Kempen Buy Muslim First (BMF) mungkin satu topik yang agak sensitif untuk dibincangkan jika kita tidak faham mengenai asas kewujudan kempen ini.

Oleh itu, artikel ini akan cuba mengupas mengenai Kempen BMF dari segi latar belakang dan kepentingannya.

Mari baca!

Pengenalan

Kempen Buy Muslim First (BMF) merupakan satu gerakan ekonomi yang memberi kesan yang agak besar ke atas ekonomi negara, memandangkan penganut beragama Islam adalah majoriti di negara kita.

Kempen ini tercetus sekitar tahun 2018 dengan tujuan untuk mewujudkan satu sistem sokongan ekonomi memajukan perniagaan umat Islam di Malaysia.

Pelbagai pihak ada membentangkan banyak hujah dan pandangan berkenaan pro dan kontra akan kempen BMF ini.

Kempen BMF dianjurkan oleh NGO Gerakan Pembela Ummah untuk mempromosikan keutamaan memilih barangan orang Islam, apabila mereka merasakan terdapatnya sentimen bahawa:

  1. Penjual non muslim cenderung untuk tidak mengambil produk Muslim
  2. Diskriminasi harga oleh pembekal non muslim
  3. Penetapan harga yang tidak seimbang

Cetusan Idea Kempen BMF

#1 Memelihara kebersihan dan status halalan tobiyyan dalam produk makanan

Di media sosial, viral berkenaan pengendalian tempat makanan yang kotor dan tidak mematuhi syarak.

Antaranya video kedai mamak yang mengabaikan kebersihan premis kedai dan pekerja yang tidak menjaga kebersihan diri.

Selain itu, ada juga penularan video ikan dalam sangkar yang diberi makan sisa daging babi yang merupakan isu sensitif bagi umat Islam.

#2 Kesedaran untuk bangkit memajukan ekonomi

Badan bukan kerajaan yang memulakan kempen ini banyak memberi pendedahan berkenaan penindasan harga oleh pihak atasan non muslim yang cekik darah.

Terdapat juga beberapa insiden orang bukan Islam yang tidak sensitif dan prihatin terhadap keperluan umat Islam yang perlu hidup dengan rezeki yang halalan toyyiban.

Faktor Berlakunya Kempen BMF

Kempen ini mula dijalankan pada tahun 2018 tetapi masih dalam keadaan yang perlahan dan tidak diwara-warakan secara meluas.

Namun, setelah timbulnya beberapa isu yang agak berbaur perkauman, kempen ini mula aktif dilancarkan. Antara isu tersebut ialah:

  • Pengenalan tulisan Jawi di semua jenis sekolah
  • Isu Dr Zakir Naik berkenaan kaum pendatang

Rentetan itu, Gerakan Pembela Ummah menggesa pembeli dan peniaga umat Islam di negara kita untuk mengutamakan produk orang Islam.

Kempen ini mendapat sokongan kuat oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang memuji usaha memajukan ekonomi umat Islam di Malaysia dan menegah kempen memboikot produk non muslim kerana hanya akan menyebabkan perpecahan kaum dan menganggu keharmonian negara.

Kepentingan Kempen BMF

  • Memupuk sikap pengguna beragama Islam untuk sama-sama membantu peniaga beragama Islam yang lain melalui konsep persaudaraan Islam.
  • Mengelakkan kebergantungan penuh terhadap produk luar.
  • Menaikkan taraf ekonomi umat Islam melalui transaksi dan aliran tunai.
  • Meningkatkan produktiviti penjual setelah mendapat sokongan pembeli.
  • Mengukuhkan kedudukan ekonomi pembekal, pemborong dan penjual Islam dengan negara luar secara langsung.
  • Menaikkan imej orang Islam.
  • Meningkatkan kutipan zakat apabila pendapatan peniaga Islam meningkat.

Kelebihan Kempen BMF

  • Produk yang lebih diyakini halal dari segi penyediaan dan sumber oleh penjual Islam yang mempunyai pengetahuan mengenai konsep halalan toyyiba.
  • Mengelakkan rasa syubhah (was was) dalam kalangan pengguna.
  • Pelaksanaan ekonomi yang berlandaskan Islam akan melahirkan ekonomi yang bebas daripada gejala rasuah, riba dan penyelewengan yang ternyata haram dari segi ajaran Islam.
  • Selaras dengan kempen membeli produk tempatan yang akan membantu aliran ekonomi di dalam negara.
  • Pengguna akan lebih proaktif dan mula menganalisis produk di pasaran, seiring dengan konsep Pengguna Bijak yang sentiasa peka dengan hak dan tidak membuat pembelian tanpa usul periksa.
  • Alternatif kepada orang Islam menambah pendapatan sampingan apabila wujudnya sistem sokongan ini.

Cadangan Penambahbaikan Kempen

Bagi memastikan penganjuran kempen BMF ini mampu bertahan lama, beberapa langkah berikut boleh diambil:

  1. Memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat tentang matlamat kempen dan jawab kekeliruan yang boleh menyebabkan kempen ini disalah anggap.
  2. Institusi masjid boleh dijadikan sebagai tempat jualan produk umat Islam dan dijadikan sebagai hub aktiviti umat Islam seperti zaman Rasullullah s.a.w
  3. Peniaga mengikuti latihan dan kursus kemahiran serta kelulusan HALAL yang berkaitan untuk meningkatkan kualiti produk sehingga boleh dipasarkan di semua jenis pasaran.
  4. Tawaran yang menarik dan pemasaran yang kreatif oleh para peniaga supaya pembeli terpikat untuk membeli produk anda berbanding pesaing.

Kesimpulan

Kempen BMF bukanlah kempen memboikot produk barangan tertentu sebagaimana yang sering disalah tafsir oleh ramai pihak, malah, kempen BMF bertujuan menyokong produk keluaran orang Islam dan melahirkan pengguna yang bijak.

Para peniaga perlulah turut bekerjasama dengan menjaga kualiti barang jualan dan tidak mengambil kesempatan di atas situasi kempen ini.

Selagi tiada penindasan atau pengkhianatan berlaku antara pembeli dan penjual, kempen ini wajar diteruskan untuk sama-sama membantu.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Maidah, ayat 2

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Rujukan

  1. McGarrigle, J. (2016). Islam in urban spaces: The residential incorporation and choices of Muslims in Lisbon. Journal of Ethnic and Migration Studies42(3), 437-457.
  2. Nurul Zubaidah Mustaffa et al. 2019. Kempen “Buy Muslim First”: Analisis menurut maqasid shariah. Proceedings in International Conference in Islamic Civilization and Technology Management. TATI University College.
  3. Tunggak, B., Salamon, H., & Abu, B. (2011). Keperluan latihan dan pendidikan berterusan ke arah pembangunan usahawan Muslim berteraskan nilai Islam di Malaysia. Sains Humanika55(1).

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.