Ingin mengetahui jenis doktor pakar dan peranan utamanya?
Kerjaya perubatan merupakan antara bidang kerjaya yang paling popular di negara kita. Kepakaran seseorang doktor sememangnya memberikan sumbangan yang besar pada negara walaupun berbeza peranannya.
Jika anda tanyakan soal cita-cita kepada kanak-kanak, pasti kebanyakannya akan memilih doktor pakar sebagai kerjaya yang diimpikan. Kami yakin anda juga pasti pernah mempunyai impian yang sama, bukan?
Ada berbagai jenis doktor pakar yang boleh didapati di negara kita. Berikut kami senaraikan jenis doktor pakar yang boleh didapati di Malaysia.
Kesihatan wanita hamil sememangnya perlu dijaga dengan baik bagi memastikan ibu dan kandungan berada dalam keadaan yang sihat. Oleh itu, pakar sakit puan merupakan doktor pakar yang bertangggungjawab bagi hal sedemikian.
Ianya memfokuskan kepada bidang obstetrik atau perbidanan yang melibatkan kesihatan wanita hamil. Hal ini supaya mereka peka tentang cara penjagaan dan mengenali permasalahan yang mungkin berlaku sepanjang tempoh kehamilan.
Psikiatri adalah seorang doktor yang pakar dalam bidang psikiatri, sejenis cabang perubatan yang ditumpukan kepada diagnosis, pencegahan, kajian, dan rawatan gangguan mental.
Seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental juga perlu dijaga dengan rapi. Walaupun tidak dapat dilihat sakitnya dengan mata kasar, jika dibiar berlarutan ianya boleh memudaratkan.
Untuk itu, khidmat seseorang pakar psikiatri amat diperlukan untuk hal sedemikian. Psikiatri perlu mempunyai pemahaman yang sangat baik tentang psikologi asas dan kemahiran psikoterapi.
Neurologi adalah cabang perubatan yang berkaitan dengan gangguan sistem saraf. Ianya melibatkan diagnosis dan rawatan untuk penyakit yang melibatkan sistem saraf pusat dan periferi.
Pakar neurologi merawat gangguan yang mempengaruhi otak, saraf tunjang, dan saraf. Antara penyakit yang memerlukan rawatan seseorang ahli neurologi ialah strok, Parkinson, Alzheimer, Lou Gehrig dan sawan.
Nefrologi pula merupakan cabang perubatan berkaitan buah pinggang. Peranan utama seseorang pakar buah pinggang ialah mendiagnosis dan merawat penyakit buah pinggang.
Penyakit buah pinggang merupakan antara penyakit yang tidak seharusnya dipandang enteng. Jika tidak dirujuk kepada pakar buah pinggang, ianya akan melarat dan membawa padah kepada pesakitnya sendiri.
Untuk itu, pakar buah pinggang akan membantu pesakit sebegini. Selain pakar dalam merawat sakit buah pinggang, mereka juga sangat berpengetahuan tentang bagaimana penyakit tersebut akan dapat mempengaruhi organ lain.
Onkologi adalah cabang perubatan yang berurusan dengan pencegahan, diagnosis, dan merawat kanser. Bidang onkologi mempunyai tiga bidang utama: perubatan, pembedahan, dan radiasi.
Pakar onkologi perubatan menggunakan kemoterapi atau ubat-ubatan lain, pakar pembedahan onkologi membuang tumor dan tisu berdekatan semasa pembedahan manakala pakar onkologi radiasi menggunakan terapi radiasi.
Selain itu, bagi pesakit kanser kanak-kanak, mereka akan dirawat oleh pakar onkologi pediatrik, yang lebih mengkhususkan kepada kanser untuk golongan tersebut.
Pakar jantung adalah seorang doktor pakar yang mempunyai latihan dan kemahiran khusus dalam mendiagnosis, merawat dan mencegah penyakit berkaitan jantung dan saluran darah atau sistem kardiovaskular.
Jika seseorang pesakit mempunyai simptom yang berkaitan dengan penyakit kardiovaskular, doktor akan merujuk kes mereka kepada pakar jantung.
Mereka akan menjalankan ujian, dan mungkin melakukan prosedur seperti angioplasti atau memasukkan perentak jantung untuk mengenalpasti penyakit yang dihidapi.
Dermatologi adalah cabang perubatan yang berurusan dengan kulit. Ia amengkhususkan kedua-dua aspek perubatan dan pembedahan.
Pakar kulit adalah doktor pakar yang merawat pesaki sama ada bayi, kanak-kanak atau dewasa Mereka merawat penyakit kulit seperti ekzema, psoriasis dan kanser kulit.
Selain kulit, cabang perubatan ini juga berkaitan dengan kuku dan membran mukus. Mereka dilatih untuk menjalankan rawatan laser, pembuangan ketumbuhan tisu, dan banyak lagi.
Oftalmologi adalah cabang perubatan dan pembedahan yang berkaitan dengan diagnosis dan rawatan penyakit mata. Seseorang pakar dalam bidang oftalmologi dikenali sebagai ahli oftalmologi atau pakar mata.
Pakar oftalmologi akan melakukan pemeriksaan mata, mendiagnosis dan merawat penyakitat ma, memberi ubat-ubatan dan melakukan pembedahan mata. Mereka juga menulis preskripsi untuk cermin mata dan kanta lekap bagi pesakit.
Mereka akan memfokuskan kepada pembedahan penjagaan mata untuk trauma, katarak, glaukoma, dan masalah penglihatan yang lain.
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak atau lebih dikenali dengan nama pakar ENT memfokuskan dalam diagnosis dan rawatan untuk penyakit telinga, hidung dan tekak. Ini termasuk rongga sinus, suara dan percakapan.
Penyakit atau kecederaan pada bahagian-bahagian tersebut seperti hilang pendengaran, sinusitis, tonsilitis, apnea tidur dan laringitis akan dirawat oleh pakar ENT.
Selain itu, mereka juga turut melakukan pembedahan kecil untuk membuang ketumbuhan pada bahagian-bahagian tersebut.
Pembedahan ortopedik adalah cabang pembedahan yang berkaitan dengan keadaan yang melibatkan sistem muskuloskeletal atau sistem tulang. Pakar bedah ortopedik merupakan doktor pakar yang dikhususkan untuk penyakit tulang.
Selain tulang, pakar bedah ortopedik juga dikhaskan untuk pencegahan, diagnosis, dan rawatan penyakit sendi, ligamen, tendon dan otot.
Penyakit dan keadaan seperti osteoporosis, artritis, kecederaan semasa bersukan, skoliosis dan spondilosis merupakan antara yang akan didiagnosis dan dirawat oleh pakar bedah ortopedik.
Sudah temukan jenis doktor pakar yang anda berminat? Setiap kerjaya yang kami senaraikan ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba.
Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang kami senaraikan ini. Jangan lupa kongsikan di media sosial dan juga kepada rakan-rakan ya!
1. https://www.rantaumeditrip.com/34-jenis-doktor-pakar-peranannya