Apabila memasuki usia 40 hingga 60 tahun, ramai di antara kita mula fokus kepada persaraan dan kestabilan kewangan. Namun begitu, usia ini juga sering menjadi tempoh kritikal di mana kesilapan urus wang boleh memberi impak besar pada masa depan.
Bagi memastikan kehidupan anda lebih terjamin, jangan buat kesilapan urus wang ini apabila usia 40 tahun ke atas. Berikut adalah kesilapan besar urus wang yang perlu anda elak pada fasa ini.
Ramai yang menangguhkan perancangan persaraan dengan alasan masih ada masa. Namun, masa sebenarnya bergerak pantas. Jika tiada dana persaraan yang mencukupi, anda mungkin menghadapi kesulitan kewangan apabila tidak lagi mampu bekerja.
Bermula dari sekarang lagi, anda perlu buat tabungan persaraan. Buat seawal mungkin, walaupun dalam jumlah yang kecil. Anda boleh gunakan platform pelaburan seperti KWSP, PRS (Private Retirement Scheme), atau pelaburan hartanah untuk memastikan aliran pendapatan semasa persaraan.
Hutang seperti pinjaman rumah, kad kredit, atau pembiayaan peribadi yang tidak dikawal boleh memberi tekanan kewangan. Pada usia ini, anda seharusnya berusaha untuk mengurangkan beban hutang, bukan menambahnya.
Apa yang perlu dibuat adalah fokus untuk langsaikan hutang dengan kadar faedah tinggi terlebih dahulu. Juga elak menggunakan kad kredit untuk pembelian yang tidak perlu.
Ramai individu dalam lingkungan umur 40 hingga 60-an cenderung mengabaikan kepentingan simpanan kecemasan kerana yakin dengan pendapatan bulanan. Namun, situasi kecemasan seperti kehilangan kerja atau masalah kesihatan boleh berlaku tanpa amaran.
Walau apapun terjadi, berusahalah untuk mempunyai panan kecemasan sekurang-kurangnya 6 bulan gaji. Jangan gunakan simpanan kecemasan untuk perkara yang bukan keperluan.
Sedar tak sedar, keinginan untuk cepat kaya kadang-kadang mendorong individu melabur dalam skim cepat kaya atau instrumen pelaburan berisiko tinggi. Kesilapan ini boleh menyebabkan kehilangan wang yang besar.
Ramai tak peka akan risiko setiap pelaburan. Anda perlu lakukan kajian sebelum melabur dan elakkan skim yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal. Dapatkan juga nasihat daripada perancang kewangan yang berdaftar.
Kesihatan sering menjadi cabaran utama apabila usia meningkat tambah-tambah lagi bila umur 40-an ke atas. Kos perubatan yang tinggi boleh membebankan kewangan jika anda tidak mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi.
Anda perlu ada polisi insurans kesihatan, hayat dan penyakit kritikal yang sesuai dengan keperluan. Bukan itu sahaja, semak semula perlindungan anda secara berkala untuk memastikan ia relevan dengan kos semasa.
Sebagai ibu bapa, adalah normal untuk ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Namun, terlalu fokus kepada perbelanjaan anak-anak seperti pendidikan tinggi atau majlis perkahwinan boleh menyebabkan anda mengabaikan keperluan kewangan sendiri.
Ini adalah salah satu kesilapan urus wang yang perlu anda elakkan. Tetapkan bajet untuk perbelanjaan anak-anak tanpa mengorbankan dana persaraan anda. Ambil peluang untuk didik anak-anak tentang pengurusan kewangan supaya mereka lebih berdikari.
Ramai yang menganggap perancangan harta pusaka hanya untuk orang kaya. Hakikatnya, tanpa perancangan yang jelas, harta yang anda tinggalkan boleh menjadi punca pertelingkahan keluarga.
Jangan buat kesilapan itu pada usia 40-an ini. Sebaliknya, anda perlu sediakan wasiat untuk memastikan pembahagian harta mengikut kehendak anda. Pertimbangkan hibah atau amanah untuk melindungi aset keluarga.
Pada usia ini, kehilangan pekerjaan atau penurunan pendapatan boleh menjadi cabaran besar jika anda hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan. Ini kesilapan ramai orang terlepas pandang sejak usia muda lagi.
Dari sekarang, anda perlu cipta aliran pendapatan tambahan seperti pelaburan, bisnes kecil, atau kerja sambilan. Anda juga boleh pertimbangkan pelaburan pasif seperti hartanah sewa atau dividen saham.
Apabila pendapatan meningkat, ramai yang terjebak dalam lifestyle inflation di mana gaya hidup mereka juga meningkat. Akhirnya, perbelanjaan bertambah, tetapi simpanan kekal sama.
Sampai bila nak struggle dengan gaya hidup yang sentiasa meningkat dan ikut trend sahaja? Tak salah amalkan gaya hidup sederhana walaupun pendapatan meningkat. Pada usia ini, anda perlu lebih bijak berbelanja dan urus wang!
Kesilapan urus wang sering berlaku kerana kurangnya pengetahuan tentang pengurusan kewangan. Jika anda abaikan pendidikan kewangan, anda tidak akan tahu bagaimana untuk menyimpan, melabur, atau mengurus hutang dengan berkesan.
Sebaiknya, anda boleh menambah ilmu dengan membaca buku, sertai seminar atau ikuti kursus tentang pengurusan kewangan. Jika ada peluang, dapatkan nasihat dari perancang kewangan atau mereka yang pakar.
Kesilapan urus wang pada usia 40 hingga 60 tahun boleh memberi kesan besar kepada masa depan kewangan anda, terutama apabila menghampiri usia persaraan.
Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, anda perlu elakkan kesilapan ini. Penting untuk anda pastikan kestabilan kewangan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Jemput baca artikel berikut:
12 Aplikasi Buat Duit Dan Extra Income
Umur 30 tiada simpanan? Buat ini segera.
Beli kereta atau rumah? Mana satu dulu