Tak nafikan dah ramai mencuba melabur di dalam pasaran saham. Namun ada juga yang agak takut untuk melabur. Dalam pemikiran mereka, nak melabur dalam saham mesti menggunakan modal yang besar. Sebenarnya ada cara nak labur saham modal kecil.
Ehh betul ke? Macam mana nak dapat untung besar jika modal kecil. Sebenarnya kita perlu ada ilmu untuk melabur saham ni.
Kalau tidak belajar dan punyai pengetahuan asas, jangan pula terburu-buru untuk terlibat sama. Tak perlu sekadar terikut-ikut dengan orang lain yang dah lama melabur.
Bakal pelabur baru, anda dinasihatkan untuk belajar dulu perkara-perkara asas berkenaan pelaburan saham sebelum mula melabur. Kenal tahu istilah-istilah yang digunakan dan fahamkan maksudnya.
Belajar tentang cara jual beli saham dan bagaimana kenal pasti kaunter-kaunter berpotensi.
Dalam sesuatu pelaburan, apa yang pasti adalah rugi, untung belum tentu. Lebih-lebih lagi bagi pelaburan yang agak berisiko seperti pelaburan saham.
Oleh itu, bagi pelabur baru yang baru nak mula pelaburan saham, digalakkan supaya sediakan modal yang mampu dan rendah untuk bermula.
Ada yang tidak tahu, dan mungkin kekurangan info bahawa untuk melabur di dalam pasaran saham, anda boleh bermula dengan modal serendah RM100 sahaja. Ini boleh kira modal paling minima untuk memulakan satu pelaburan dalam pasaran saham di Malaysia.
Bagaimana tu?
Ramai ingat, nak melabur dalam pasaran saham terutama di Bursa Malaysia perlu ada modal besar, dan kena ada banyak duit. Sedangkan hakikatnya ada saham-saham syarikat besar yang berpotensi dapat untung menjual.
Mereka menyediakan saham dengan harga serendah RM1.00 seunit. bermaksud anda boleh beli 100 lot saham dengan nilai RM100 satu lot. Syarat wajib ketika membeli saham sesuatu syarikat, minima yang perlu dibeli hanyalah 1 lot, bersamaan dengan 100 unit.
Walau berapa sedikit atau banyak modal yang anda ada, paling penting modal tersebut adalah modal yang anda sanggup rugi 100%.
Gunakan sebahagian duit simpanan untuk mula melabur saham. Bila pelabur mengalami kerugian dalam urusan jual beli saham, situasi itu tidak bermaksud individu itu telah gagal menjadi seorang pelabur.
Rugi atas kertas itu pasti berlaku. Itu adalah lumrah. Apa yang penting ialah masa tengah rugi itu kita tahu nak buat apa. Sebenarnya, modal pelaburan saham bergantung kepada banyak perkara yang perlu anda tahu.
Perlu diketahui bahawa setiap kaunter saham punyai harga beli tersendiri, yang boleh berubah setiap masa pada waktu dagangan.
Pemilihan kaunter adalah penting. Bayangkan anda menjalankan suatu perniagaan, tapi anda tak tahu pun kekuatan produk anda, apa sifat-sifat atau tabiat produk anda. Perniagaan tersebut sudah pasti sukar mencapai kejayaan.
Setiap kaunter saham ada sifat dan tabiatnya.
Harga beli, atau harga bidaan, bermaksud harga tertinggi yang ditawarkan untuk membeli sesuatu kaunter saham.
Pada setiap masa dagangan, ada banyak harga bidaan yang diletakkan ke atas sesuatu kaunter, tetapi yang dipaparkan adalah harga beli yang paling tinggi.
Oleh yang demikian, jika anda nak beli kaunter tersebut, anda boleh tawarkan harga beli yang lebih rendah atau tinggi, atau sama dengan yang dipaparkan.
Memahami sifat dan tabiat kaunter memerlukan kepada pengetahuan. Pengetahuan inilah yang akan membantu kita membuat pemilihan kaunter. Kaunter yang sesuai dengan modal kecil hakikatnya bergantung kepada jangka masa pelaburan anda.
Selain daripada harga beli, akan dipaparkan juga harga jual.
Harga jual adalah harga terendah untuk menjual sesuatu saham, dan kebiasaannya adalah lebih tinggi daripada harga beli. Jika anda terus nak dapatkan sesuatu kaunter saham, boleh tawarkan harga beli pada harga jual.
Sesuatu kaunter saham perlu dibeli dalam bilangan lot; pembelian minimum mestilah 1 lot.
1 lot adalah bersamaan 100 unit, jadi pembelian minimum bagi sesuatu kaunter mestilah 100 unit.
Jika modal anda di bawah RM1,000 maka anda mampu untuk membeli 1000 unit saham tersebut.
Contoh: RM0.80 x 1000 unit = RM800
Tetapi, apabila beli kaunter saham, sudah semestinya tidak dibeli pada kuantiti minimum sahaja.
Jadi, semakin tinggi kuantiti lot atau unit yang ingin dibeli, semakin tinggi modal pelaburan saham yang diperlukan.
Seperti membeli rumah, terdapat beberapa kos lain yang terlibat bagi melengkapkan transaksi pembelian saham.
Kos-kos lain yang terlibat adalah brokerage fee, clearing fees dan duti setem.
Caj brokeraj dikenakan ke atas setiap transaksi jual beli saham, dan merupakan bayaran yang dikenakan oleh syarikat broker atas perkhidmatan mereka menguruskan transaksi jual beli saham tersebut.
Kadarnya boleh jadi berbeza atau sama antara setiap syarikat broker. Kadarnya juga berbeza antara transaksi manual dan online; jika anda minta bantuan remisier/dealer lakukan transaksi secara manual, maka kadarnya adalah berbeza berbanding jika anda buat sendiri transaksi melalui online trading platform.
0.42% (Minimum RM12. Contoh 0.42% adalah contoh fee RHB Investment Bank)
RM800 x 0.0042 = RM3.36
Namun RM3.36 tidak melepasi caj minimum RM12, maka fee yang dikenakan adalah RM12 (Min caj bergantung kepada Broker).
Caj kedua yang perlu dibayar bagi setiap transaksi jual beli saham adalah caj penjelasan, yang mana dibayar kepada Bursa Malaysia atas perkhidmatan mereka menyediakan platform jual beli saham.
Buat masa sekarang, kadarnya adalah 0.03% daripada nilai transaksi.
0.03% (Maksimum RM200)
RM800 x 0.0003 = RM0.24
Jumlah clearing fee = RM0.24
Caj yang dikenakan oleh Bursa Malaysia untuk setiap transaksi jual beli saham untuk dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Suratcara pindahmilik saham). RM1 akan dikenakan bagi setiap transaksi bernilai RM1,000. (Maksimum RM200)
Bagi contoh ini, caj duti setem yang dikenakan adalah RM1.
Jumlah bayaran sebenar yang perlu dibuat:
RM800 + RM12.20 + RM0.24 + RM1 = RM813.44
Kalau beli kaunter saham berharga tinggi atau dalam kuantiti yang banyak, sudah semestinya jumlah modal yang tinggi diperlukan.
Sebaliknya, kalau beli kaunter berharga rendah atau dalam kuantiti sederhana, modal yang diperlukan masih lagi dalam kemampuan kita sebagai pelabur runcit biasa.
Tetapi, harus diketahui, tinggi atau rendah nilai harga sesuatu kaunter itu tidak menggambarkan ‘kualiti’ kaunter tersebut.
Mesti ramai di luar sana suka mendapat untung cepat serta besar tetapi tidak sanggup mengeluarkan modal yang besar. Melabur dalam pelaburan saham perlu realistik. Pulangan dan keuntungan bergantung kepada modal serta tempoh pegangan anda. Kalau tak berani perlu labur saham modal kecil dahulu.
Sebab itu, pentingnya melabur sejak dari awal. Carilah ilmu pelaburan terlebih dahulu.