Tahukah anda, sebagai pekerja yang bekerja di Malaysia, kebajikan anda dijaga oleh satu badan kerajaan yang bernama PERKESO?

Jom baca artikel ini untuk lebih mengetahui mengenai PERKESO dan perlindungan yang boleh anda perolehi di bawah PERKESO.

Pengenalan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ialah sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

PERKESO ditubuhkanbagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Selain itu, PERKESO menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja dan tanggungan mereka menerusi skim-skim keselamatan sosial. Hal ini selaras dengan Dasar Pembangunan Negara dan Wawasan 2020.

Bermula pada 01 Julai 1985, status PERKESO telah berubah menjadi sebuah Badan Berkanun. Selepas itu, mulai 01 Januari 1992, PERKESO telah melaksanakan satu sistem saraannya sendiri iaitu Sistem Saraan Baru PERKESO yang memanfaatkan pekerja yang bukan berkhidmat dengan kerajaan.

Prinsip Teras Perlindungan PERKESO

PERKESO dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengamalkan tiga prinsip teras iaitu:

i) Solidarity Fund

Pada dasarnya caruman yang dibayar kepada PERKESO adalah caruman kepada solidarity fund.

Penentuan jumlah caruman bulanan adalah berdasarkan jumlah gaji yang diterima oleh pekerja dalam bulan berkenaan. Melalui caruman inilah semua pekerja yang mencarum berkongsi risiko yang sama tanpa mengira risiko tempat kerja yang berbeza mengikut industri.

Berkongsi risiko secara prinsipnya membawa maksud semua pencarum dengan rela hati membenarkan PERKESO menggunakan wang ‘solidarity fund’ untuk membayar faedah kepada pekerja lain yang mengalami hilang upaya atau kematian serta pencen kepada orang tanggungan sekiranya mereka meninggal dunia.

Bagi pekerja yang tidak pernah menerima apa-apa faedah sehingga persaraan, sebenarnya mereka telah membantu pekerja lain yang mengalami hilang upaya atau kematian dan membantu keluarga yang telah kehilangan ahli akibat kematian.

Dalam jangkamasa panjang, perkara tersebut mungkin juga boleh berlaku ke atas keluarga mereka. Pada masa itu, dengan konsep yang sama di mana caruman pesara itu dan caruman pencarum lain pula telah digunakan untuk membantu keluarga tersebut berdasarkan teras solidarity fund.

Konsepnya, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

ii) Replacement of Income

Prinsip ini diguna pakai semasa penentuan jumlah bayaran faedah.

Hal ini berkaitan dengan jumlah caruman yang dibayar berdasarkan gaji pekerja.

Pendekatan konsep ini bertujuan supaya pekerja tidak merasa pendapatannya terjejas jika mengalami hilang upaya atau keilatan dan pendapatan keluarga juga tidak terjejas jika mereka meninggal dunia dengan orang tanggungannya dapat menerima pencen bulanan.

Penggantian pendapatan semasa hilang upaya atau keilatan atau kematian pada prinsipnya akan diusahakan untuk menyamai pendapatan sebenar pekerja.

iii) Kesaksamaan

Asas kepada prinsip ini adalah pematuhan kepada Akta dan Peraturan itu sendiri.

Berdasarkan kepada konsep ini jaringan keselamatan sosial hendaklah telah meliputi semua majikan dan pekerja yang layak telah berdaftar dengan PERKESO.

Melalui konsep ini juga pencegahan terhadap berlakunya kemalangan dengan objektif ‘kemalangan sifar’ dan memupuk budaya hidup sihat hendaklah dilaksanakan kerana definisi sebenar keselamatan sosial pekerja adalah mengekalkan pekerja di alam pekerjaan sehingga persaraannya.

Jika perkara ini dapat dilaksanakan, pendapatan sebenar pekerja adalah lebih tinggi sejajar dengan model baru ekonomi iaitu rakyat berpendapatan tinggi.

Konsep ini juga memberi ruang dan peluang kepada pekerja yang bermotivasi untuk bekerja semula. Pemulihan juga diberi kepada pekerja yang mengalami hilang upaya dan keilatan.

Akhir sekali, pembayaran faedah hanya dibayar kepada pekerja atau orang tanggungannya yang layak dibayar faedah tertakluk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Hal ini bertujuan untuk melaksanakan kesaksamaan kepada semua pekerja yang telah menyumbang caruman di dalam solidarity fund. Dengan teras kesaksamaan ini juga perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan hendaklah bersifat ‘delighting the customer‘ dan melebihi jangkaan pelanggan.Bayaran faedah dibayar dengan cepat dan tepat.

Pusat rehab PERKESO yang dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa. Imej via RehabPERKESO

Fungsi dan peranan

Konsep Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO adalah berteraskan konsep tanggungjawab bersama menerusi

  • sumber terkumpul
  • perkongsian risiko
  • penggantian pendapatan

Perlindungan keselamatan sosial adalah asas yang perlu dipenuhi sebagaimana yang dipersetujui di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 iaitu Konvensyen 102; Minimum Standard for Social Security.

Antara perlindungan yang ditawarkan PERKESO adalah seperti berikut:

Skim Bencana Pekerjaan dan Keilatan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada para pekerja daripada bencana pekerjaan iaitu perlindungan apabila berlakunya kemalangan atau  penyakit khidmat dan kemalangan semasa dalam perkhidmatan dan sepanjang tempoh pekerjaan.

Skim Keilatan pula memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja terhadap keilatan (kematian) akibat apa-apa sebab yang berlaku di luar waktu kerja atau yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Kedua-dua skim ini menyediakan faedah tunai kepada pekerja dan tanggungannya apabila berlaku kejadian di luar jangkaan, selain menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani atau latihan vokasional.

PERKESO juga menjalankan aktiviti pencegahan kemalangan melalui program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja dan majikan.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789)

Akta ini telah diperkenalkan dan mula dikuatkuasakan pada 01 Jun 2017. Buat masa ini, Akta ini memberi perlindungan di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri dan individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya termasuk pemandu e-hailing seperti GrabCar dan juga pemandu bas yang bekerja sendiri seperti bas berhenti-henti, bas carter, bas ekspres, bas mini, bas pekerja, bas pengantara, bas sekolah dan bas lapangan terbang.

Kadar caruman yang ditetapkan adalah sebanyak 1.25% sebulan daripada opsyen pendapatan yang diinsuranskan.

Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800)

Akta baharu ini diperkenalkan dan dikuatkuasa pada 28 Disember 2017 bertujuan untuk melindungi dan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui dua (2) komponen utama iaitu Insurans Pekerjaan dan Dasar Pasaran Buruh Aktif (Active Labour Market Policies).

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) merupakan skim yang memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan bagi menggantikan pendapatan yang hilang, memberi latihan reskilling dan upskilling untuk meningkatkan kebolehkerjaan mereka serta menyediakan perkhidmatan pekerjaan supaya mereka yang kehilangan pekerjaan mendapat pekerjaan lain yang sesuai dengan lebih cepat.

Perlindungan Suami Isteri yang Bekerja dengan Pasangan

Mulai 01 Julai 2018, PERKESO telah meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada suami atau isteri yang bekerja dengan pasangan mereka yang merupakan pemilik perusahan dan juga suri rumah orang berinsurans di bawah Akta 4 dan Akta 800.

Dengan perluasan perlindungan ini, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 akan mendapat perlindungan skim keselamatan sosial di bawah kedua-dua akta.

Perlindungan Pekerja Asing

Bermula 01 Januari 2019, PERKESO turut meluaskan perlindungannya kepada semua pekerja asing yang sah (kecuali pekhidmat rumah tangga) di Malaysia, dengan penawaran Skim Bencana Kerja (SBK) di bawah Akta 4.

Skim SBK ini menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan di tempat kerja atau penyakit khidmat yang berpunca daripada pekerjaannya atau kemalangan semasa dalam perjalanan.

Kelayakan Majikan Dan Pekerja

Imej via Selangorkini

Akta Dan Peraturan

Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peratura-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 terpakai kepada semua perusahaan yang mempunyai seorang pekerja atau lebih.

A. Majikan

  • Majikan terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu majikan utama dan majikan langsung.
  1. Majikan Utama
    Majikan yang mengambil pekerja secara terus di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan. Semua urusan perkhidmatan dan pembayaran gaji diuruskan oleh majikan utama.
  2. Majikan Langsung
    Majikan yang mengambil pekerja dan menjalankan kerja di bawah penyeliaan majikan utama. lni termasuk seseorang yang telah membuat suatu kontrak perkhidmatan dengan seorang pekerja dan meminjamkan atau menyewakan bagi sementara waktu perkhidmatan pekerja tersebut kepada majikan utama.
  • Tanggungjawab Majikan
    Majikan utama dan majikan langsung yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih, bertanggungjawab mendaftar dan membayar caruman mengikut kadar yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).Majikan utama juga bertanggungjawab untuk memastikan semua pekerja yang diambil bekerja oleh majikan langsung telah didaftarkan dan caruman dibayar dengan tepat.Majikan bertanggungjawab untuk melapor semua kemalangan berkaitan pekerjaan yang menimpa pekerjanya dalam tempoh masa 48 jam daripada kemalangan itu diketahui oleh majikan atau pihak yang bertanggungjawab bagi pihak majikan.

B. Pekerja

  • Semua pekerja yang bertaraf warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang layak adalah wajib didaftarkan.

Kelayakan Pekerja
Semua pekerja yang diambil bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau kontrak perantisan di sektor swasta, serta bertaraf kontrak / sementara bagi kakitangan Kerajaan Persekutuan / Negeri serta Badan Berkanun Persekutuan / Negeri hendaklah didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO. Kadar caruman maksimum adalah berdasarkan had siling gaji yang diinsuranskan sebanyak RM4,000.00 sebulan.

Pekerja yang dikecualikan daripada liputan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, di antaranya adalah seperti berikut:

  1. Penjawat awam Persekutuan dan Negeri bertaraf tetap
  2. Pekhidmat rumah tangga
  3. Bekerja sendiri (kecuali pemandu teksi yang bekerja sendiri, individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya termasuk e-hailing seperti grab car dan juga pemandu bas yang bekerja sendiri)
  4. Pemilik tunggal atau perkongsian suatu perusahaan
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.