Kos barangan jualan atau “Cost of Goods Sold (COGS)”, merujuk kepada kos-kos atau perbelanjaan lansung yang ditanggung dalam pengeluaran barangan jualan oleh sesebuah syarikat. Kos barangan jualan merangkumi kos bahan-bahan dan kos tenaga kerja. Perbelanjaan tidak lansung seperti kos-kos pengedaran dan kos-kos bahagian jualan (sales force) adalah bukan sebahagian daripada kos barangan jualan.

Selain itu, kos barangan jualan wujud dalam penyata pendapatan dan boleh ditolak daripada hasil atau perolehan untuk mengira margin kasar sesebuah syarikat. Kos barangan jualan atau COGS juga turut dikenali sebagai kos jualan, (cost of sales).

Kos barangan jualan terdiri daripada kos-kos yang digunakan untuk menghasilkan produk yang dijual oleh sesebuah syarikat. Oleh itu, kos-kos yang termasuk di dalam kos barangan jualan hanyalah kos-kos yang mana terikat secara lansung kepada penghasilan atau pengeluaran produk.

Sebagai contoh, kos barangan jualan untuk sebuah syarikat pembuat kereta akan merangkumi kos bahan untuk bahagian-bahagian kereta yang digunakan untuk membuat kereta dan juga kos tenaga kerja yang diperlukan untuk pemasangan kereta. Namun, kos penghantaran kereta kepada pengedar dan juga kos tenaga kerja untuk menjual kereta adalah tidak termasuk di dalam kos barangan jualan.

Kos barangan jualan adalah berbeza-beza di antara satu syarikat dengan syarikat yang lain. Kos barangan jualan juga boleh dianggap sebagai perbelanjaan. Terdapat beberapa cara untuk mengira kos barangan jualan. Salah satu cara paling asas adalah dengan mengira inventori permulaan pada satu tempoh masa dan ditambah dengan jumlah pembelian yang dilakukan untuk tempoh tersebut dan ditolak dengan inventori akhir.

Cara ini akan memberikan jumlah keseluruhan inventori, terutamanya kos inventori yang dijual oleh syarikat semasa tempoh tersebut.

Sekiranya sesebuah syarikat bermula dengan RM10 juta di dalam inventori, dan membuat pembelian sebanyak RM2 juta dan inventori pada hujung tempoh tersebut adalah sebanyak RM9 juta, maka kos barangan jualan syarikat tersebut adalah RM3 juta iaitu (RM10 juta + RM2 juta – RM9 juta).

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.