Zakat merupakan rukun ketiga di dalam rukun Islam merupakan suatu kefardhuan yang telah ditetapkan kepada individu yang bernama Islam. Namun begitu, ulama telah sepakat terdapat beberapa syarat-syarat yang akan mewajibkan seseorang individu Islam itu untuk mengeluarkan zakat.

Jadi, mungkin di antara kita ada yang bertanya tidakkah zakat itu wajib dikeluarkan oleh individu yang bernama Islam? Bukankah setiap tahun pada bulan Ramadhan kita perlu mengeluarkan zakat yang akan kita bayar pada amil-amil zakat yang telah ditugaskan?

Jadi, mengapa masih perlu ada syarat-syarat yang akan menentukan siapa yang wajib mengeluarkan zakat.

Justeru, artikel ini akan berkongsi kepada kita semua bahawa terdapat beberapa jenis-jenis zakat di dalam Islam dan tidak kesemua zakat-zakat ini wajib dikeluarkan oleh individu yang bernama Islam. Zakat-zakat inilah yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu sebagai syarat yang mewajibkan seseorang individu itu untuk mengeluarkan zakat.

Jadi, semoga dengan perkongsian ini dapat menjelaskan kepada kita semua tentang jenis-jenis zakat yang ada di dalam Islam.

1. Zakat Fitrah

Fitrah dari segi bahasa yang diambil dari perkataan asal Bahasa Arab iaitu “fa-tho-ro” boleh ditakrifkan sebagai asli, perangai, tabiat dan kejadian. Selain itu, fitrah juga membawa maksud asal kejadian, kembali kepada asal dan keadaan yang suci.

Oleh itu, zakat fitrah boleh disimpulkan sebagai zakat diri yang telah difardhukan oleh Islam ke atas setiap lelaki atau perempuan yang bernama Islam untuk mengeluarkan zakat sekiranya berkemampuan dan mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan.

2. Zakat Harta

Harta boleh dirumuskan sebagai barang-barang berharga seperti rumah, tanah, bangunan, barang kemas dan lain-lain yang dimiliki oleh orang perseorangan, syarikat atau pertubuhan. Dalam Bahasa Arab, harta iaitu `al-mal’ membawa maksud sesuatu yang dimiliki oleh seseorang individu atau kumpulan manusia seperti barangan berharga, barang perniagaan, aset tetap, wang atau haiwan.

Para ahli feqah Islam pula mendefinisikan harta dalam berbagai tafsiran. Sebagai contoh, menurut Ibn Abidin, seorang ahli feqah dari mazhab Hanafi mendefinisikan harta sebagai sesuatu barangan yang mana manusia berhajat kepadanya secara fitrah dan barangan tersebut mestilah sesuatu yang boleh disimpan untuk kegunaan pada masa keperluan.

Imam as-Syafie pula menafsirkan harta sebagai sesuatu yang berharga yang mana sekiranya berlaku kerosakan atau kemusnahan terhadap barangan tersebut perlu diganti atau dibayar ganti rugi.

Justeru, berdasarkan pengertian-pengertian harta di atas, dapat disimpulkan bahawa zakat harta adalah zakat-zakat yang dikenakan ke atas harta-harta terntentu mengikut kadar perkiraan tertentu dan boleh dibayar pada bila-bila masa sahaja. Antara harta-harta yang boleh dikenakan zakat adalah seperti pendapatan atau gaji, perniagaan, wang simpanan, binatang-binatang ternakan seperti kambing, lembu atau unta dan sebagainya. Maka melalui pembahagian harta-harta inilah yang membahagikan zakat harta kepada beberapa jenis berserta dalil-dalil yang digunakan oleh para ahli feqah seperti;

  • Zakat Pendapatan

Harta pendapatan atau di dalam bahasa Arabnya disebut Al-Mal al-Mustafad secara umumnya bermaksud apa jua usaha atau pekerjaan yang mendatangkan hasil kepada pengusahanya.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-267 yang bermaksud, ” Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (keluarkanlah zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.“.

  • Zakat perniagaan termasuk saham

Perniagaan atau dalam bahasa Arabnya Tijarah bermaksud jual dan beli untuk mendapatkan untung. Semua jenis perniagaan wajib dikeluarkan zakat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak sama ada perniagaan sendiri, perkongsian, berhad, koperasi atau lain-lain.

Para ahli feqah menggunakan dalil yang sama seperti yang digunakan untuk zakat pendapatan dengan merujuk kepada “hasil usaha kamu yang baik-baik”, yang mana perniagaan juga merupakan suatu usaha seseorang individu atau sesuatu organisasi untuk mendapatkan pendapatan.

  • Zakat wang simpanan termasuk KWSP

Wang simpanan pada dasarnya bermaksud “wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, saham, saham amanah serta lain-lain bentuk simpanan”.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim,  Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Tidaklah ada ganjaran bagi orang yang memiliki harta simpanan namun tidak menunaikan haknya, melainkan Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka jahanam pada hari kiamat, hingga dahinya, tepinya serta punggungnya dibakar, sampai Allah memutuskan perkara di antara hamba-hambanya di hari yang lamanya sekitar 50,000 tahun di bumi, kemudian dia melihat jalannya, baik ke syurga mahupun ke neraka.”

Imej via iLabur

  • Zakat emas dan perak

Emas dan perak yang diwajibkan zakat adalah dari jenis tulen samada dalam bentuk jongkong, bijih, wang, perkakas atau perhiasan rumah serta barang – barang kemas atau perhiasan seperti cincin, gelang, rantai dan seumpama dengannya.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah at-Taubah pada ayat ke34 dan ke-35 yang bermaksud “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.

  • Zakat pertanian

Tanaman dan buah buahan yang wajib zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi (makanan utama) manusia (yang mengenyangkan) dalam keadaan biasa dan ia boleh disimpan dan tidak rosak. Antara jenis-jenis tanaman dan buah-buahan ialah kurma, anggur kering, gandum, barli, beras atau padi dan sebagainya. Makanan yang dimakan sewaktu musim susah dan kemarau tidak boleh dianggap sebagai makanan asasi. Bagi negara Malaysia, zakat tanaman ini hanya dikhususkan kepada tanaman padi.

Di dalam surah al-Anam pada ayat ke-141, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya”.

  • Zakat ternakan

Zakat binatang ternakan ialah zakat yang dikenakan ke atas binatang-binatang yang diternak daripada jenis lembu,kerbau, kambing, biri-biri dan unta apabila sempurna syarat-syaratnya.

Berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa “Muaz bin Jabal RA berkata: Aku telah diutuskan oleh Rasulullah SAW ke Yaman, maka dia memerintahkan aku mengambil zakat dari setiap 30 ekor lembu seekor tabi’ atau tabi’ah (lembu berusia setahun), dan dari setiap 40 ekor lembu seekor, musinnah (lembu yang berusia dua tahun).”.

Kesimpulan

Secara ringkasnya zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah atau zakat diri sendiri dan keduanya zakat harta. Pada asasnya zakat fitrah merupakan zakat yang difardhukan kepada setiap individu yang bernama Islam apabila berkemampuan dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan dan perlu dibayar pada bulan Ramadhan seusai berbuka puasa pada hari pertama Ramadhan sehingga berakhirnya Ramadhan manakala zakat harta wajib dikeluarkan oleh individu atau organisasi yang telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan dan boleh dibayar pada bila-bila masa sahaja.

Akhir kata, semoga perkongsian ini dapat menerangkan kepada kita semua tentang jenis-jenis zakat yang ada di dalam Islam.

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.