Tertanya-tanya apakah kualiti pekerja yang digemari majikan?
Bekerja di sesebuah syarikat merupakan satu perkara yang agak mencabar. Tambahan pula, bila majikan anda merupakan seorang yang garang atau cerewet. Pasti susah untuk anda mengambil hatinya.
Perlu ke nak mengambil hati majikan? Semestinya ya! Ini bukan sahaja akan mewujudkan hubungan majikan-pekerja yang baik, malah anda juga akan mendapat manfaatnya sebagai pekerja.
Jadi, apakah kualiti pekerja yang digemari majikan yang wajib anda ketahui? Berikut kami senaraikan 10 kualiti beserta pantang-larangnya buat anda. Teruskan membaca!
Tidak suka dengan idea yang dibentangkan oleh majikan? Kurang menggemari progres yang ingin dibuat? Tidak mengapa, berterus-terang sahaja dengan majikan anda.
Namun, perlu diingatkan yang dalam anda berterus-terang, anda harus sedar ada batasnya. Misalnya, ketika memberikan mendapat, gunakan bahasa yang sopan dalam menyatakan hujah anda.
Apabila anda berterus-terang, mungkin majikan akan lihat yang anda seorang yang lantang. Namun, mereka akan fikirkan pendapat anda dan jika mereka besetuju, pasti ianya akan memberi manfaat kepada anda sebagai pekerja.
Mood kita sebagai pekerja pun boleh berubah-ubah. Namun, seboleh-bolehnya jika anda berhadapan dengan majikan, cuba tunjukkan kepada mereka yang mood anda sedang baik.
Mood yang tidak baik akan membuatkan orang sekeliling kita tidak senang duduk. Ianya juga akan membuatkan mood mereka turut sama menjadi tidak baik.
Mood yang baik di sini tidaklah bermaksud anda perlu berjenaka dan ketawa sekuat-kuatnya. Ianya lebih kepada memberi senyuman dan menjaga intonasi ketika berinteraksi dengan majikan dan rakan sekerja yang lain.
Pekerja yang jujur dan berterus terang memang disukai oleh mana-mana majikan. Namun, jika anda melampaui batas, misalnya anda memilih untuk menjadi kaki report, majikan pasti akan rimas dengan anda.
Nak mengadu pun ada caranya. Usulkan aduan anda dengan penuh profesional. Contohnya, jika ada sebarang aktiviti mencurigakan yang dilakukan oleh rakan sekerja, selidik terlebih dahulu.
Bila sudah cukup buktinya, barulah anda beritahu kepada majikan tentangnya. Serapat mana pun hubungan anda dengan majikan, mengadu domba tidak seharusnya diamalkan.
Hubungan yang profesional memang perlu diamalkan antara pekerja dan majikan. Namun, janganlah sampaikan anda dianggap sombong oleh majikan.
Jika anda terjumpa majikan di mana-mana tempat, rajinkan diri untuk bertegur sapa. Tanya khabar mereka dan elakkan daripada bercerita tentang permasalahan pejabat pula.
Di tempat kerja, cubalah senyum kepada majikan jika tersempak di pejabat. Kongsikan progres kerja yang anda lakukan dan amalkan budi bahasa yang baik dalam berinteraksi dengan majikan.
Sama seperti di sekolah mahupun di universiti, kualiti rajin bertanya ini perlu dipupuk dalam diri anda sebagai pekerja. Tambahan pula jika anda baru sahaja bekerja di syarikat tersebut.
Mungkin anda merasakan yang majikan akan berasa rimas, namun ianya tidak seperti yang disangka. Mereka akan memandang anda sebagai pekerja yang rajin dalam mempelajari perkara yang baharu.
Namun, elakkan daripada bertanya soalan-soalan yang kurang bijak. Tanyakan soalan yang penting dan berkaitan dengan skop kerja anda sahaja. Barulah majikan senang hati!
Kualiti ini pasti merupakan antara kualiti yang paling disukai oleh mana-mana majikan. Bila kerja anda disiapkan pada waktu yang tepat atau awal dari tarikh luputnya, pasti anda akan dipandang sebagai pekerja yang rajin.
Maksudnya, majikan tidak perlu menyergah anda untuk menghantar kerja anda. Jadi, elakkan daripada menangguh kerja walaupun ianya dilihat sikit di mata anda.
Lambakan kerja yang ditangguh bukan sahaja akan membuatkan majikan stres, malah anda sendiri akan stres untuk menyiapkannya. Akibatnya, nama baik anda sebagai pekerja turut akan tercalar.
Ditegur oleh majikan sendiri, tambahan pula di khalayak ramai, pasti akan membuatkan anda berasa malu atau kecewa. Tambahan pula, ayat majikan anda tidak ditapis sama sekali.
Namun, janganlah memandang kritikan sebagai satu perkara yang buruk. Ambil iktibar dari kekurangan yang ditegur, dan cuba untuk perbaikinya.
Jika anda memberontak di hadapan majikan dan enggan menerima tegurannya, ini akan membuatkan hubungan anda bersama majikan menjadi lebih parah. Jadi, terimalah kritikan dengan hati yang terbuka ya!
Mungkin perihal datang awal ini dipandang enteng oleh sesetengah pekerja. Tambahan pula, jika majikan mereka sendiri gemar datang lewat ke pejabat.
Ini bukan tiket percuma untuk anda datang lewat juga ya! Sebagai pekerja, anda harus akur dan memahami yang ada sesetengah majikan memang akan berkelakuan sedemikian.
Jadi, didiklah diri anda untuk menjadi pekerja yang menepati masa. Ini bukan sahaja akan membuat majikan anda kagum, malah ianya juga akan meningkatkan produktiviti anda!
Semaju mana pun sesebuah syarikat, mereka pasti tidak akan lari dari permasalahan. Baik dari segi teknikal mahupun kewangan, isu sebegitu pasti akan wujud.
Jadi, anda sebagai pekerja seharusnya menjadi pekerja yang berfikiran kritis. Daripada menambah permasalahan, lebih baik anda fikirkan penyelesaian.
Dalam situasi yang genting, anda seharusnya memikirkan jalan penyelesaian yang sesuai. Setelah dijumpai, usulkannya kepada majikan anda. Percayalah, majikan anda pasti akan menghargai pertolongan anda!
Pekerja yang komited merupakan pekerja yang paling digemari oleh setiap majikan. Walaupun baru sahaja bekerja, ia tidak bermaksud yang anda tidak perlu menunjukkan minat.
Malah, pekerja yang barulah yang seharusnya menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan mereka. Jika majikan anda nampak yang anda seorang yang komited, mereka akan memandang tinggi kepada anda.
Bukan itu sahaja, komitmen yang anda berikan juga dapat memberikan manfaat kepada anda, kerana anda akan belajar tentang skop pekerjaan anda dengan lebih mudah.
Kami yakin yang semangat anda pasti berkobar-kobar setelah membaca artikel ini, bukan? Tambahan pula jika anda baru sahaja bekerja di sesebuah syarikat. Mengambil hati majikan bukanlah satu perkara yang mudah!
Jadi, kami berharap agar artikel kualiti pekerja yang digemari majikan ini dapat memberi manfaat kepada anda. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial!
1. https://www.bmeaningful.com/blog/2018/05/how-to-be-the-best-employee/