Kadang-kadang kita hanya tahu nama sesuatu jenama tersebut. Namun kita tidak tahu inspirasi di sebalik jenama tersebut.

Kebanyakan jenama yang gah sekarang ini ada kisah yang menarik untuk kita jadikan inspirasi. Untuk kali ini, dikongsikan beberapa jenama yang berjaya di dalam industri fesyen.

inspirasi di sebalik jenama

Inspirasi di sebalik jenama

ZARA.

ZARA merupakan satu jenama yang berasal dari Sepanyol yang ditubuhkan oleh Armancio Ortega pada tahun 1975. Selain dari mengeluarkan pakaian ZARA juga mengeluarkan aksesori.

Pada awalnya, Armancio menamakannya sebagai Zorba. Tapi selepas mendapat tahu ada sebuah bar dengan nama yang sama, lalu beliau menukarkannya menjadi ZARA. Mula-mula, mereka hanya fokus kepada menjual pakaian yang berharga rendah tetapi kelihatan serupa seperti pakaian berjenama.

ZARA kemudian mula meluaskan pasarannya ke seluruh Sepanyol dan Portugal. Pada tahun 1990an ZARA mula memasuki pasaran Amerika Syarikat dan kini mempunyai lebih dari 6500 rangkaian di 88 buah negara di seluruh dunia.

Bermula kecil di sebuah bandar di Sepanyol, Armancio Ortega yang dulunya hanyalah bersekolah sehingga berusia 14 tahun, Beliau anak kepada pekerja landasan keretapi. Kini merupakan antara orang terkaya di dunia.

LEVI’S.

levi's

Imej via Pixabay

Jenama yang terkenal ini telah wujud semenjak tahun 1873. Pengasas jeans yang pertama di dunia ialah Levi Strauss.

Pada tahun 1872, Levi Strauss mendapat jemputan dari Jacob Davis untuk berkolaborasi menghasilkan seluar yang lebih kukuh dengan menggunakan rivets atau paku khas untuk memastikan ianya lebih tahan lama.

Logo 2 ekor kuda yang digunakan adalah sebagai lambang keteguhan seluar jeans tersebut yang kebanyakannya digunakan oleh pekerja lombong dan kerja berat yang lain.

Setelah terhasilnya seluar jeans pertama, Levi tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau terus berusaha mencapai cita-citanya yang lain. beliau kemudiannya menjadi “Charter Member of Treasurer” di San Francisco Board of Trade.

Kemudian menjadi pengarah di Nevada Bank, Liverpool, London and Globe Insurance Company dan juga di San Francisco Gas and Electric Company. Selain dari itu, beliau juga banyak terlibat dengan aktiviti rumah kebajikan termasuk memberi penajaan kepada University of California.

Levi’s terkenal dengan legasi Levi Strauss yang banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan dan juga sebagai individu yang banyak menyumbang kepada ekonomi dengan penglibatan beliau dalam pelbagai bidang perniagaan.

RALPH LAUREN.

Berpusat di New York, Ralph Lauren merupakan satu jenama Amerika Syarikat yang diasaskan oleh Ralph Lauren pada tahun 1967. Pada awalnya, mereka hanya bermula dengan mengeluarkan tali leher lelaki sahaja!

Kemudian, kerana minatnya dalam bidang sukan, Ralph Lauren mula mengeluarkan product line untuk lelaki atas nama Polo Ralph Lauren. Siapa tak kenal dengan T-shirt Polo Ralph Lauren kan..

Jenama Polo Ralph Lauren mula terkenal bila jenama tersebut mula berkolaborasi dengan filem The Great Gatsby, di mana pelakon utamanya Robert Redford memakai jenama tersebut dalam filem.

Dan mereka mula mengeluarkan product line untuk wanita dan mula terkenal bila artis ternama seperti Diane Keaton dan Woody Allen memakainya. Sekarang Ralph Lauren juga mengeluarkan pakaian kanak-kanak dan terus membina jenama dengan menjadi penaja acara dan atlit sukan.

H&M.

Selalu pergi H&M? Tahu kisah inspirasi di sebalik jenama H&M?

H&M bermula dengan menggunakan nama Hennes pada sekitar tahun 1947. Ianya dibuka oleh seorang usahawan berbangsa Sweden, Erling Person, hasil dari idea yang beliau dapat ketika melawat Amerika Syarikat.

Hennes sebenarnya berasal dari Bahasa Swedish yang bermaksud “hers”. Kedai pertamanya di buka di Stolkholm pada tahun 1952 dan pada tahun yang sama mereka mula buat iklan besar-besaran yang penuh warna di akhbar.

H&M kemudiannya mula menggunakan medium periklanan secara lebih peribadi dengan menghantar surat dan brochure ke setiap rumah. Pada tahun 1990an, H&M mula menggunakan medium billboard setelah mendapati medium surat khabar mula padat dengan iklan-iklan lain.

H&M kemudiannya menggunakan model ternama “The Big Six” iaitu Elle Macpherson, Cindy Crawford, Naomi Campbell, Claudia Schiffer, Christy Turlington dan Linda Evangelista sebagai model utama H&M.

Hasil dari marketing yang berterusan dan tanpa henti dengan teknik yang pelbagai H&M kini boleh didapati di Benua Eropah, Amerika Utara, Asia, Timur Tengah, Afrika, Amerika Selatan dan juga Australia.

UNIQLO.

Uniqlo merupakan sebuah jenama yang berasal dari Jepun dan kini telah berada di 15 buah negara termasuk Malaysia! Ramai yang nak tahu inspirasi di sebalik jenama terkemuka ini.

Bermula semenjak tahun 1949, syarikat kecil ini hanya mengeluarkan pakaian lelaki tetapi pada tahun 1984 mereka mula beroperasi atas nama Unique Clothing Warehouse dan mula mengeluarkan pakaian untuk wanita juga.

Pada awalnya, tuan empunya syarikat tersebut Tadashi Yanai, ingin menamakannya sebagai “uni-clo”. Tetapi pada tahun 1988, salah seorang kakitangannya tersilap mendaftarkan nama tersebut menjadi “uni-qlo”.  Akhirnya sehingga kini mereka menggunakan nama UNIQLO. Di barat, mereka mendapat gambaran bahawa UNIQLO berbunyi seperti “you need cloth atau unique cloth”.

uniqlo

Imej via Pixabay

Uniqlo kemudiannya, mengambil konsep kedai GAP dari Amerika Syarikat dan mula mengeluarkan belanjawan untuk membina jenama, membuat marketing kempen terbaik, dan strategi pemasaran yang terbaik untuk memastikan jenama Uniqlo terus berkembang. Mereka juga melantik juruperunding khas untuk membuat kempen periklanan.

Dan pada masa negara Jepun mengahadapi masalah ekonomi Uniqlo terus berkembang sebagai pengeluar pakaian berkualiti tinggi dan trendy pada harga rendah dan membantu rakyat Jepun yang mahu mengurangkan belanja untuk pakaian.

Kini Uniqlo mempunyai sekitar 800 cawangan di seluruh dunia dan menjadikan Tadashi Yanai individu terkaya di Jepun.

BONIA.

Sebuah lagi inspirasi di sebalik jenama yang pasti dibanggakan rakyat Malaysia. Bonia diasaskan oleh anak kelahiran Malaysia, Mr Chiang Sang Sem yang kini menetap di Singapura. Bonia Corporation juga mengeluarkan jenama Carlo Rino dan Sembonia.

Kini Bonia mempunyai lebih dari 150 butik seluruh dunia dan produknya boleh didapati di 1000 outlets. Pada awalnya, jenama Bonia terkenal di kalangan golongan wanita yang agak berumur. Dengan sedikit perubahan dari segi rekaan, material dan strategi periklanan yang digunakan, ianya dah mula menarik perhatian wanita yang lebih muda.

Mr Chiang merupakan anak seorang penoreh getah dan dibesarkan di Melaka. Anak sulung dari 9 orang adik beradik ini berhenti sekolah ketika umurnya 15 tahun dan merantau ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki dan memperbaiki kehidupan.

Beliau bekerja sebagai pekerja am di panggung wayang selama dua minggu dan kemudiannya sedar bahawa itu bukanlah kehidupan yang dia mahukan. Kemudian, beliau mula bekerja di kilang membuat beg tangan.

Dengan gaji hanya RM15 sebulan, beliau bekerja selama 2 tahun dan mencari sebanyak ilmu yang dapat diperolehi sambil beliau bekerja. Kemudian beliau berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja di kilang beg tangan yang lebih besar untuk meningkatkan kemahirannya.

Pada tahun 1974, dengan wang simpanan berjumlah RM1200 dan duit yang dipinjam dari saudaranya berjumlah RM3800 beliau mula membuka kilang kecilnya sendiri di Geylang, Singapura.

Dengan 7 orang pekerja yang dibayar gaji RM1 sehari, beliau sendiri tidak mengambil gaji selama beberapa tahun dan tidur di dalam kilangnya sendiri, beliau bekerja selama 15 jam sehari 6 hari seminggu.

Bermula dengan menjahit beg tangan untuk jenama lain. Kini beliau telah mampu membina jenama besarnya yang terkenal di seluruh dunia. Serta mampu mengeluarkan pakaian, dan aksesori lelaki dan wanita sehingga syarikatnya tersenarai di Bursa Saham.

bonia

Sumber : Kisah Inspirasi

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.