Tertanya-tanya kerjaya bidang geografi apa yang boleh diceburi?

Sebut sahaja tentang geografi, pasti anda teringatkan subjek Geografi yang pernah anda belajar semasa zaman sekolah, bukan?

Seperti bidang sains, seni, bahasa dan akaun, bidang geografi juga ada kerjayanya yang tersendiri. Itu pun tidak terhad kepada guru geografi sahaja, ada banyak lagi!

kerjaya bidang geografi

Imej via iLabur

Bagi yang tertanya-tanya, berikut kami senaraikan peluang kerjaya dalam bidang geografi yang boleh anda ketahui. Teruskan membaca!

#1 Ahli Kartografi

Pernah terdengar tentang kartografi? Kartografi merupakan kajian atau amalan untuk menyediakan peta geografi. Bagi graduan bidang Geografi, nama kajian ini pasti sudah tidak asing lagi buat anda.

Jenis peta yang disediakan juga tidak terhad kepada peta sesuatu bandar sahaja. Khidmat bidang ini juga sangat diperlukan dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah ukur tanah, perancangan bandar dan ketenteraan.

Pendek kata, bidang kartografi ini merupakan gabungan bidang geografi dan teknologi yang sangat diperlukan pada zaman kini. Ketelitian dan kesabaran yang tinggi juga amat diperlukan bagi memastikan hasil pemetaan yang dilakukan tepat.

#2 Perancang Bandar

Perancang bandar memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah wilayah. Aspek-aspek seperti pembangunan landskap dan keperluan kemudahan awam merupakan di bawah tanggungjawabnya.

Antara tugas utama seseorang perancang bandar ialah  menentukan keperluan kemudahan-kemudahan awam dan riadah penduduk sesuatu kawasan selaras dengan kehendak dan permintaan penduduk serta mengawal dan merancang pembangunan landskap.

Pekerjaan ini juga memerlukan anda untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak seperti pemilik hartanah, pemaju, dan pegawai-pegawai lain.

#3 Juruukur

Juruukur merupakan kerjaya yang memerlukan seseorang itu untuk mengukur kawasan tanah untuk tujuan pemetaan. Ketelitian seseorang individu amatlah dititikberatkan jika anda berminat untuk menjadi seorang juruukur.

Antara tugas utama juruukur ialah mengukur tanah yang hendak disimpan untuk kegunaan awam. Hal ini penting kerana dikhuatiri berlakunya pertindihan lot tanah.

#4 Penganalisa GIS

GIS atau Sistem Maklumat Geografi ialah sistem yang digunakan untuk menganalisis data berkaitan geografi. Sistem ini merupakan sistem yang paling popular dalam bidang ini, dan digunakan secara meluas untuk tujuan pekerjaan dan kajian.

GIS digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perancangan, pengurusan, pengangkutan, logistik, insurans, telekomunikasi, dan urusniaga. Untuk itu, pakar atau penganalisis GIS sangat diperlukan.

#5 Pendidik

Sama ada memilih untuk menjadi guru untuk subjek Geografi atau pensyarah di kolej atau universiti, kedua-duanya ada manfaat yang tersendiri. Kelayakan untuk setiap pendidik juga berbeza, namun diploma dan ijazah sarjana muda merupakan antara kelayakan terhangat.

Walaupun kerjaya guru bukanlah senang untuk diceburi, namun guru untuk subjek Geografi bukan senang untuk ditemukan. Tambahan pula jika anda pakar, pasti khidmat anda diperlukan di institusi pendidikan.

#6 Penganalisis Jenayah

Ya, jangan terkejut jika kami katakan yang penganalisis jenayah juga merupakan kerjaya dalam bidang geografi yang boleh anda ceburi. Kepakaran kerjaya ini memang sangat diperlukan dalam sektor pertahanan negara.

Hal ini kerana teknologi GIS merupakan kaedah yang digunakan oleh penganalisa jenayah untuk menentukan lokasi yang mengandungi kadar jenayah yang tinggi. Jadi, ini akan membantu pihak-pihak yang melakukan siasatan jenayah untuk bekerja dengan lebih efisien.

#7 Ahli Fotogrametri

Fotogrametri ialah satu kaedah sains anggaran yang memulihkan kedudukan tepat dan laluan pergerakan bagi titik rujukan terdesignasi yang terletak pada mana-mana objek bergerak.

Ahli fotogrametri ini berkait rapat dengan ahli kartografi, kerana pekerjaan mereka melibatkan pembuatan peta. Bezanya, mereka menggunakan satelit dan kamera udara untuk mengambil data berkaitan tanah.

Selain itu, tugas utama ahli fotogrametri yang lain termasuklah memeriksa data kawasan dan membantu melakukan analisis data.

#8 Ahli Klimatologi

Klimatologi merupakan salah satu cabang dalam bidang geografi yang mengkhususkan kajian tentang iklim. Ramalan cuaca yang sering kita lihat di berita, itulah salah satu tugas ahli klimatologi.

Selain itu, tugas lain bagi kerjaya ini ialah menganalisa ramalan untuk bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami dan menggunakan model komputer untuk membuat ramalan.

#9 Demografer

Demografi adalah kajian statistik penduduk, terutama manusia. Demografi merangkumi kajian tentang saiz, struktur, dan pengedaran populasi ini, dan perubahan ruang atau temporal di dalamnya sebagai tindak balas kepada kelahiran, penghijrahan, penuaan, dan kematian.
Jika anda berminat untuk menkaji atau mempelajari tentang statistik dan komposisi penduduk di sesebuah kawasan, kerjaya demografer ini pasti cocok dengan anda. Kemahiran matematik yang tinggi juga antara yang amat dititikberatkan bagi kerjaya ini.

#10 Saintis Tanah

Saintis ada berbagai jenis cabang, dan saintis tanah merupakan antara kerjaya saintis yang boleh anda ceburi. Tambahan pula jika anda berminat dengan bidang Geografi dan Sains, pasti ianya kena dengan jiwa anda!

Tugas utama saintis tanah ialah memastikan kualiti tanah sesuatu kawasan untuk sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan dijaga dengan rapi. Hal ini demikian kerana kos membaik pulih tanah yang rosak tidaklah murah.

#11 Arkitek Landskap

Walaupun bidang ini majornya ialah ‘arkitek’, ianya juga berkait rapat dengan bidang Geografi. Cukup sesuai diceburi jika anda berminat dengan kedua-dua bidang tersebut.

Peranan utama seorang arkitek landskap ialah mewujudkan konsep pembangunan dan perancangan pelan induk berdasarkan kepada faktor-faktor alam sekitar serta sumber-sumber landskap sesuatu kawasan.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa kerjaya bidang geografi yang ingin anda ceburi? Setiap kerjaya ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba.

Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang kami senaraikan ini. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan ya!

Rujukan

1. https://ms.lifehackk.com/70-geography-jobs-and-careers-1434398-9683

2. http://geosmkeonline.blogspot.com/2009/08/kerjaya-dalam-bidang-geografi.html

Copy

Penulis: hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.