Ingin mengetahui kerjaya bidang seni yang boleh diceburi?
Bidang seni merupakan antara bidang kerjaya yang paling penting di negara kita. Sedar atau tidak, kemahiran seseorang pereka grafik sememangnya memberikan sumbangan yang besar pada negara.
Bidang seni ini ada berbagai cabang. Bidang seni visual, reka bentuk grafik, reka bentuk fesyen dan seni halus merupakan antara cabangnya. Jadi, prospek kerjaya bidang ini semestinya ada berbagai.
Jadi, jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kerjaya dalam bidang ini, berikut kami senaraikan 8 kerjaya bidang seni buat anda. Teruskan membaca ya!
Fesyen merupakan salah satu cabang dalam bidang seni juga. Ianya termasuk dalam bidang reka bentuk fesyen, yang mengaplikasikan idea pada sesuatu rekaan pakaian atau aksesori.
Antara peranan utama seseorang pereka fesyen ialah menghasilkan lakaran reka bentuk fesyen untuk pakaian yang akan disiapkan. Mereka akan melakukannya secara manual atau menggunakan peranti atau aplikasi.
Bidang fesyen merupakan antara bidang yang banyak sumbangannya kepada negara. Jadi, ianya tidak seharusnya dipandang remeh kerana rekaan yang bagus mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Reka bentuk grafik adalah proses komunikasi visual dan penyelesaian masalah melalui penggunaan tipografi, fotografi, dan ilustrasi. Pereka grafik merupakan kerjaya yang paling popular untuk cabang ini.
Pereka grafik membuat konsep visual dengan menggunakan perisian komputer atau secara manual untuk menyampaikan idea yang memberi inspirasi dan memikat pengguna.
Mereka akan bertemu dengan pelanggan atau pengarah seni untuk menentukan skop sesuatu projek, menentukan mesej reka bentuk yang patut digambarkan dan seterusnya, mereka bentuk grafik yang sesuai.
Bidang hiasan dalaman merupakan proses yang menjadikan ruang dalaman untuk menjadi suasana yang berkesan dan sesuai untuk sesuatu kegiatan atau fungsi. Kerjaya pereka hiasan dalaman merupakan kerjaya utamanya.
Pereka dalaman adalah indvidu yang bekerja di ruang susun atur bangunan. Mereka akan menyelesaikan masalah teknikal seperti lampu, bunyi, dan suhu (saluran udara) bagi menjamin keselesaan pengguna ruang tersebut.
Mereka bertanggungjawab untuk mewujudkan ruang dalaman yang selesa, selamat, dan cantik dengan menentukan keperluan ruang. Pereka dalaman akan menghias ruang dalaman berdasarkan warna, pencahayaan, dan bahan.
Ramai pengguna yang keliru dengan dua kerjaya ini – jurureka web dan perekabentuk laman web. Walaupun pada dasarnya kelihatan sama, namun tugas mereka berbeza.
Seorang pereka web adalah seorang pereka grafik yang mereka bentuk laman web manakala jurureka web akan membangunkan aplikasi dan fungsi untuk laman web.
Pada peringkat awal, perekabentuk laman web akan mengadakan perjumpaan dengan klien untuk membincangkan tentang fungsi dan konsep laman web yang diidamkan. Seterusnya, mereka akan menyiapan laman web tersebut.
Setelah melancarkan laman web klien, sebarang penambahbaikan boleh dilakukan sekiranya terdapat sebarang kekurangan yang ingin dibaiki. Hal ini bagi memastikan ianya menepati kehendak klien.
Jurugambar merupakan individu yang sentiasa bekerja dengan kebanyakan kerjaya yang kami senaraikan ini. Jelas menunjukkan yang mereka memainkan peranan yang penting dalam bidang seni.
Menggunakan kemahiran teknikal mereka, jurufoto akan mengambil gambar klien, tempat, peristiwa dan objek. Mereka bertanggungjawab untuk menyunting foto mereka untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Seseorang jurugambar itu layak digelar sebagai seniman kerana hasil karya mereka dihargai sebagai artis visual. Hasil karya mereka juga digunakan untuk sesebuah organisasi atau syarikat tertentu untuk tujuan komersial.
Rancangan kartun mungkin tidak akan wujud tanpa adanya kerjaya ini – juruanimasi. Juruanimasi akan mencipta pelbagai imej, yang dikenali sebagai frame, yang memberikan ilusi gerakan (animasi) apabila dipamerkan dalam urutan cepat.
Bukan rancangan kartun sahaja, malah juruanimasi juga boleh bekerja dalam pelbagai bidang termasuk filem, televisyen dan permainan video. Proses menghasilkan animasi bukanlah semudah yang disangka.
Jadi, kemahiran dan kepakaran seseorang juruanimasi memang sangat diperlukan. Selain itu, ketelitian mereka juga amat dititikberatkan kerana animasi sememangnya memerlukan kesempurnaan untuk dihasilkan.
Tidak salah jika anda ingin menukar hobi anda yang suka melukis kepada satu kerjaya. Pasti lebih menarik jika anda dapat menceburkan diri dalam bidang kerjaya yang digemari.
Ada beberapa jenis produk yang dapat dihasilkan jika anda memilih pelukis sebagai kerjaya. Anda boleh melukis potret yang menjadikan manusia, bangunan atau objek sebagai rujukan.
Selain itu, anda juga boleh menjadi pelukis komik. Sama ada secara bebas atau untuk sesebuah organisasi, terpulang kepada anda. Hasil kerja anda juga boleh digunakan untuk diterbitkan di televisyen, sangat lumayan!
Lebih gemar untuk mengajar? Pilih sahaja kerjaya guru sebagai kerjaya anda. Anda dapat mengajar subjek seperti Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
Walaupun subjek tersebut bukan subjek teras, ianya amat penting untuk dipelajari kerana ianya merupakan subjek asas untuk bidang seni. Jadi, kerjaya seorang guru seni tidak seharusnya dipandang remeh.
Bukan guru di sekolah sahaja. Malah, anda juga boleh mengadakan kelas untuk seni kraftangan atau lukisan. Anda akan mengajarkan individu yang mendaftarkan diri ke kelas anda mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Bagaimana? Sudah jumpa kerjaya bidang seni yang ingin anda ceburi? Setiap kerjaya yang kami senaraikan ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba salah satu daripadanya.
Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang anda berminat. Jangan lupa kongsikan di sosial media dan kepada rakan-rakan!
1. http://gurusenivisual.blogspot.com/p/rekabentuk.html
2. http://cic.jobsmalaysia.gov.my/html/kerjaya1.php?bidang=6