Wah, suri rumah tangga yang tidak bekerja kini boleh mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Jom baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan i-Suri KWSP online. Serta dikongsikan cara daftar i-suri KWSP.
Jika sebelum ini, KWSP melibatkan mereka yang bekerja di sektor swasta atau mereka yang bekerja sendiri dan ingin membuat simpanan bulanan di KWSP bagi pengeluaran ketika mereka sudah pencen atau bersara.
Kini, atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Azizah melancarkan satu skim simpanan KWSP buat para suri rumah tangga yang tidak bekerja bagi membantu sedikit-sebanyak perlindungan kewangan mereka pada masa akan datang.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.
Hal ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.
KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan.
KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan.
Oleh itu, kita dapat simpulkan di sini bahawa KSWP sangat memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan semua rakyat Malaysia.
KWSP mengumumkan bahawa mulai 15 Ogos 2018, pendaftaran untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat, dan mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai i-Suri dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.
Mudah, bukan?
Di samping itu, golongan suri rumah, balu dan ibu tunggal yang maklumat mereka didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka.
KWSP akan membuat tuntutan sumbangan kerajaan secara berkala berdasarkan caruman bagi separuh tahun tempoh pertama (Januari hingga Jun) dan separuh tahun tempoh kedua (Julai hingga Disember) pada setiap tahun. Wang sumbangan oleh kerajaan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada Kerajaan. Sumbangan ini akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 ahli (Akaun Persaraan) dan Akaun 2.
Inisiatif ini diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengiktiraf peranan dan perjuangan suri rumah dalam membantu mereka mempunyai kehidupan yang lebih dan sejahtera.
Kalau kita congak-congak, apabila anda terlibat dalam caruman i-Suri KWSP ini, katakan sekarang anda berumur 30 tahun, dan pengeluaran KWSP adalah pada usia 55 tahun,
nilai simpanan KWSP anda ialah (RM5 + RM40) X (25 x 12 bulan) = RM13 500!
Sebagaimana yang kita tahu, setiap tahun KWSP akan mengagihkan dividen dan nilai ini akan disimpan dan dilaburkan sehinggalah ke usia pengeluaran KSWP.
Anda boleh anggar sendiri berapa nilai simpanan KWSP yang bakal anda nikmati! Macam-macam boleh dibelanjakan untuk itu, kan?
Contohnya di usia 55 tahun, mungkin pada waktu itu anda berhajat untuk menunaikan umrah atau boleh gunakan untuk cukupkan duit simpanan haji. Selain itu, boleh gunakan untuk melancong dalam negara atau negara jiran berdekatan, modal perniagaan kecil-kecilan, ubah suai rumah atau sekadar buat belanja harian.
Selain itu, simpanan i-Suri KWSP ini mempunyai beberapa faedah yang perlu anda tahu!
Muat turun siap-siap Borang i-Suri-KWSP 16G(M) yang boleh didapati di laman sesawang KWSP.
Kemudian, setelah isi dengan lengkap, bawa borang tersebut bersama MyKad ke mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran secara serahan tangan.
Menurut statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu, dan 28,116 ibu tunggal dari segmen masyarakat miskin tegar layak menerima insentif kerajaan setelah mendaftar untuk i-Suri.
Ayuh rebut peluang ini untuk persiapan di hari depan di samping melatih semangat menabung.
Tidak tahu siapa untuk dihubungi? Untuk maklumat lanjut mengenai eKasih, boleh hubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di 03-8000 8000, dan untuk penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.