Pernah tak anda tiba-tiba dihubungi sahabat lama yang dah lama tak dengar khabar berita?

Boleh berdebar-debar, kan? Sama ada nak pinjam duit, atau nak jual takaful lah tu?!

Tenang, jangan selalu bersangka buruk dengan mereka yang memilih kerjaya sebagai agen takaful. Asalkan pekerjaan itu halal, dan tidak menyebabkan kita kerugian, apa kata kita sokong mereka dari segi moral, jika kita tidak mahu membeli insuran yang ditawarkan mereka sekalipun.

Terlebih dahulu, jom kenali,

Siapa itu agen takaful?

Agen takaful bukan sahaja pihak yang bertanggungjawab mengiklankan pakej takaful dan menerangkannya kepada orang ramai, tetapi terdapat beberapa skop perkara yang perlu dilakukan untuk menjadi agen takaful yang dipercayai dan diyakini, antaranya:

  • Menguruskan kertas kerja tuntutan takaful
  • Menjawab dan melayan pertanyaan pelanggan
  • Membuat temu janji dan follow up

Kelebihan Memilih Kerjaya sebagai Agen Takaful

  • Masa kerja yang fleksibel di mana anda sendiri yang menentukan waktu mencari pelanggan
  • Tahap pendidikan yang minimum (SPM)
  • Boleh dilakukan secara sepenuh masa (full time) atau separuh masa (part time)
  • Tiada tekanan daripada majikan atau korporat
  • Modal permulaan yang rendah (pendaftaran serendah RM200) berbanding memulakan modal perniagaan yang lain
  • Boleh turunkan/wariskan kepada anak-anak atau kaum keluarga
  • Insentif dalam bentuk pakej pelancongan, gajet dan bonus daripada syarikat takaful apabila anda mencapai target atau lebih target

Cabaran Menjadi Agen Takaful

  • Pendapatan anda adalah berdasarkan komisen SEKIRANYA anda berjaya menarik pelanggan
  • Berhadapan karenah ragam orang ramai
  • Tiada skim pencen atau KWSP untuk masa depan (melainkan syarikat takaful menawarkannya atau anda menabung di KWSP sendiri)

Cara-cara untuk Menjadi Agen Takaful

Imej via iLabur

Jika anda masih berminat (atau terpaksa) untuk memilih kerjaya sebagai seorang agen takaful, berikut ialah langkah-langkah untuk menjadi agen takaful:

  1. Kenali terlebih dahulu syarikat takaful  yang anda ingin sertai (Takaful, Allianz, Great Eastern dan sebagainya).
  2. Pergi ke Business Opportunity Presentation atau taklimat daripada agen takaful yang telah berjaya. Dari sini, anda akan lebih memahami selok belok dunia takaful dan pengalaman mereka.
  3. Tentukan sama ada anda ingin bekerja full time atau part time.
  4. Untuk ditauliahkan sebagai agen berdaftar, kebiasannya, anda perlu menduduki ujian bertulis. Jadi, sila ulang kaji bahan yang disediakan (biasanya ada disertakan semasa anda menyertai bengkel/seminar/taklimat pada langkah (2).
  5. Daftar ujian tersebut dan semoga lulus! Mengikut pengalaman mereka yang pernah mengambil ujian ini, asalkan anda ulang kaji dengan baik, confirm lepas. Antara ujian yang perlu diambil ialah PCEIA, CEILI dan TBE.
  6. Selepas selesai bahagian teknikal ini, anda perlu bersedia untuk turun padang cari pelanggan. Mulakan dengan buat draf 100 orang pelanggan yang berpotensi (kebiasannya dalam lingkungan kawan-kawan, jiran dan kaum keluarga).
  7. Bagi membina keyakinan dan memantapkan skil komunikasi, anda digalakkan pergi ke latihan yang dianjurkan oleh agensi takaful anda.
  8. Jika ingin bermula dari bawah, anda boleh sertai agen takaful yang lain “beraksi” dengan sama-sama membuat Joint Field Work (JFW) untuk membiasakan diri suasana dan tugas kerja anda. Apabila anda sudah mahir kelak, janganlah lokek untuk JFW dengan agen yang baru nak up, ya!
  9. Mulakan langkah sebagai agen dengan mendapatkan 10 pelanggan insuran bagi mengukuhkan jenama anda sebagai agen takaful.
  10. Menyediakan dokumen pemprosesan sebagai seorang agen.

Tahniah, anda kini ialah seorang agentakaful!

Tips Menjadi Agen Takaful yang Berjaya

  • Menerangkan prospek atau perspektif mengenai kepentingan perlindungan takaful; berbanding menawarkan skim perlindungan semata-mata kerana masyarakat lebih berminat untuk sesuatu perkara yang boleh diterima akal/barangan yang nampak depan mata.
  • Perbaiki diri untuk menjadi individu jurujual takaful yang “genuine” supaya orang ramai selesa berurusan.
  • Bersedia secara fizikal dan mental. Anda mungkin perlu bergerak ke sana sini untuk bertemu klien atau ada masanya, anda bakal mendapat perkhabaran tidak baik berkenaan nasib malang yang menimpa klien anda.
  • Pelbagaikan teknik pemasaran dan kreatif. Di zaman media sosial ini, anda boleh gunakan khidmat social media influencer untuk hebahkan khidmat anda, atau anda sendiri jalankan pengiklanan dengan gimik yang sesuai.
  • Tanamkan sifat ikhlas kerana tugas anda sebenarnya melibatkan kebajikan. Klien gembira, anda pun senang hati!
  • Menjadi diri sendiri dan jujur sekiranya anda masih baru, malah sekiranya anda berpengalaman, rendah diri dan gunakan pengalaman menguruskan klien sebagai rujukan kes, bukannya sebagai kebanggaan untuk riak.
  • Komunikasi yang berkesan, dari segi tutur kata, penampilan yang kemas dan wujudkan suasana yang profesional apabila anda bertemu klien.
  • Gunakan bahasa yang mudah difahami kerana klien anda terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang pendidikan.

Kesilapan Biasa Seorang Agen Takaful

Imej via iLabur

  1. Berhenti separuh jalan.
  2. Memaksa kenalan rapat untuk mengambil pakej takaful anda sehingga menjejaskan hubungan.
  3. Tidak menjalankan kertas kerja tuntutan/tidak menerangkan tuntutan takaful dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya salah faham, lalu mencemarkan imej anda sebagai agen insurans.
  4. Fokus kepada ganjaran tanpa mempedulikan kebajikan diri dan orang lain.
  5. Tidak mempunyai target klien; anda perlu fokus kepada golongan sasaran majoriti seperti orang muda vs orang tua, berkahwin vs bujang, mempunyai rumah vs menyewa rumah.
  6. Tidak sensitif atau peka dengan sensitiviti.
  7. Tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat atau restu; penting kerana pasaran takaful ada pasang surutnya, sekurang-kurangnya sistem sokongan seperti suami/isteri, anak-anak, kaum keluarga, ibu bapa dan kawan-kawan ini boleh memulihkan semangat.

Kerjaya Berkaitan Jika Berhenti/Bertukar daripada Jadi Agen Takaful

Sekiranya anda ingin mengubah haluan kerjaya setelah menjadi agen takaful, banyak pekerjaan lain yang boleh anda terokai.

Namun, dari segi dunia perlindungan takaful itu sendiri, perkembangan kerjaya seorang agen takaful boleh ditingkatkan dari agen takaful menjadi

  • Perancang harta (wealth planner)
  • Pengurus unit (unit manager)
  • Pengurus agensi (agency manager)
  • Agensi korporat (corporate agency)

Selain itu, dengan kemahiran komunikasi yang ditimba semasa menjadi agen takaful, anda boleh gunakannya untuk menjadi penceramah motivasi bebas, khidmat pelanggan, jurujual langsung dan guru tuisyen.

*Jemput juga baca artikel tentang konsep takaful

Rujukan

  1. https://adibyazid.com/2015/08/10/anda-tak-tahu-potensi-kerjaya-sebagai-ejen-insurans-takaful-ini-mungkin-membuka-mata-anda/
  2. https://coachhartanah.com/langkah-laluan-menjadi-ejen-takaful-insurans/

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.