasukan bola keranjang bekas universiti beliau), namun beratus-ratus saluran sukan dan program radio, serta pelancaran produk dan pertunjukan fesyen.

Laman itu yang kemudiannya dinamakan semula kepada Broadcast.com, merupakan salah sebuah laman radio internet pertama di dunia dan apabila laman itu mendapat tawaran awam awalnya (initial public offering / IPO) pada tahun 1998, saham syarikat tersebut telah “terperangkap” dalam kegilaan dot-com lalu melonjak naik daripada $18 kepada $62.75 dalam satu hari.

Selepas itu, Broadcast.com diambil alih oleh Yahoo! dan kini Altaba, dan Cuban telah menerima $1.7 bilion dalam saham Yahoo!. Beliau telah meramalkan letusan gelembung dot-com (dot-com bubble burst) dengan tepat dan telah mula mengopsyenkan dan mencairkan saham Yahoo! beliau sebagai langkah untuk melindungi kekayaan beliau.

Tahun 2000-an

Pada permulaan milenium ini, sesetengah orang masih lagi memikirkan tentang kesilapan pemikiran mereka terhadap Y2K (Tahun 2000), namun Mark sedang dalam proses untuk menyempurnakan proses penjualan untuk pembelian terbesar diri beliau. Dengan jumlah yang amat banyak, iaitu $280 juta, Cuban telah menjadi pemilik utama Dallas Mavericks.

Pada waktu itu, pasukan tersebut dianggap pasukan tercorot dalam liga, namun pada tahun 2011, pengurusan Cuban telah membawa pasukan tersebut untuk memenangi liga NBA (Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan). Majalah Forbes melaporkan bahawa setakat Februari 2019, pasukan tersebut bernilai $2.25 bilion. Pembinaan kemudahan latihan baru yang bernilai $70 juta dijangka akan meningkatkan lagi nilai pasukan tersebut pada tahun-tahun yang akan datang.

Imej via CNBC

Pada bulan Januari 2018, Cuban mengesahkan bahawa Dallas Mavericks akan menerima Bitcoin dan matawang kripto yang lain sebagai bayaran untuk tiket-tiket bagi musim 2018-2019. Cuban merupakan seorang pengkritik hebat terhadap Bitcoin dan terkenal dengan memanggil Bitcoin sebagai satu gelembung (bubble) pada musim panas tahun 2017, namun terus melabur dalam matawang kripto tersebut pada tahun yang sama. Selain itu, Cuban terus memperluaskan peranan beliau dalam arena kripto, melabur dalam token yang ditawarkan oleh Unikrn, sebuah syarikat e-sukan baru yang beliau biayai dan menaja dana matawang kripto, 1confirmation.

Apabila tidak menonton pasukan beliau beraksi, Cuban menjalankan 2929 Entertainment, sebuah syarikat yang menghasilkan dan mengedarkan filem dan rancangan TV. Melalui syarikat ini, rekod beliau agak bercampur-aduk disebabkan sebahagian filem beliau adalah gagal. Namun begitu, terdapat juga filem yang menghasilkan wang. Sebagai contoh, filem yang diarahkan oleh George Clooney, “Good Night, And Good Luck”, mempunyai peruntukan penerbitan sebanyak $7 juta dan keuntungan sepanjang hayat sebanyak $54 juta.

Syarikat penerbitan beliau ini juga amat berguna apabila beliau memerlukan subjek atau kandungan untuk rantaian teater kebangsaan beliau, Landmark Theaters ataupun saluran TV satelit beliau, AXS TV (saluran pertama dalam versi HD). Cuban juga dikenali dengan masih lagi melabur dengan jumlah yang besar dalam pasaran saham, dan sekiranya kemahiran beliau masih lagi sehebat waktu beliau baru bermula dulu, pastinya beliau akan menghasilkan pulangan yang banyak.

Cuban juga merupakan seorang personaliti media yang produktif setelah membuat kemunculan di dalam pelbagai rancangan dan filem sepanjang tahun. Rancangan beliau yang paling terkenal adalah “Shark Tank”. Namun demikian, beliau juga telah membuat kemunculan di dalam “Dancing with The Stars”“Entourage” dan “Sharknado”. Kemunculan beliau ini bertujuan untuk menyumbang ke dalam kekayaan bersih beliau.

Pembabitan beliau telah meningkatkan populariti profil beliau, menarik ramai orang-orang penting dan pintar ke dalam linkungan pengaruh beliau. Orang-orang penting dan pintar ini membawa lebih banyak perniagaan untuk beliau, sama ada dalam bentuk pelaburan syarikat baru yang berpotensi ataupun peluang-peluang baru. Sebagai contoh, menurut ABC, Cuban telah melabur sebanyak $1.75 juta ke dalam syarikat kursus halangan (obstacle course)Rugged Maniac semasa penampilan mereka di dalam “Shark Tank”. Pada tahun 2018, satu kumpulan pelabur membeli 80% saham syarikat tersebut. Menurut Boston Globe, Cuban menjual saham beliau dengan dua kali ganda jumlah asal pelaburan beliau ke dalam syarikat tersebut.

Kesimpulan

Mark Cuban merupakan contoh hebat tentang seseorang yang meminati perniagaan dan mempunyai dedikasi untuk bangkit dan menjadi seorang individu yang berjaya. Sebagai tambahan kepada syarikat media dan pasukan bola keranjang beliau, beliau juga merupakan seorang pelabur dalam segala perkara, bermula daripada mangkuk tandas, laman-laman web pelaburan yang pelbagai kepada teknologi-teknologi sukan.

Cuban juga telah menulis sebuah buku dan sejak tahun 2012, beliau menjadi juri jemputan untuk rancangan TV yang terkenal, “Shark Tank”“Shark Tank” merupakan satu peluang yang besar kepada para juri jemputan untuk mendengar beratus-ratus cadangan perniagaan yang telah dikaji selidik setahun sekali, dan secara lansung memberikan peluang kepada juri-juri jemputan untuk melabur dan menguruskan perniagaan tersebut dari awal. Bagi seorang individu yang gemar mengembangkan perniagaan dan mencipta kekayaan, Mark Cuban telah menemui cara yang amat sempurna untuk mencapai tujuan beliau itu.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.